Permohonan Masuk Ke Tingkatan Empat MRSM Dibuka 1 Oktober – Bernama


Khamis September 27, 2012
Permohonan Masuk Ke Tingkatan Empat MRSM Dibuka 1 Oktober

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan ke Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2013 akan dibuka secara ‘online’ mulai 1 Oktober ini selama sembilan hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, permohonan dan keterangan lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web, http://www.mara.gov.my.BERNAMA

Tabung khas bantu pelajar – Metro


Tabung khas bantu pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KUBU BARU: Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) akan melancarkan tabung bencana alam khas membantu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru yang tinggal sehelai sepinggang, berikutan kebakaran di asrama maktab itu, kelmarin.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, seramai 40 pelajar daripada 429 yang tinggal sehelai sepinggang perlu dibantu segera selepas pakaian mereka musnah dalam kebakaran itu.
Katanya, sembilan kolej cawangan KPTM akan digerakkan untuk menjalankan kutipan dana berkenaan.

 

“Pelajar terbabit juga akan dibekalkan satu set persalinan pakaian baru dalam masa terdekat sebelum menerima sumbangan dana KPTM itu,” katanya ketika melawat pelajar terbabit di sini, semalam.
Dalam kejadian 9.30 malam kelmarin, sembilan bilik asrama lelaki blok K asrama itu musnah dijilat api ketika penghuninya mengulang kaji di bilik kuliah terletak 100 meter dari situ.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

429 tidur di surau – Metro


429 tidur di surau

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KUBU BARU: Seramai 429 pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini termasuk sebahagian daripadanya akan menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terpaksa tidur di surau malam kelmarin, selepas blok asrama kediaman mereka terbakar.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, sembilan bilik asrama menempatkan pelajar lelaki di Blok K hangus terbakar, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian, semua pelajar mengulang kaji pelajaran di dewan kuliah terletak kira-kira 100 meter dari asrama itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru, Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran jam 9.36 malam dan sebaik tiba di lokasi api marak di tingkat atas bangunan tiga tingkat itu.

 

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12

Asrama MRSM Kuala Kubu terbakar – Utusan


Asrama MRSM Kuala Kubu terbakar

Oleh AZRAI MOHAMMAD

HULU SELANGOR 11 Sept. – Kira-kira 300 pelajar yang mendiami asrama lelaki Blok K, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu di sini gempar apabila sebahagian bumbung di tingkat dua bangunan itu terbakar malam tadi.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.20 malam itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada pukul 9.35 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Seramai 17 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian. Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan bumbung di tingkat dua asrama itu,” katanya di sini hari ini.

Ekoran kejadian itu, kesemua pelajar terlibat diarahkan untuk menghuni di surau sekolah itu sebagai penempatan sementara.- UTUSAN

SKSS 1 juara taekwondo – Sinar Harian


SKSS 1 juara taekwondo
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Peserta taekwondo yang mengambil bahagian pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung selama tiga hari di Dewan SK Sultan Sulaiman I.
KUALA TERENGGANU – Atlet taekwondo Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung di Dewan SKSS I baru-baru ini.

Selaku tuan rumah kejohanan yang julung kali diadakan itu, SK Sultan Sulaiman I berjaya meraih 10 pingat emas, dua perak dan 10 gangsa dalam dua kategori yang dipertandingkan bagi lelaki dan perempuan peringkat sekolah rendah.

Tempat kedua pula menjadi milik atlet dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman II dengan kutipan dua pingat emas, empat perak dan enam gangsa.

Manakala, milik tempat ketiga yang bergaya dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa jatuh kepada atlet taekwondo cilik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud, Besut.

Bagi Kategori Sekolah Menengah pula, juara menjadi milik pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut dengan kutipan empat emas, lima perak dan dua pingat gangsa mengalahkan MRSM Kota Putra di tempat kedua dengan kutipan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Penganjur kejohanan yang juga ketua jurulatih Kelab Taekwondo Teguh, Mohd Salihin Abdullah berkata, penganjuran kejohanan bagi kali pertama itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan ia bakal dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet taekwondo berbakat negara.

Menurutnya, seramai 700 peserta daripada 250 sekolah rendah dan menengah daripada lapan negeri mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.

“Antara negeri yang turut serta termasuklah Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Terengganu sendiri selaku tuan rumah.

“Malah, kejohanan ini juga turut melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah Kluster dan juga sekolah berprestasi tinggi (SBT) dari seluruh negara,” katanya.

Kejohanan itu anjuran bersama Kelab Taekwondo Teguh, Kelab Taekwondo Action.

