Haram makanan segera di sekolah atasi masalah obesiti – Metro


Haram makanan segera di sekolah atasi masalah obesiti

 1  0 Google +0  0  0

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Masalah obesiti dalam kalangan pelajar di negara ini semakin meningkat dan membimbangkan, sekali gus menunjukkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan di kalangan mereka masih di tahap yang rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata, kajian yang dijalankan National Heatlh and Morbidity Surveys pada 2011 menunjukkan 2.6 juta golongan dewasa mengalami masalah obesiti manakala lebih 477,000 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah mengalami masalah berat badan berlebihan.
Kamalanathan berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program dan kempen bagi menurunkan statistik itu seperti Program Susu 1Malaysia (PS1M) dan memberi garis panduan kepada kantin sekolah supaya menyediakan menu berkhasiat sejak 2011.

 

“Paling penting kita tidak membenarkan sama sekali makanan kurang berkhasiat dijual di semua kantin sekolah. “Malah, makanan berkalori tinggi seperti nasi lemak hanya boleh dijual dua kali seminggu dan mengharamkan penjualan makanan segera seperti nuget dan sosej,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Makanan anjuran Universiti Taylor’s, di sini, semalam.
Hadir sama, Naib Canselor dan Presiden Universiti Taylor’s Prof Datuk Dr Hassan Said.
Seminar selama dua hari berakhir hari ini itu mengumpulkan penyelidik terkemuka dan wakil-wakil industri makanan dari China, India, Hong Kong dan Australia yang membentangkan mengenai ‘trend’, peluang dan perkembangan dalam makanan berasaskan kesihatan dan kebaikan.

 

Kamalanathan berkata, kementerian masih mampu mengawal penjualan makanan di dalam kawasan sekolah, namun pihaknya lebih masih menerima laporan dari sekolah dan ibu bapa mengenai penjualan makanan ringan di luar kawasan sekolah. “Kita hanya dapat memaklumkan kepada peniaga dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan terhadap mereka (peniaga) yang menjual makanan ringan di luar kawasan sekolah.
“Pada masa sama, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk menyemai budaya memakan makanan berkhasiat di kalangan anak-anak,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/20

Hati-hati golongan muda, diabetes tidak kenal usia – Bernama


Hati-hati golongan muda, diabetes tidak kenal usia

2 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Semasa bertatih-tatih, Nursyahirah Samsuri menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya, apa tidaknya, kerana mempunyai pipi yang gebu dan badan yang montel.

Bagaimanapun, apabila meningkat usia 18 tahun lain pula ceritanya. Berat badannya semakin bertambah terutama pada tempoh tiga tahun kebelakangan ini daripada 50 kilogram, meningkat kepada 80 kilogram sekarang ini.

Beliau terus dirundung masalah. Hasil ujian ‘Impact Glucose Test Tolerance (IGTT)’ baru- baru ini mendapati beliau berhadapan dengan peringkat pra diabetes iaitu gula dalam darah lebih tinggi daripada normal dan berisiko menghidap diabetes jika tidak dikawal dan dirawat.

Gaya Hidup Kurang Sihat

Nursyahirah, anak bongsu daripada dua beradik, langsung tidak mengetahui risiko penyakit diabetes yang dihadapinya lantaran tidak ada sebarang tanda.

Beliau berasa kesihatannya sentiasa berada pada tahap yang cukup baik.

Beliau hanya mengetahui mengenainya ketika membuat pemeriksaan kesihatan untuk kemasukan ke sebuah pusat pengajian tinggi awam baru-baru ini.

Hasilnya, doktor mengesahkan kandungan gula dalam darahnya sangat tinggi iaitu 16. Selain itu warna kencingnya tidak normal dan dikhuatiri ia turut memberi kesan kepada buah pinggangnya.

Bapanya, Samsuri Husin mengakui Nursyahirah kurang mengambil berat soal pemakanannya dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Aktiviti hariannya ialah menonton drama bersiri Korea hingga sanggup menghabiskan masa seharian di hadapan kaca televisyen.

“Masa menonton itu, makanan ringan dan minuman bergas sentiasa ada di sebelah untuk menemaninya,” katanya.

“Dia kurang makan nasi, tapi banyak makan pizza, makanan segera dan ringan. Selain itu, beliau jarang bersenam atau melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh,” katanya.

