Suara ghaib suruh pelajar terjun bangunan – Metro


Suara ghaib suruh pelajar terjun bangunan

 76  4 Google +0  0  0

Kuantan: “Saya terkejut apabila keadaan sekolah tiba-tiba kecoh dan beberapa pelajar bertempiaran lari sambil menjerit-jerit sehingga menakutkan pelajar lain,” kata seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira, di sini, menceritakan kejadian 70 pelajar diserang histeria petang semalam.

Menurut pelajar itu yang enggan namanya disiarkan, melihat keadaan tidak terkawal, seorang guru melaungkan azan, namun pelajar menjadi lebih agresif dan marah sambil mengeluarkan perkataan yang sukar difahami.

Dia berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, beberapa guru menangkap pelajar yang histeria dan menempatkan mereka dalam makmal komputer untuk mengelak kejadian tidak diingini.

“Kakak saya turut histeria dan saya melihat dia terbaring sambil meracau-racau. Apabila saya memanggilnya, dia mempamerkan wajah bengis.

 

FotoDUA pelajar SMK Tok Sira terbaring selepas diserang histeria.

“Bagaimanapun keadaan reda selepas pihak sekolah memanggil seorang ustaz bagi memulihkan mereka, namun saya tetap bimbang keadaan ini berulang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Bapa seorang mangsa, Saifullizan Abdullah, 38, berkata, kejadian histeria di sekolah itu cukup membimbangkan kerana ada yang mendakwa ketika dirasuk, mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan.

 

Dalam kejadian semalam, dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, mengalami histeria dan dia terus ke sekolah selepas dimaklumkan.
“Saya difahamkan kejadian histeria ini sudah beberapa kali berlaku sebelum ini,” katanya.
“Lebih membimbangkan apabila dirasuk, ada pelajar mendakwa mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah,” katanya.
Sekolah berkenaan pernah merekodkan kejadian dua pelajar terjun dari bangunan pada Mei dan awal bulan lalu dengan seorang daripadanya maut manakala seorang lagi masih koma di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan kejadian itu daripada pihak sekolah sebelum sebarang tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/27

1MDB umum RM20 juta untuk dana PIBG – Bernama


1MDB umum RM20 juta untuk dana PIBG

13 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memperluaskan lagi program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) melalui pengumuman peruntukan berjumlah RM20 juta untuk Dana PIBG, satu platform yang memberi bantuan kepada PIBG menjayakan aktiviti dan program di sekolah.

Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata dana tersebut bertujuan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG sekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan kerajaan menjalankan aktiviti pendidikan, kokurikulum dan infrastruktur.

“Berdasarkan penyelidikan, kami dapati antara masalah utama dihadapi PIBG adalah bagi mendapatkan dana mencukupi untuk mempertingkat kemudahan sekolah serta menjalankan kelas tambahan kepada murid yang kurang berkemampuan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif terutama bagi sekolah di luar bandar.

“Justeru Dana PIBG ini dilancarkan bagi membantu meringankan beban PIBG dalam melaksanakan aktiviti pembangunan murid dan sekolah,” katanya semasa melancarkan dan menyerahkan Dana PIBG kepada 11 penerima perintis di sini.

Lodin Wok berkata sebagai permulaan dana ini diserahkan kepada PIBG sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan pembangunan Kuala Lumpur International Financial District (KLFID) yang merupakan projek strategik 1MDB.

Menurut beliau lagi dana ini juga boleh digunakan untuk tiga jenis pembiayaan termasuklah aktiviti berasaskan pendidikan seperti penganjuran kelas
tambahan, aktiviti kokurikulum seperti aktiviti sukan dan penambahbaikan infrastruktur berskala kecil seperti menaiktaraf makmal komputer.

Katanya permohonan Dana PIBG terbahagi kepada dua iaitu untuk sekolah menengah dengan peruntukan maksimum RM50,000 manakala sekolah rendah layak memohon peruntukan sehingga RM30,000.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Imbi, Law Seah Keong, 36, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan khususnya 1MDB yang meluluskan permohonan persatuannya.

“Peruntukan maksimum sebanyak RM30,000 yang diterima ini akan digunakan untuk menampung kerja penyelenggaraan sekolah yang semakin meningkat dan untuk menaik taraf kantin sekolah yang sudah uzur demi keselesaan murid.