Sementara itu, SK Sultan Sulaiman 1 selaku tuan rumah turut diiktiraf Kementerian Pelajaran Malaysia terutama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

Terpaksa makan pasir – Metro


Terpaksa makan pasir
Oleh RASHIDI KARIM
am@hmetro.com.my

PADANG BESAR: Masalah kebuluran rakyat Somalia sehingga mengakibatkan kanak-kanak kelaparan, termasuk makan pasir, menyentuh perasaan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini, untuk mencari dana bagi membantu mereka.

Penderitaan kanak-kanak Somalia itu didedahkan sukarelawan Mercy Malaysia, Dr Iqbal Muhamad, yang menyertai misi bantuan di negara itu pada Majlis Taklimat Komuniti Inovatif MRSM yang dihadiri lebih 200 pelajar maktab berkenaan di sini, semalam.
Dr Iqbal yang juga Pengarah Pusat Kesihatan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, sejuta rakyat Somalia berdepan konflik perang saudara dan secara tidak langsung, turut terdedah dengan masalah kebuluran melampau serta sangat memerlukan bantuan.

“Berdasarkan maklumat terkini, ramai rakyat Somalia, terutama kanak-kanak, meninggal dunia setiap hari disebabkan masalah kebuluran selain penularan penyakit cirit-birit.
“Menerusi misi bantuan Mercy baru-baru ini, saya terkejut apabila berdepan beberapa kes kanak-kanak yang mengalami masalah ketagihan pasir. Kami dimaklumkan kanak-kanak ini terpaksa makan pasir kerana tiada makanan,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Jamsari Jamaludin yang mewakili beliau untuk merasmikan majlis itu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Muhammad Azip Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd, Mazlee Md Ramli dan Pengetua MRSM Beseri, Mohd Salim Lebai Bulat.
Justeru, Dr Iqbal mengharapkan pembabitan pelajar MRSM untuk menjayakan kempen kutipan dana membantu mangsa kelaparan di Somalia menerusi peranan mereka dengan memikirkan kaedah dan inovasi terbaik untuk mengumpul sumber kewangan.

Lebih 10,000 pelajar membabitkan 46 MRSM di seluruh negara menjayakan pertandingan mencari dana anjuran bersama Al Niaga, YIM, Mercy Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara).
Program dikenali Ideapreneur MRSM akan memilih MRSM yang melakukan kaedah mencari dana paling berinovasi dengan pemungut jumlah terbesar sebagai pemenang bagi menerima Anugerah Inovasi Perdana 2012 pada November depan.

Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas terima suntikan – Sinar Harian


Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas terima suntikan
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2012

Yauza dan Hanisah saling bekerjasama mengangkat Muhamad Muhaimin ke atas tilam dari kerusi roda di rumahnya dekat Kampung Pondok Paku.
JABI – “Akibat masalah itu, dia terlantar lebih setahun di rumah sebelum dapat menyabung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabu awal tahun ini.” Demikian Yauza Jusoh, 51, yang memohon simpati orang ramai untuk membantu merawat anak lelakinya berusia 17 tahun yang lumpuh anggota badan kerana menghadapi masalah saraf sejak lebih setahun yang lalu.

Yauza dari Kampung Pondok Paku dekat Kerandang di sini berkata, anaknya Muhamad Muhaimin, lumpuh kedua belah-belah kaki dan tangan kanan didakwa akibat selepas menerima suntikan kesihatan.

Menurutnya, anggota badan Muhammad Muhaimin mula lemah selepas suntikan pada 8 November 2010 ketika belajar dalam Tingkatan Tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang.

“Akibat masalah itu, dia terlantar lebih setahun di rumah sebelum dapat menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabu awal tahun ini,” katanya.

Yauza berkata, anaknya disahkan oleh pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan menghidap penyakit Post Vaccination TT, disyaki akibat kesilapan suntikan.

Walaupun beberapa kali berulang alik menerima rawatan di hospital berkenaan namun keadaannya masih tidak banyak berubah apabila semua anggota badannya yang lumpuh masih belum dapat digerakkan hingga sekarang kecuali tangan kirinya yang dapat digerakkan.

“Dia bersekolahpun kerana semangatnya kuat untuk ke sekolah. Tetapi saya dan isteri, Hanisah Ishak, 46, terpaksa mengendongnya sebelum diletakkan di atas kerusi roda setiap kali dia pergi dan pulang ke sekolah.

“Dalam usia saya sebegini, saya terpaksa menggagahkan diri untuk mengangkat badannya seberat kira-kira 86 kilogram,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini.

Menurutnya, dia tidak dapat melakukan pekerjaan kerana terpaksa menguruskan anaknya untuk pergi dan pulang ke sekolah selain terpaksa bersiap sedia pada bila-bila masa ke sekolah sekiranya Muhamad Muhaimin ingin membuang air besar atau kecil.