Kini Nursyahirah terpaksa melakukan pemeriksaan rutin di hospital untuk memastikan kandungan gula dalam badannya sentiasa terkawal terutama bagi memastikan buah pinggangnya tidak rosak.

Golongan Muda

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Diabetes Negara (NADI) Datuk Prof Emeritus Mustaffa Embong, peningkatan mereka yang menghidap diabetes bukan sahaja di kalangan dewasa malahan golongan muda.

Ramai di kalangan mereka yang berumur 18 hingga 45 tahun tidak sedar yang mereka menghidap diabetes sehinggalah berhadapan dengan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, rabun, masalah jantung atau sehingga anggota badan perlu dipotong.

“Kanak-kanak seawal empat tahun pernah dikesan menghidap penyakit ini. Ada kes kanak-kanak berusia enam tahun menghidap diabetes Type 2, malah ada juga yang baru lahir dengan masalah sama yang mereka mewarisi daripada ibu yang

Beliau berkata lebih membimbangkan apabila ramai di kalangan pesakit muda yang menghidap diabetes Type 2, yang biasanya berlaku kepada golongan dewasa.

Ini kerana mereka tidak merasai tanda-tanda kewujudan penyakit itu.

Punca masalah

“Banyak puncanya, ada yang diturunkan daripada ibu ketika mengandung. Bila lahir anak saiz besar, kita anggap anak itu comel sebab nampak gemuk dan sihat.

“Sedangkan kanak-kanak dengan masalah obesiti berisiko tinggi mendapat diabetes kerana kebiasaannya susah nak turunkan berat badan mereka. Ia dibawa hingga dewasa, ditambah dengan gaya hidup masa kini yang kurang bersenam dan pemakanan tidak seimbang, meningkatkan lagi risiko untuk mendapat diabetes,” katanya.

Jumlah pesakit diabetes, termasuk wanita mengandung, disebabkan faktor keturunan dan obesiti meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus dan yang paling membimbangkan mereka tidak mengetahuinya sehinggalah menghidap pelbagai penyakit.

Ibu bapa sekarang merasa bersalah sekiranya anak mereka kurang makan hingga mereka bertindak memberi makan secara berlebihan daripada apa yang diperlukan oleh badan.

“Saya perhatikan sikap ibu bapa sekarang juga kurang membenarkan anak melakukan aktiviti luar, bermain di padang permainan, berlari mengeluarkan peluh, terutama yang tinggal di kawasan bandar.

“Mereka lebih suka, anak duduk di rumah menonton televisyen atau bermain ‘game’ dan makan,” katanya.

Lakukan Pemeriksaan Awal

Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia kini menduduki tangga pertama di rantau Asia dalam bilangan pesakit diabetes dan tersenarai di tangga ke-10 dunia bagi penyakit itu selepas Asia Barat dan Asia Pasifik.

Mengikut rekod, terdapat 2.6 juta pesakit diebetis berusia lebih 30 tahun. Daripada jumlah ini, separuh atau 1.3 juta tidak sedar mereka mempunyai diabetes.

Sejak 26 tahun lepas, pesakit diabetes di negara ini meningkat ketara iaitu 6.3 peratus pada tahun 1986, 8.3 peratus pada 1996, 14.9 peratus tahun 2006 dan 18 peratus tahun lepas.

Angka ini amat menakutkan kerana jumlah itu meningkat setiap tahun kerana kebanyakannya lambat melakukan pemeriksaan dan mendapat rawatan.

Mustaffa berkata ramai yang tidak melakukan pemeriksaan gula dalam darah selain enggan menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup mereka.

“Ramai yang tahu tentang penyakit diabetes, risiko yang bakal dihadapi, namun untuk mempraktikkan langkah-langkah pencegahan itu amat sukar. Masalah sikap ini menyebabkan mereka, terutama di kalangan orang Melayu, menyerahkan kepada takdir apabila mendapat penyakit itu.

“Kerana itu mereka tidak ambil kisah akan penyakit itu walaupun tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti obesiti dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes,” katanya dan menambah kata wanita terutama suri rumah adalah golongan paling tinggi menghidap diabetes berbanding lelaki.

