Empat lagi MRSM bakal dibuka – Bernama


Empat lagi MRSM bakal dibuka

2013/07/18 – 21:22:14 PMCetakEmel Kawan
KUALA BESUT: Empat lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bakal diwujudkan di seluruh negara bagi menampung permohonan kemasukan pelajar yang semakin meningkat kebelakangan ini.

MRSM berkenaan terletak di Arau, Perlis yang dijangka siap pada penghujung

tahun hadapan, selain di Kuala Kangsar, Perak; Tanjung Karang, Selangor dan Semporna, Sabah.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Ibrahim Ahmad berkata
pembinaan MRSM baharu itu yang dijangkakan siap dalam tempoh setahun hingga dua
tahun akan memberikan tambahan tempat kepada 1,000 pelajar pada setiap sesi
pengambilan.

“Penambahan MRSM ini akan menjadikan jumlah keseluruhan MRSM, 54 buah
dan akan membuka lebih peluang memandangkan tahun ini sahaja kita menerima 44,000 permohonan sedangkan tempat yang ada hanya untuk 9,000 pelajar,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna MARA Keusahawanan dan
Pendidikan di Masjid Al-Jamhuriah di sini, hari ini.

Pada program itu, Ibrahim menyampaikan sumbangan bernilai antara RM100 dan
RM300 kepada 397 pelajar sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala
Besut manakala 200 pelajar pula menerima bantuan pakaian sekolah.

Seorang penerima sumbangan Siti Akilah Amirah Abu Bakar, 14, dari MRSM Kota
Putra di sini berkata wang RM300 itu akan diserahkan kepada ibunya Jahuriah
Hasan, 47, yang berada di Tumpat, Kelantan.

“Ibu bekerja sebagai pembantu kedai untuk membesarkan kami lima beradik
selepas kematian ayah, Abu Bakar Arshad pada 2011 akibat kencing manis dan darah
tinggi,” katanya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Air Terjun di sini, Nur Amanisa Hasanudin, 11,
pula memberitahu beliau mahu mengajak ibunya untuk mencari baju raya dengan
menggunakan wang RM100 yang diterimanya hari ini. – BERNAMA

MRSM Tun Ghafar Baba catat keputusan SPM terbaik bagi seluruh MRSM – Bernama


MRSM Tun Ghafar Baba catat keputusan SPM terbaik bagi seluruh MRSM

25 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka muncul MRSM terbaik dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 apabila 435 calonnya mencapai nilai Gred Purata Maktab (GPM) 1.0391.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad berkata selain MRSM Tun Ghafar Baba, enam MRSM lain turut mencatat pencapaian cemerlang iaitu MRSM Taiping (391 calon mencatat GPM 1.0097) dan MRSM Langkawi (146 calon, GPM 1.1971).

Turut cemerlang MRSM Pontian (133 calon, GPM 1.2245), MRSM Pengkalan Chepa (354 calon, GPM 1.3870), MRSM Kuantan (136 calon, GPM 1.5745), dan MRSM Tun Abdul Razak (121 calon, GPM 1.6171), kata Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pencapaian kesemua 42 MRSM adalah baik dengan 7,299 pelajar yang menduduki peperiksaan itu mencatat keputusan 100 peratus lulus.

Katanya, kesemua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang layak meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Melalui sistem pendidikan MRSM, Ibrahim berkata, Mara akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan modal insan mempunyai minda kelas pertama yang mampu menyumbang kepakaran demi bangsa dan negara.- Bernama

MRSM ‘pintu’ penerokaan insan cemerlang – Utusan


MRSM ‘pintu’ penerokaan insan cemerlang

Oleh NOOR HANIS HARUN
pengarang@utusan.com.my

TAMPIN 8 Feb. – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) merupakan ‘pintu’ kepada penerokaan insan cemerlang bukan sahaja di peringkat sekolah menengah tetapi juga dalam arena pendidikan antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan penambahbaikan dalam pendidikan supaya MRSM kekal sebagai institusi yang melahirkan pelajar cemerlang.

”Mara amat terbuka dalam aspek penyediaan kemudahan pembelajaran untuk pelajar, bahkan peluang sentiasa sahaja terbuka,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyerahan bantuan khas awal persekolahan RM100 dan pelancaran Program Gemilang Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Gemencheh, di sini hari ini.

Katanya, MRSM merupakan gedung pendidikan untuk pelajar sekolah menengah mencipta kecemerlangan dalam SPM.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130209/dn_10/MRSM-pintu-penerokaan-insan-cemerlang#ixzz2KM5WsImd
© Utusan Melayu (M) Bhd

840 pelajar terima bantuan awal persekolahan – Utusan


840 pelajar terima bantuan awal persekolahan

ABDUL Rahim Abdul Ghani (tengah) menyampaikan bantuan khas awal persekolahan RM100 kepada pelajar-pelajar MRSM di MRSM Gemencheh, semalam.

TAMPIN 8 Feb. – Seramai 840 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh dekat sini hari ini menerima bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 seorang.