Katanya, dia sekeluarga kini hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

“Dengan pendapatan sebegitu, saya sekeluarga tidak mampu membiayai perbelanjaan untuk anaknya mendapatkan rawatan pakar atau secara alternatif,” katanya.

“Tambahan lagi, tiga adik beradik Muhamad Muhaimin masih belajar termasuk kakaknya Nur Izzati, 21, terpaksa berhenti belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebaliknya bertukar belajar di Kolej Kejururawatan di Kuala Lumpur kerana menyedari keluarganya kesempitan wang.

Dua lagi adik Muhamad Muhaimin, Mohd Habib Muizzuddin belajar dalam Tingkatan Dua juga di SMK Jabi dan Muhammad Marzulqi, murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung.

Sehubungan itu, Yauza dan isterinya merayu mana-mana pihak atau individu khususnya Kerajaan Negeri agar dapat membantu merawat anaknya supaya dia dapat bergerak seperti biasa dan masa depannya cerah seperti rakan sebayanya yang lain.

Kisah penderitaan remaja ini pernah disiarkan Sinar Harian April tahun lalu dan sebarang bantuan boleh menghubungi Hanisah di talian 013-9545767 .

MRSM Tun Ghafar Baba ungguli debat ASeAn – Berita Harian


MRSM Tun Ghafar Baba ungguli debat ASeAn
Oleh Ihsan Noorzali
upen@bharian.com.my
2012/06/25
PELAJAR MRSM Tun Ghafar Baba, dari kiri; Khairul Rijal, Ammaina, Nadira Akma dan Muhammad Irsyad menunjukkan piala kejuaraan debat MRSM – Sekolah-Sekolah ASEAN 2012.
Juara gondol wang tunai RM3,000 bersama piala pusingan

TANJUNG MALIM: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka mengungguli Pertandingan Debat MRSM – Sekolah-Sekolah ASEAN 2012, kategori Bahasa Melayu, sekali gus merangkul wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.
Pendebat sekolah berkenaan diwakili Khairul Rijal Mohd Zuki, Nadira Akma Hamdan, Ammaina Jamaludin serta Muhammad Irsyad M Yasin, menewaskan pasukan saingan MRSM Pontian, Johor peringkat akhir.
Pertandingan debat berlangsung di MRSM FELDA, Trolak, dekat sini, turut menyaksikan Khairul Rijal, 17, diumumkan sebagai Pendebat Terbaik bagi kategori berkenaan dan menggondol wang tunai RM300.

Bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan yang diwakili Nur Nadhirah Syahmi Abdullah Zawawi, 16; Anis Nadhirah Hussein, Muhammad Husaini Ab Aziz dan Nurul Aniqah Shazween Muhamad Azman, masing-masing Tingkatan Lima, muncul juara dengan menewaskan MRSM Kuching.

Kumpulan itu membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Mereka yang memperdebatkan tajuk ‘This House Believes That It Is Time For ASEAN To Have A Parliament’ memperlihatkan kematangan berhujah dalam Bahasa Inggeris yang akhirnya menyaksikan kategori Pendebat Terbaik Inggeris diraih, Nadhirah Syahmi.
Terdahulu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek ketika membacakan teks ucapan mewakili menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pertandingan itu adalah satu pelaburan dalam usaha melahirkan pemimpin berkaliber pada masa depan.

Katanya, perdebatan adalah medan untuk pelajar mengasah bakat serta mengembangkan potensi, minda dan mencungkil kemahiran berfikir.

“Menerusi pertandingan seumpama itu, pelajar berpeluang melontarkan idea bernas, tepat dan jitu sebagai latihan mencipta diri menjadi pemimpin berkeupayaan menegakkan pendapat yang jelas dan kukuh,“ katanya.

Sementara itu, pendebat dari Sekolah Agama Tawalib Parabit, Bukit Tinggi di Indonesia, Muhammad Rizki Eka Putera,19, muncul Pendebat Terbaik Sekolah-Sekolah ASEAN dan membawa pulang wang tunai RM300, plak dan sijil.

Tuah biji nangka – Metro


Tuah biji nangka

Oleh SHARIFFUDIN MOHAMED dari Pittsburgh, Amerika Syarikat
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PITTSBURGH: Siapa sangka projek menggunakan biji nangka boleh membawa kejayaan kepada seorang anak muda tingkatan lima dari Kuching, Sarawak, untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Anak muda berusia 17 tahun itu mendapat tempat ketiga dalam Kategori Sains Alam Sekitar di Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel (ISEF 2012) di Dewan Konvensyen David Lawrence di sini, yang melabuhkan tirainya, kelmarin.
Benjamin Ngie Xiong Wong yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching, mengemukakan ujian menggunakan serbuk biji nangka untuk membersihkan kekotoran air sungai.