Beliau menyarankan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa aktif, menjaga pemakanan dengan memakan apa yang diperlukan oleh badan sahaja serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Pemeriksaan Percuma

Menyedari ramai rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah obesiti dan diabetes, pusat perubatan Tropicana Medical Centre (TMC) mengadakan program LEAP ‘Living Everyday Actively & Progressively” (Hidup Setiap Hari dengan Aktif dan Progresif) bagi tempoh satu tahun.

Ia memberi fokus kepada empat aspek iaitu mengambil pemakanan seimbang, melakukan aktiviti dan senaman, tidur yang mencukupi dan sentiasa mengawal emosi agar tidak tertekan bagi menjalani kehidupan yang sihat.

Penting untuk setiap rakyat Malaysia mengetahui awal tanda-tanda mereka mengalami obesiti dan diabetes yang menjadi masalah kesihatan utama masyarakat hari ini, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Erica Lim.

Melalui program LEAP, pemeriksaan percuma kandungan gula dan obesiti disediakan kepada orang ramai yang menyertai setiap program yang dianjurkan.

“Selain itu nasihat pemakanan seimbang bagi mengawal obesiti turut diberikan oleh pakar nutrisi serta baucar bagi mengajak rakyat Malaysia melakukan senaman di gim Fitness First turut disediakan,” katanya dan menambah kata pengacara televisyen terkenal, Jojo Struys telah dilantik sebagai duta program LEAP. – Bernama

Enam jam harungi detik cemas – Utusan


Enam jam harungi detik cemas

 

Oleh KAMIL MASLIH dan ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

 

Fifi Ramadhani Safruddin diangkat ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur selepas berjaya diselamatkan oleh pihak polis di Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terpaksa mengharungi detik-detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki disyaki penagih dadah di rumahnya di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, di sini hari ini.

Dalam insiden cemas bermula pukul 9.50 pagi itu, suspek berusia 34 tahun yang dalam keadaan separuh bogel menceroboh masuk ke dalam rumah itu sebelum mengambil pisau di dapur dan mengugut mencederakan mangsa, Fifi Ramadhani Safruddin.

Ketika kejadian, mangsa bersama empat ahli keluarga yang lain sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Suspek bertindak mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum mengheretnya masuk ke dalam sebuah bilik dan menutup pintu dengan sebuah almari yang dijadikan sebagai penghadang.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian pada pukul 10 pagi mengambil pelbagai langkah bagi memujuk mangsa termasuk menggunakan khidmat pakar psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain memanggil teman wanita suspek.

Selain itu, polis turut menawarkan makanan segera kepada suspek seperti Kentucky Fried Chicken dan McDonalds selain minuman tetapi gagal.

Sepanjang tempoh tebusan itu, polis hanya berkomunikasi dengan mangsa menerusi pintu bilik dengan kanak-kanak tersebut yang hampir setiap masa diacukan pisau ke dadanya oleh suspek.

Drama tebusan tersebut bagaimanapun berakhir pada pukul 4.10 petang apabila sepasukan polis dipercayai dari unit khas dipanggil lalu menyerbu masuk ke dalam bilik itu dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek.

Suspek mati ketika dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dihantar ke HKL untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dalam serbuan itu kerana suspek dilihat semakin agresif.

“Tiga daripada tembakan itu mengenai rusuk kiri suspek dan dalam masa sama, kita berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Kata Zulkarnain, semasa dalam tempoh enam jam kejadian tebusan itu, suspek tidak membuat sebarang tuntutan lain, kecuali meminta sejumlah dadah jenis syabu.

Polis bagaimanapun enggan memenuhi permintaan tersebut kerana menyalahi undang-undang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berasal dari Sabah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun di daerah Dang Wangi.

Sementara itu, menurut bapa mangsa, Safruddin Marlis, 47, dia berada dalam bilik semasa suspek menceroboh ke ruang tamu rumahnya.

“Saya panik apabila melihat suspek dalam keadaan separuh bogel itu bertindak mengugut akan membunuh anak saya sekiranya saya bertindak melakukan sesuatu.

“Memandangkan keadaan saya yang kurang upaya, saya tidak dapat berbuat apa-apa semasa dia mengheret anak perempuan saya ke bilik belakang,” katanya yang menggunakan kaki palsu kerana kudung.

Safruddin memberitahu, kesemua ahli keluarganya di rumah itu termasuk isteri, seorang anak dan dua anak saudaranya dapat melarikan diri semasa suspek menceroboh masuk kecuali dia yang hanya keluar dari rumah itu selepas ketibaan polis.

