Buku aktiviti, info halal untuk kanak-kanak diterbit – Sinar Harian


Buku aktiviti, info halal untuk kanak-kanak diterbit

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012

 

KUALA LUMPUR – Halal Industry Developement Corporation (HDC) telah menerbitkan buku aktiviti dan info halal khusus untuk memberi bimbingan awal kepada golongan kanak-kanak mengenai makanan dan barangan halal.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Dato’ Seri Jamil Bidin berkata, buku tersebut diterbitkan untuk menerapkan nilai-nilai asas halal kerana kanak-kanak perlu didedahkan lebih awal mengrenai perkara ini.
Katanya, Buku Aktiviti Kanak-kanal Halal’ dilancarkan pada Persidangan World Halal Research (WHR) 2012 ke-5 yang telah diadakan baru-baru ini.
“Penerapan nilai asas harus diterapkan pada usia muda kerana generasi ini adalah pencetus dan penggerak pada masa hadapan. Kami percaya kita perlu bermula awal dengan memfokuskan golongan muda memandangkan pendidikan halal memerlukan proses penerapan dan kita mahu golongan ini menjadi penuh yakin sebagai seorang profesional dan pendokong industri halal.
“Pelancaran buku kanak-kanak ini merupakan yang pertama dari beberapa siri sebagai permulaan untuk melihat reaksi dan sambutan serta sebagai komitmen kami dalam pembangunan industri halal,” katanya.
Untuk siri pertama ini, terdapat dua koleksi buku iaitu Buku Aktiviti Kanak-Kanak Halal yang bersesuaian untuk kanak-kanak pra-sekolah yang berusia dari usia 4 hingga 6 tahun dan Buku Informasi Halal pula bagi kanak-kanak Tahun 1 hingga 3, yang berusia dari 7 hingga 9 tahun.
Kedua-dua buku aktiviti ini boleh didapati di kedai-kedai buku dan melalui laman sesawang HDC iaitu http://www.hdcglobal.com.
Buku-buku ini diterbitkan dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.
Antara isi kandungan buku-buku ini, walaupun ringkas tetapi interaktif antaranya memaparkan persediaan asas halal iaitu perbezaan antara halal dan haram, kelebihan pengambilan makanan halal, contoh-contoh mudah berkenaan barang gunaan halal dan sumber-sumber makanan halal.
“Kandungan buku ini mempunyai potensi besar sebagai pendidikan halal bagi generasi muda dan HDC amat yakin pada 10 tahun darisekarang, anak-anak muda ini lebih memahami konsep sebenar mengenai halal secara menyeluruh dan dapat mengekalkan pembelajaran halal,” kata Jamil.