“Pemberian dana ini juga sangat tepat pada masanya kerana kami mengalami defisit sejak tiga tahun lalu kerana penurunan jumlah murid dari lebih 1,000 ke sekitar 300 orang tetapi kos penyelenggaraan sekolah tetap tinggi,” katanya.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (L) Jalan Pasar 2, Nordiana Mustafa Kamal pula pihaknya berasa sungguh gembira dan teruja apabila sekolah tersebut terpilih untuk menerima sumbangan dana PIBG ini.

“Walaupun sekolah kami baru dan pelajar hanya 33 orang sahaja namum kami akan menggunakan dana yang diberikan sebaik mungkin terutama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah seperti membantu pelajar-pelajar miskin, kem-kem kecemerlangan pelajar, kelengkapan aktiviti kokurikulum dan sebagainya.” katanya.

Nordiana turut menggalakkan PIBG lain di seluruh negara supaya menghantar permohonan kepada 1MDB bagi mendapatkan sumbangan dana seterusnya memastikan kelangsungan aktiviti anjuran persatuan tersebut demi pembangunan pendidikan generasi akan datang.

PIBG sekolah yang berminat untuk memohon Dana PIBG 1MDB boleh berbuat demikian dengan melayari laman web http://www.danapibg.com.my- Bernama

1,200 pelajar di Pulau Pinang terima komputer 1Malaysia – Bernama


1,200 pelajar di Pulau Pinang terima komputer 1Malaysia

2012/05/19

GEORGETOWN: Mulai hari ini, pelajar, J Veenod, tidak perlu lagi bersusah payah ke kafe siber untuk menyiapkan tugasan sekolahnya selepas menerima bantuan komputer riba 1Malaysia.

Veenod, 16, antara 1,200 penerima bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan

Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara itu, membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir itu
berkata, dengan adanya komputer riba itu, dia tidak perlu lagi berebut menunggu
giliran dengan rakan lain bagi mendapatkan akses internet di makmal komputer
sekolahnya.

“Memang susah mahu buat kerja sekolah tanpa komputer dan akses internet sendiri. Tambahan pula menjelang pertengahan tahun ini, banyak kerja kursus yang
perlu dihantar,” katanya selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia oleh Penyelaras Parlimen Bayan Baru, Por Joo Tee di sini, hari ini.
Ketika berucap pada majlis itu, Por menggesa pelajar memanfaatkan kemudahan
komputer itu dalam meningkatkan keupayaan dan prestasi diri masing-masing
terutama dalam bidang teknologi maklumat.

Beliau berkata, pemberian komputer riba itu adalah permulaan yang baik kepada
pelajar untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Utara, Zainol Hamid, berkata
penyerahan komputer riba jenama Black Cube itu meliputi tiga kawasan parlimen
iaitu Bayan Baru, Bukit Bendera dan Tanjong.

Katanya, program itu adalah satu daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi
rumah negara.

Enam sekolah menerima komputer bagi fasa ketiga itu, antaranya SMK Bukit
Jambul, SMK Sungai Nibong, SMK St George dan SMK St Xavier.

– BERNAMA

Tawaran bina SRJK Tamil Lunas dikeluar 15 Mac – Bernama


Tawaran bina SRJK Tamil Lunas dikeluar 15 Mac

7 Mac 2012

KULIM – Masyarakat India khususnya para ibu bapa di Lunas dan sekitarnya kini sudah tidak perlu risau lagi kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah akan mengeluarkan tawaran membina sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Jalan Paya Besar, Lunas dekat sini pada 15 Mac ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, S.Ananthan yang mendapat maklumat terkini daripada Kementerian Pelajaran memberitahu bahawa kos bangunan sekolah itu telah meningkat sebanyak RM1.8 juta berbanding kos asal RM8.6 juta ringgit.

“Ini adalah kerana skop kerja telah berubah dan kos terkini adalah RM10.4 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Skim Mesra Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada 20 peserta peringkat pertama daripada 60 peserta dalam Pusat Veetri DUN Lunas di sini hari ini.

Ananthan berkata pembinaan bangunan sekolah itu merangkumi 12 bilik darjah, sebuah bilik kelas prasekolah, makmal komputer dan lain-lain kemudahan untuk menampung hampir 1,000 pelajar.

Katanya dijangkakan selepas tawaran dikeluarkan kerja-kerja permulaan di tapak dijadual pada 15 Jun depan dan bangunan dijangka siap pada hujung 2013.

“Kerajaan Barisan Nasional menunaikan janji-janji yang dibuatnya dan sentiasa mengamalkan cogan kata rakyat didahulukan dan bukanlah berjanji pelbagai retorik yang menjadi gendang kosong semata-mata,” katanya. – Bernama