Amukan suami cemburu – Metro


Amukan suami cemburu

Oleh Zaid Salim
am@metro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki parah selepas menjadi mangsa amukan seorang suami yang dipercayai cemburu dengan hubungan mesra guru berkenaan dengan isterinya dalam kejadian di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Kampung Raja, Besut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, guru berkenaan cedera parah di belakang badan, tangan dan kaki akibat ditetak lelaki terbabit menggunakan sebilah parang panjang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, guru berusia 35 tahun yang bertugas di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, dihubungi seorang wanita yang mahu membeli barangan kosmetik daripadanya.

 

Menurutnya, bagi memudahkan menyerahkan barangan kosmetik itu, wanita berkenaan meminta guru itu menunggunya di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan sebelum mangsa tiba di kawasan dijanjikan pada jam 6.20 petang.
“Selepas kira-kira 10 minit menunggu, guru yang ditemani adik lelakinya berusia 19 tahun, dikejutkan dengan ketibaan dua kereta dinaiki sekumpulan lelaki.
“Dua lelaki termasuk seorang mereka memakai topeng biru dan bersenjatakan parang, turun dari sebuah kereta lalu menyerang mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

 

 

Menurutnya, serangan itu menyebabkan guru berkenaan cedera di badan, tangan dan kaki akibat ditetak dengan parang oleh seorang daripada lelaki terbabit.
Manoharan berkata, adik mangsa tidak berani melawan dan hanya mampu melihat abangnya ditetak sebelum membawa mangsa ke Hospital Besut untuk rawatan selepas kumpulan lelaki berkenaan meninggalkan tempat kejadian.

 

“Mangsa yang kehilangan banyak darah, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Laporan kejadian dibuat adik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
“Hasil siasatan awal polis percaya kes berkenaan bermotifkan cemburu dan kami kini memburu suspek yang berasal dari Kampung Baru Batu Tumbuh, Kampung Raja, Besut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/25

Guru Ditetak Dengan Parang – Bernama


Guru Ditetak Dengan Parang

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki cedera ditetak dengan parang oleh dua orang lelaki bertopeng di hadapan Maktab Perguruan Sultan Mizan di Besut petang semalam.

Akibat tetakan itu mangsa yang berumur 35 tahun dan berasal dari Jalan Semarak, Besut cedera di belakang badan, tangan kanan dan kaki kiri.

Pihak polis yang tidak menolak kes itu berlaku akibat dendam telah mengenal pasti salah seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata kejadian berlaku kira-kira 6.20 petang yang pada mulanya guru berkenaan yang mengajar di sebuah Sekolah Kebangsaan telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang ingin menemuinya.

“Sebaik mangsa dan adiknya sampai di tempat kejadian, mereka telah didatangi dua buah kereta bercermin gelap sebelum dua lelaki bertopeng keluar dari kereta itu dan terus menetak mangsa dengan parang.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besut oleh adiknya. Selain bertugas sebagai guru, mangsa yang masih bujang turut menjalankan perniagaan menjual barangan kosmetik,” katanya.

Selain Manoharan berkata pihak polis telah mengenal pasti suspek dan gerakan sedang dilakukan bagi memburu seorang kontraktor bagi membantu siasatan.

“Kita sedang mengesan seorang kontraktor yang bernama Che Wan Sharmizie Che Wan Mat yang berusia 29 tahun dan berasal dari Kampung Baru Bukit Tumbuh, Besut.

“Kita telah membuat serbuan di rumah suspek, namun gagal mengesan suspek dan dipercayai suspek telah melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. BERNAMA