8 pelajar diserang histeria – Sinar Harian


8 pelajar diserang histeria

AZURA MOHAMAD
5 Mei 2012
8 pelajar diserang histeria
Keadaan di kawasan lokasi perkhemahan lapan pelajar yang diserang histeria

PASIR MAS – Lapan pelajar perempuan sekolah menengah dari sebuah daerah yang menyertai perkhemahan di satu kawasan di sini beberapa hari lalu diserang histeria kelmarin.

Sinar Harian difahamkan kejadian berlaku serentak malam kelmarin memaksa pihak sekolah menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional atau pun bomoh bagi menenteramkan pelajar terlibat.

Pelajar-pelajar ini menjerit, meracau serta memberitahu takut dengan makhluk halus yang dikatakan datang mengganggunya. Salah seorang daripadanya menangis kerana takut serta bimbang kejadian serupa berulang. Beberapa pelajar kembali pulih setelah mendapatkan rawatan daripada bomoh sementara serangan ke atas sebahagian daripadanya berlarutan hingga ke tengah hari semalam. Berikutan kejadian itu, ibu bapa pelajar yang diserang histeria datang melihat keadaan anak masing-masing.

Seorang pelajar yang belum pulihkan walaupun diberikan rawatan dibawa keluarganya pulang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa pelajar terlibat datang mengambil anak mereka sementara pelajar yang mengikuti perkhemahan ini pulang dengan menaiki bas.

Pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Rohana berkata, dia diberitahu tentang kejadian pagi semalam dan sempat mengubati tiga pelajar. Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian dia dapat melihat keadaan pelajar yang terkena serangan histeria. “Saya mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk merawat pelajar terlibat. “Alhamdulillah selepas menerima rawatan, kesemua pelajar kembali pulih,” katanya.

Rohana berkata, pelajar-pelajar ini terkena serangan makhluk halus dan kemungkinan tempat perkhemahan ini merupakan kawasannya.

Menurutnya, dia mengubati pelajar-pelajar ini dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sinar Harian difahamkan, lokasi perkhemahan sering kali menjadi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti tetapi kejadian kelmarin merupakan yang pertama berlaku di sini.

Dua beranak bermalam di hutan – Sinar Harian


Dua beranak bermalam di hutan

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Februari 2012
hilang
hilang2

LANCHANG – Dua beranak yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di belakang rumah dekat Kampung Bolok Hilir di sini sejak kelmarin ditemui selamat di belakang sebuah Tabika Kemas kampung berkenaan pagi semalam.

Mariana Mohd Zakaria, 28, dan anaknya Siti Alia Natasha Azli, 2, ditemui seorang guru Tabika Kemas dalam keadaan lemah di belakang bangunan Tabika berkenaan jam 10 pagi semalam kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Mangsa bersama anak tunggalnya keluar dari rumah adiknya dekat Taman Lanchang Permai di sini kira-kira jam 8.30 pagi selepas dikatakan cuba mengikut suaminya.

Mangsa dipercayai diganggu makhluk halus sejak sebulan lalu keluar dari rumah selepas mendengar panggilan suami dan cuba mengikut jejak suaminya ke dalam hutan.

Suami mangsa Azli Shaharudin 36, berkata, dia tinggal di Felda Lepar 3, Jerantut dan pada Sabtu lalu dia membawa isterinya ke Lanchang untuk mendapatkan rawatan tradisional selepas dikatakan diganggu penyakit misteri.

Menurutnya, sebelum berubat dia bermalam di rumah adik iparnya dan kelmarin dia keluar mengikut biras ke ladang.

“Pada masa itu, ahli keluarga maklumkan isteri saya keluar mengikut jejak saya ke dalam hutan dan terus hilang bersama anak saya,” katanya.

Azli percaya isterinya bukan keluar rumah untuk mengikutnya sebaliknya mengikut gangguan makhluk halus yang menyerupainya ke dalam hutan.

“Isteri pernah keluar rumah dua kali sebelum ini, dia cakap nak ikut ‘suami yang berambut panjang,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, usaha menjejak mangsa diadakan sejak berita kehilangan mangsa dan anaknya dilaporkan kepada polis pagi kelmarin.

Menurutnya, polis dengan bantuan hampir 100 pegawai anggota, Ikatan Relawan Rakyat, PGA dan penduduk kampung memulakan gerakan mencari sejak tengah hari kelmarin.

“Kita juga telah meminta bantuan udara dalam menjejak mangsa sebelum mangsa dan anak ditemui selamat oleh guru tabika di kira-kira dua kilometer dari rumahnya,” katanya.

Mohd Nor berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah bertungkus lumus mencari mangsa sehingga jam 4 pagi semalam sebelum menghentikan operasi akibat hujan lebat.

Guru Tabika tak tahu kejadian orang hilang

Guru Tabika Kampung Bolok Hilir, Azizah Wahid yang menjumpai mangsa dalam keadaan lemah pagi semalam tidak tahu mengenai kejadian yang menimpa dua beranak berkenaan.

Azizah berkata, dia tidak tahu langsung usaha mencari sedang giat dijalankan bermula kelmarin dan hanya mengetahui mangsa adalah orang hilang selepas seorang penduduk kampung menghantar anaknya ke Tabika terbabit.

“Saya menemui mangsa secara kebetulan, masa itu saya nak keluar untuk buat panggilan telefon, sebaik membuka pintu belakang saya lihat dua beranak dalam keadaan lemah di penjuru bangunan Tabika.

“Dia hanya cakap tolong saya, bila diaju soalan langsung tidak jawab, saya kemudian buatkan air milo dan beri sedikit makanan dan tolong bersihkan anaknya.

“Masa itu keadaan mangsa sangat kotor dan seluar terkoyak, anaknya ada kesan calar pada kaki dan banyak gigitan nyamuk,” katanya.

Azizah berkata, lebih kurang 15 minit kemudian kawasan Tabika tempatnya mengajar dipenuhi polis dan pasukan mencari dan menyelamat membawa mangsa dan anaknya menerima rawatan kecemasan di Poliklinik Lanchang.