Katanya, dia telah tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun lalu dan tidak menyangka kejadian tersebut boleh menimpa keluarganya.

Dalam pada itu, menurut seorang saksi, Azhar Osman, 47, sebelum kejadian tebusan tersebut berlaku, dia melihat suspek berkenaan mundar-mandir dalam keadaan separuh bogel di Stesen LRT Kampung Baru.

“Saya telah menyuruh suspek untuk memakai baju dipegangnya tapi dia kemudian menghilangkan diri, saya tidak menyangka pula dia akan menceroboh rumah orang dan menjadikan kanak-kanak sebagai tebusan,” katanya.

Makanan segera, iklan dan kegemukan – Harian Metro


Makanan segera, iklan dan kegemukan

Oleh Isma Ismail
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TUBUH montok atau ‘bulat’ ketika kanak-kanak memang comel dipandang walaupun sebenarnya ia petanda kurang baik kepada bentuk fizikal yang kurang menarik apabila menjangkau dewasa.

Ada juga ibu bapa baru dikurniakan cahaya mata begitu mengimpikan agar mendapat anak montel kerana selain comel, ia juga dianggap anak mereka itu sihat. Sebaliknya, tanpa disedari ia boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit atau masalah obesiti ke tahap kritikal.
Masalah obesiti terutama di kalangan kanak-kanak menjadi hangat baru-baru ini, hingga pada satu ketika ada cadangan larangan penjualan nasi lemak yang didakwa menjadi antara punca utama kepada masalah berat badan berlebihan.

 

Larangan itu menyebabkan banyak pihak tampil mempertikaikan cadangan itu kerana ada yang mendakwa penyumbang utama kepada menularnya gejala obesiti di kalangan murid sekolah adalah berkaitan dengan budaya pemakanan masyarakat Malaysia itu sendiri. Budaya makan malam seperti makan lewat malam di restoran 24 jam dan restoran makanan segera dikatakan paling ketara menjadi amalan.
Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, pernah mengakui masalah obesiti atau kegemukan di kalangan kanak-kanak semakin serius apabila dianggarkan 40 peratus berlaku berikutan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar terutama pada waktu malam.
Menurutnya, masalah lebih ketara terutama di kawasan pantai barat seperti di Lembah Klang yang sudah menjadi kebiasaan dengan cara hidup sedemikian. Berdasarkan masalah berkaitan, dapat dilihat restoran makanan segera antara penyumbang kepada masalah obesiti.

 

 

Ada yang mendakwa siaran iklan makanan segera menerusi televisyen membawa kepada pengaruh besar terhadap budaya itu di negara ini, sekali gus ada pihak yang mahukan kerajaan mengawal siaran iklan berkenaan sebagai satu langkah untuk mengawal masalah obesiti yang melanda kanak-kanak ketika ini.
Kita wajar merenungi masalah berkaitan penyiaran iklan kerana penyelidik di Biro Penyelidik Ekonomi Nasional di Amerika Syarikat juga menyatakan larangan terhadap siaran promosi makanan segera boleh membantu mengurangkan jumlah kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

 