Majlis penyerahan bantuan khas oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani itu diadakan serentak dengan pelancaran Program Gemilang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah tersebut.

Salah seorang pelajar, Mohd. Faris Mohd. Lokman, 15 mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan berkenaan kerana membantu meringankan beban ibu bapanya.

”Nilainya mungkin nampak kecil, tetapi sebenarnya amat besar kepada kami untuk membeli buku dan keperluan belajar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130209/dn_09/840-pelajar-terima-bantuan-awal-persekolahan#ixzz2KM5RJFl6
© Utusan Melayu (M) Bhd

MRSM Tun Mustapha Di Tawau Tawar A-Level Pada 2014 – Shafie – Bernama


MRSM Tun Mustapha Di Tawau Tawar A-Level Pada 2014 – Shafie

TAWAU: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mustapha yang sebelum ini dikenali dengan nama MRSM Tawau akan menjadi MRSM pertama di negara ini menawarkan pengajian peringkat A-Level yang dijangka dilaksanakan pada awal 2014.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan adanya pengajian peringkat A-Level berkenaan, pelajar MRSM dari Sabah berpeluang melanjutkan pengajian prauniversiti mereka di negeri ini tanpa perlu ke Semenanjung.

“Ini akan membolehkan ibu bapa dari persekitaran seperti Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna menghantar anak-anak mereka belajar di MRSM dan selepas mengambil A-Level, pelajar-pelajar ini boleh melanjutkan pelajaran bukan sahaja dalam negara tetapi di luar negara.

“Taraf sijil yang dikeluarkan ini memungkinkan mereka memasuki universiti seperti Universiti Oxford dan Cambridge. A-Level bukan sahaja diiktiraf dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MRSM Tun Mustapha di sini Sabtu.

Menurut Shafie pengambilan pertama untuk A-Level ialah 150 pelajar dan kriteria pemilihan ialah mencapai piawaian ditetapkan serta memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MRSM Tun Mustapha juga dipilih sebagai MRSM kedua di negara ini menawarkan Program Pendidikan Dwisijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia-International General Certificates For Secondary Education (SPM -IGCSE) selepas MRSM Tun Razak, Pekan, pada tahun 2011.

Shafie berkata pada tahun ini seramai 61 pelajar sudah mendaftar untuk IGCSE yang merupakan kelayakan peperiksaan berprofil tinggi dan mempunyai reputasi cemerlang serta diiktiraf di kebanyakan universiti peringkat antarabangsa. – BERNAMA

Tarikh Akhir Permohonan Online Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2013 Dilanjutkan Ke Rabu – Bernama


Tarikh Akhir Permohonan Online Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2013 Dilanjutkan Ke Rabu

KUALA LUMPUR: Tarikh akhir permohonan online kemasukan ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2013 dilanjutkan sehingga Rabu ini.

MARA dalam satu kenyataan di sini memaklumkan pemohon atau pelajar yang telah mendapat kata laluan di Pejabat MARA Negeri atau Pejabat MARA Daerah atau MRSM, boleh mengisi borang permohonan online pada alamat URL http://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp.

“Log masuk menggunakan nombor surat beranak atau nombor kad pengenalan sebagai id pengguna dan gunakan kata laluan yang diberikan,” menurut kenyataan itu.

Para pelajar diminta menghantar permohonan secara online pada atau sebelum Rabu ini bagi memasuki MRSM, selain menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Tingkat 19 Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.

Untuk sebarang maklumat mereka boleh menghubungi 03-26132000, 26134541, 26134542, 2613 4543, 2613 9070, 2613 9071 atau faks ke 03-2691 1658. – BERNAMA

Najib doa calon PMR jawab dengan baik – Metro


Najib doa calon PMR jawab dengan baik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mendoakan semua 481,424 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjawab dengan baik pada peperiksaan yang masuk hari kedua hari ini.

Perdana Menteri yakin ibu bapa dan guru sudah menyediakan pelajar terbabit dengan persiapan secukupnya sebelum menghadapi peperiksaan itu. “Saya mendoakan agar semua 481,424 calon PMR dapat menjawab dengan baik. “Saya pasti ibu bapa dan guru sudah memberi persiapan secukupnya kepada pelajar terbabit,” katanya dalam tweet terbarunya, di sini semalam. Kelmarin, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyatakan seramai 448,436 calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil peperiksaan itu.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Pengambilan pelajar tingkatan 4 ke asrama penuh, MRSM diteruskan – Berita Harian


Pengambilan pelajar tingkatan 4 ke asrama penuh, MRSM diteruskan

2012/10/10 – 09:11:49 AMCetakEmel Kawan
gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoMUHYIDDIN ketika membuat lawatan sambil diiringi pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Maimon Ahmad (kiri). – Foto Mohd Yusni Ariffin
  • FotoMUHYIDDIN menjawab soalan media selepas membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia. – Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak akan dihentikan walaupun peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan pada 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem pentaksiran yang dikendalikan pihak sekolah akan menentukan kelayakan pelajar selain syarat lain bagi kemasukan pelajar cemerlang ke sekolah berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, sekolah satu sesi akan dilaksanakan di seluruh negara selewat-lewatnya dalam masa 10 tahun.

