Tingkat imej pelajar tahfiz – Sinar Harian


Tingkat imej pelajar tahfiz

ERMA YUSNIDA JUSOH
21 November 2012
pelajar tahfiz
Mohd Shafri (kiri) sempat beramah mesra dengan pelajar tahfiz yang hadir pada Konvensyen Pensyarah Tahfiz peringkat kebangsaan kali ke-11, di Kuantan.

KUANTAN – Pelajar tahfiz perlu menguasai pelbagai bahasa bagi memudahkan kerja dakwah pada kaum lain, selain mengangkat imej mereka di mata masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Mohd Shafri Abdul Aziz berkata, penguasaan bahasa selain Bahasa Melayu dan Arab sangat membantu golongan itu untuk menyampaikan dakwah dengan lebih luas dan berkesan.

Menurutnya, ruang lingkup penyebaran dakwah kini semakin luas, selain mempunyai audiens yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Justeru, penguasaan bahasa ketiga dan keempat amat digalakkan, secara tidak langsung mengubah persepsi umum mengenai pelajar tahfiz.

“Saya percaya, tanggapan masyarakat terhadap sekolah tahfiz sudah berubah, dulu sekolah tahfiz dijadikan pilihan terakhir selepas gagal melanjutkan pelajaran di sekolah terbaik, tetapi sekarang ramai yang berlumba-lumba mahu memasuki sekolah tahfiz,” katanya ketika
merasmikan Konvensyen Pensyarah Tahfiz peringkat kebangsaan kali ke-11, di sini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pembangunan Insan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Ramlah Yong dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Mohd Shafri berkata, perkembangan maahad tahfiz pada masa kini semakin hebat malah seiring dengan pencapaian cemerlang pelajarnya.

Katanya, di negeri ini, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menjadi contoh terbaik apabila mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum seperti ekuestrian dan memanah.

“Ia menggambarkan bahawa pelajar yang dididik di maahad tahfiz mendapat pendidikan seimbang dalam semua aspek.

“Malah ia merupakan hasil bimbingan tenaga pengajar terbaik yang ada di institusi berkenaan,” katanya.

Mohd Shafri berkata, di negeri ini, insentif diberikan kepada pelajar yang berjaya menghafal 30 juzuk iaitu sebanyak RM3,000, 20 juzuk memperoleh insentif RM2,000, diikuti 10 juzuk sebanyak RM1,000, manakala lima juzuk mendapat RM500.

Sehingga kini, seramai 580 pelajar berjaya menguasai hafalan al-Quran di negeri ini.

Penambahan guru Kafa di Sabah – Bernama


Penambahan guru Kafa di Sabah

26 Februari 2012

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meningkatkan jumlah guru Kursus Asas Fardu Ain (Kafa) selaras dengan pertambahan jumlah murid, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Beliau berkata kini terdapat 1,651 kelas Kafa di Sabah dengan jumlah murid seramai 44,646 orang dan 2,000 orang guru.

“Kerajaan akan menyediakan pelbagai kemudahan prasarana dan latihan serta kebajikan kepada guru-guru pendidikan Islam termasuk kepada Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat bagi membimbing anak-anak umat Islam di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Pengajian Rendah Negeri Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah di sini hari ini.

Nasir turut mencadangkan satu dana latihan bagi guru-guru Kafa disediakan bagi memberikan latihan konsisten berikutan bilangan guru yang mencecah hampir 2,000 orang.

Beliau turut berharap Jakim dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi menganjurkan program seperti konvensyen itu agar menjadi instrumen kepada guru-guru untuk memperkasakan diri sebagai guru-guru agama yang efisien dan produktif.

“Jakim juga boleh memperluaskan konvensyen yang julung kali diadakan ini ke peringkat sekolah menengah mahupun ke pengajian tinggi bagi menyemarakkan lagi aktiviti pendidikan Islam terus mendapat manfaat di semua peringkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata pertambahan guru-guru Kafa dalam perhatian pihaknya memandangkan perkembangan anak-anak umat Islam termasuk di Sabah yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Melihat kepada perkembangan anak-anak yang sentiasa bertambah, keperluan guru-guru Kafa adalah dalam perhatian Jakim untuk ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam ucapannya, Othman berkata Jakim Sabah merancang meningkatkan kuota guru Kafa kepada 2,500 orang berbanding 2,200 pada masa kini untuk memperkasakan Kafa menjelang 2015.

Mengenai dana latihan bagi kira-kira 34,000 guru-guru Kafa di seluruh negara, beliau berkata pihaknya akan menjalankan kursus asas pengajaran dan pembelajaran secara berperingkat dengan menggunakan tenaga pengajar terpilih di pusat-pusat latihan sedia ada Jakim mengikut zon iaitu di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Seramai 550 peserta yang terdiri daripada 300 guru Kafa, 100 guru Sekolah Agama Negeri dan 100 guru Sekolah Agama Rakyat menghadiri konvensyen selama dua hari yang berakhir esok.- Bernama