Click Here

Pakar Ekonomi Universiti Lehigh, Pennsylvania, Shin-Yi Chou berkata, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan menyatakan adalah sesuatu yang praktikal untuk mengenakan peraturan larangan berkenaan yang kini hanya dilakukan di Sweden, Norway dan Finland.
“Kita ketahui kegemukan di kalangan kanak-kanak sudah meresapi budaya kita (AS), tetapi penyelidikan berasaskan pengalaman sebenar untuk mengenal pasti pengiklanan televisyen sebagai kemungkinan punca tidak banyak dilakukan,” katanya.
Dipetik penjelasannya, penyelidikannya tertumpu kepada bilangan jam yang menyampaikan mesej iklan restoran makanan segera di televisyen yang ditonton setiap minggu oleh kanak-kanak.
“Hasilnya, kami mendapati larangan terhadap pengiklanan itu akan mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara tiga hingga 11 tahun dalam jumlah penduduk tetap sebanyak 18 peratus dan boleh mengurangkan bilangan remaja yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara 12 hingga 18 tahun sebanyak 14 peratus,” katanya.
Kajiannya turut mendapati, kanak-kanak menonton purata kira-kira 20,000 iklan yang disiarkan di televisyen di negara itu setiap tahun pada lewat 1970-an, ia kemudiannya meningkat sehingga 30,000 iklan setiap tahun pada akhir 1980-an dan lebih daripada 40,000 iklan setiap tahun pada akhir 1990-an.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan iklan menjadi satu pengaruh besar kepada minda kanak-kanak dan iklan makanan segera juga didapati menjadi daya penarik utama kepada golongan itu.
Kementerian Kesihatan pada 2009 menerusi Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal aktiviti pemasaran dan promosi makanan segera bagi mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan sihat.
Beliau berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memperkukuhkan pengawalan iklan makanan segera menerusi televisyen selain menambah slot dan kekerapan penyebaran mesej pemakanan sihat menerusi radio, televisyen, surat khabar serta majalah tempatan.
“Kecenderungan mengambil makanan segera dengan kerap memang membahayakan kesihatan kerana makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera tinggi kalori, lemak, garam dan gula,” katanya.
Liow berkata, kementerian juga akan menggubal dasar dan peraturan yang membantu mengawal pemasaran, promosi dan penjualan makanan segera di negara ini.
“Antara usaha lain diambil adalah mengawal pengiklanan makanan segera ketika rancangan kanak-kanak di televisyen dan mewajibkan pelabelan kandungan zat pada makanan segera,” katanya.
Sesuatu perlu dilakukan kerana masalah obesiti di kalangan kanak-kanak menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kian meningkat dan sangat membimbangkan. Berdasarkan perangkaan WHO didapati kanak-kanak prasekolah yang mengalami lebihan berat badan di Asia dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang 2020 nanti berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.
Peningkatan ketara dalam masalah berat badan berlebihan kanak-kanak disebabkan banyak faktor. Satu sebab utama adalah perubahan diet ke arah makanan yang tinggi lemak dan gula serta kurang nutrien penting. Makanan ini mengakibatkan kanak-kanak mengambil tenaga yang lebih daripada apa yang mereka perlukan dan tenaga berlebihan ini akan ditukar dan disimpan sebagai lemak.
Contoh makanan penuh tenaga yang disukai kebanyakan kanak-kanak ialah naget goreng, kentang goreng, bebola ayam goreng, minuman berkarbonat dan kordial.
Berdasarkan saranan WHO, pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada tenaga harian maka kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun tidak boleh mengambil lebih daripada lima sudu teh atau 25 gram gula sehari dan kanak-kanak empat hingga enam tahun tidak boleh mengambil gula tambahan lebih daripada tujuh sudu teh atau 35 gram sehari.
Antara kemungkinan sebab lain adalah kewujudan makanan segera. Biasanya, makanan ini mengandungi daging yang tinggi lemak dan bijirin kisar. Makanan terbabit juga dihidang bersama air berkarbonat manis yang mengandungi sehingga lapan sudu teh gula tambahan.
Kanak-kanak yang mengalami obesiti ini berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi serta kurang keberkesanan insulin.
Semua masalah itu meningkatkan lagi risiko kencing manis, penyakit jantung, strok serta sesetengah jenis kanser apabila mereka meningkat dewasa.
Apa pun juga penyebab berlakunya masalah obesiti di kalangan kanak-kanak negara ini, peranan utama dalam membentuk mereka ke arah kehidupan yang sihat adalah bermula daripada amalan pemakanan keluarga dan pemakanan harian mereka di rumah.
Antara langkah yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa menurut pakar pemakanan adalah dengan memastikan seluruh ahli keluarga terbabit dalam proses pemakanan yang lebih sihat, kerana ia akan mengurangkan perasaan terpencil dalam proses itu. Pastikan bila memilih makanan, makanan itu seharusnya mempunyai kandungan tinggi dalam serat dan lemak yang rendah.
Jika ada anak berusia lebih dua tahun, menggunakan susu yang rendah lemak boleh membantu mengurangkan berat badan. Paling penting sekiranya ibu bapa dapat membantu kanak-kanak mengamalkan senaman termasuk pastikan anak bermain dengan kanak-kanak lain, seluruh keluarga menjalankan senaman seperti berbasikal atau berlari dan pastikan juga anak aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Pakar juga menyarankan agar kanak-kanak dikawal dan dikurangkan menonton televisyen.
Penulis wartawan Harian Metro