Buat masa ini, hampir 20 peratus saja daripada 10,000 sekolah yang masih mempunyai sekolah dua sesi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika membuat tinjauan
perjalanan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Jalan Seri Setia, Gombak, sebentar tadi.

481,424 calon duduki PMR seluruh negara – Bernama


481,424 calon duduki PMR seluruh negara

9 Oktober 2012
PMR 2012
Pengawas memeriksa slip calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Bharu. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Seramai 23,733 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah antara 481,424 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh negara bermula hari ini hingga 16 Okt.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata sebanyak 209 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negeri itu dengan 1,797 orang petugas mengendalikan perjalanan peperiksaan.

“Daripada jumlah itu, sebuah adalah pusat peperiksaan persedirian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam,  Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyatakan seramai 448,436 calon  dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil peperiksaan itu.

Selain itu, seramai 10,051 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

Sebanyak 3,560 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Di ALOR SETAR, seramai 39,405 calon mengambil peperiksaan PMR di 296 pusat peperiksaan di seluruh Kedah, seorang daripadanya menduduki peperiksaan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata daripada jumlah itu, seramai 35,426 calon adalah dari sekolah kerajaan manakala selebihnya calon dari sekolah swasta, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Integriti dan Pusat Pemulihan Akhlak.

Seramai 44 orang penyelia kawasan, 296 ketua pengawas dan 2,140 pengawas peperiksaan dilantik bagi memantau peperiksaan berlangsung.

Di KOTA BAHARU, seramai 35,525 calon menduduki PMR di Kelantan tahun ini dengan 110 calon terdiri daripada calon kurang upaya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Husin Awang berkata daripada 35,525 calon itu, seramai  28,542 calon adalah dari sekolah kerajaan, 5,454 calon dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), 745 calon dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), MARA (628) calon dan swasta/persendirian (156) calon.

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata seramai 15,015 calon menduduki peperiksaan PMR di negeri itu hari ini dengan 12 daripadanya menduduki peperiksaan di hospital akibat kemalangan jalan raya dan sakit.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 209 calon merupakan murid Sekolah Asrama Penuh, 455 calon Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan 489 calon Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam  Melaka (JAIM).

Selain itu, 257 ialah pelajar  MRSM, 108 calon sekolah swasta dan 13,754 calon Sekolah Menengah Kebangsaan termasuk calon tumpang.

Beliau berkata kesemua calon menduduki peperiksaan di 103 pusat peperiksaan di negeri itu dengan bilangan petugas peperiksaan seramai 1,000 orang.

Di TERENGGANU, seramai 23,025 calon menduduki PMR di 177 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Husein berkata daripada jumlah itu seramai 22,229 merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan.

Zakaria berkata terdapat 124 orang calon Orang Kurang Upaya iaitu lapan orang yang mengalami masalah terencat akal, buta dan bisu masing-masing seorang, pekak (26 orang), rabun (10 orang) dan spastik (tiga orang) manakala seramai 75 calon pula mengalami kecacatan anggota. – Bernama

Melaka perluas kursus, bengkel animasi kepada pelajar sekolah – Bernama


Melaka perluas kursus, bengkel animasi kepada pelajar sekolah

2 Oktober 2012

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka melalui bahagian K-ekonomi Jabatan Ketua Menteri akan memperluaskan penganjuran kursus, bengkel serta seminar animasi kepada pelajar sekolah di negeri itu.

Pengarah Bahagian K-Ekonomi Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen berkata langkah itu bertujuan memberi pendedahan berhubung potensi bidang animasi kepada pelajar.

“Bidang animasi berupaya menjadi satu profesion yang cerah dan menguntungkan di masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Animasi 2012 yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini.

Beliau berkata sebelum ini kursus, bengkel serta seminar yang dianjurkan pihaknya bersama Multimedia Development Corporation (MDEC) lebih tertumpu kepada pelajar universiti dan usahawan.

Katanya sebagai permulaan, dua sekolah telah dipilih sebagai perintis program tersebut iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba Jasin dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah Ayer Keroh.

Sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan setiap tahun oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi membangunkan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sejak 2001, katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Sektor Bahagian Multimedia Kreatif MDEC Azmir Mutalib berkata pelajar dan golongan muda seharusnya memanfaatkan bidang animasi di negara ini yang menjanjikan pelbagai pulangan menguntungkan.

Beliau berkata berdasarkan statistik, pendapatan yang diperolehi daripada industri animasi pada tahun lepas adalah berjumlah RM6.1 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM363 juta.

Katanya siri animasi tempatan ‘Boboiboy’ mencatat rating tertinggi bagi siri animasi di kaca televisyen Malaysia dengan jumlah penonton seramai 1.7 juta orang sekali gus berjaya menandingi siri animasi Jepun ‘Doraemon’ iaitu seramai 1.6 juta. – Bernama