 

Projeknya menarik perhatian juri kerana bukan saja sesuatu yang menakjubkan, malah dapat membantu penduduk luar bandar memperoleh air bersih dengan menggunakan bahan pertanian seperti biji nangka.
Benjamin menjalankan ujikaji mengenai projek terbabit lebih setahun lalu dengan bantuan guru sekolahnya.
Beliau menyertai ISEF 2012 sejak Sabtu lalu bersama tujuh lagi pelajar tingkatan lima dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, MRSM Taiping, MRSM Muadzam Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Maokil, Labis, Johor.

 

 

Seorang guru dari MRSM Taiping, Wan Rohani Harun pula menerima Anugerah Guru Agilent berikutan cadangannya untuk menggunakan sumbangan kewangan dalam bidang sains dan memajukan penyelidikan pelajar dianggap terbaik.
Beliau tidak datang ke sini, cuma diwakili pelajarnya, Wan Muhammad Syafiq Wan Mohd Zainuddin yang mengambil anugerah berkenaan.

 

Sementara itu, mengulas kemenangannya, Benjamin yang menerima hadiah wang tunai RM3,000 sumbangan Intel berkata, dia tidak sangka mampu memperoleh tempat ketiga selepas melihat projek pelajar lain yang hebat dari seluruh dunia.
“Saya sungguh tidak menduga. Sebaik tiba di sini, saya melihat projek yang dilakukan pelajar lain dalam kategori sains alam sekitar tidak kurang hebatnya.
“Terasa projek saya seperti tidak diminati juri,” katanya yang mahu menjalankan ujian lanjut berhubung penggunaan biji nangka itu untuk kebaikan masyarakat luar bandar di Sarawak Beliau bagaimanapun berbangga kerana dapat mengharumkan nama Malaysia bersama ahli rombongan lain. Apapun penyertaan Malaysia dalam ISEF perlu lebih mendapat perhatian semua pihak, terutama dalam soal membawa projek yang boleh memenangi hadiah utama.
Rombongan seramai tiga guru dan lapan pelajar itu diketuai Pensyarah Kejuruteraan Universiti Malaya, Zamri Zainon.
ISEF dianjurkan Persatuan Untuk Sains dan Umum, Amerika Syarikat ditaja Intel setiap tahun.
Ia dianggap bertaraf Sukan Olimpik dalam bidang sains dan kejuruteraan membabitkan penyertaan 15,000 pelajar sekolah menengah dari lebih 60 negara.

Peruntukan pelajar miskin sebanyak RM110,000 – Sinar Harian


Peruntukan pelajar miskin sebanyak RM110,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2012
Peruntukan pelajar miskin sebanyak RM110,000

PETASEH – Sebanyak RM110,000 diperuntukkan oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan untuk diberikan kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.

Yayasan Taqwa dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ­(GP­MS) Negeri Sembilan menyumbangkan bantuan pakaian beragam sekolah dan ­kelengkapan belajar di mana di Jelebu sekitar RM10,000 hingga RM12,000 diperuntukkan.

Pengerusi GPMS Negeri Sembilan, Mohd Zain Abu berkata, penyerahan bantuan itu bermula sejak Januari ­tahun ini.

“Misi bantuan ini sudah dilancarkan pada Januari lalu bagi peringkat negeri kemudian penyerahan ini diteruskan di Gemas, Kuala Pilah dan Jelebu adalah siri terakhir,” ­katanya semasa menyampaikan kata-kata aluan pada Majlis Mesyuarat Agung Persatuan

Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Petaseh Berasrama (B), dekat sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Jelebu, Datuk Jalaludin Alias; Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Petaseh B, Latifah Kedah dan Pengerusi PIBG SK Petaseh, Abdul Rani Abu.

Dalam pada itu, Mohd Zain berkata, pihaknya turut memberi sokongan terhadap pembangunan pelajaran pelajar di seluruh Negeri Sembilan.

“Kita turut bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi membantu melonjakkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program motivasi yang diadakan secara usaha sama.

“Bermula minggu hadapan kita akan menjayakan program bersama pelajar ­sekolah menengah di mana 10 sekolah akan mengambil ­bahagian,” katanya.

Terbaru katanya, mereka turut menjayakan Program Kembara Ilmu di mana pelajar-pelajar terpilih akan menaiki kereta api dari Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

“Kemudiannya pelajar akan dibawa ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi untuk membuat kajian persekitaran di mana program seumpama ini dapat membawa pelajar mendekati kehidupan pelajar di asrama penuh,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 40 pelajar kurang berkemampuan di SK Petaseh menerima sumbangan pakaian sekolah, kasut sekolah dan peralatan belajar yang disampaikan oleh Mohd Zain.