Malaysia hab pendidikan – Metro


Malaysia hab pendidikan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Keupayaan negara mengurus aspek perbelanjaan secara efektif memberi kelebihan dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia, khususnya ibu negara sebagai hub pendidikan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, beliau percaya pengurusan perbelanjaan yang baik membolehkan sektor pendidikan dijana termasuk menerusi penawaran kemudahan berkualiti tinggi.
“Kami sedar dan percaya kos pendidikan ketika ini tinggi, tetapi Malaysia sangat efektif dalam mengurus soal perbelanjaan dan sekiranya dibandingkan dengan negara lain, kos pendidikan di sini masih murah.

 

“Ini secara tidak langsung dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan dan swasta yang bekerjasama menjadikan Malaysia hub pendidikan pilihan dunia,” katanya dalam sesi dialog bersama Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majalah Forbes, Steve Forbes.
Dalam sesi temu bual hampir sejam itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran ditanya beberapa isu berkait usaha kerajaan menaik taraf sektor pendidikan negara; memperkasakan peranan wanita; keganasan termasuk pemerdagangan manusia selain aspek pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME). Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mengamal polisi terbuka bagi menggalakkan pelaburan ke negara ini, lebih-lebih lagi membuka institusi pendidikan tinggi dan universiti.
“Untuk itu, kami menyediakan segala keperluan dan sokongan diperlukan mereka. Kami beri insentif tertentu termasuk pencukaian dilonggarkan sedikit supaya ia dilihat lebih menggalakkan.

 

 

“Yang utama, kami ada kemudahan terbaik, kos murah dan suasana pembelajaran lebih selesa. Sekarang pun ramai penuntut asing dari China, Afrika, sebahagian besar dari Nigeria dan ada juga Iran belajar di sini,” katanya.
Beliau berkata, usaha memantapkan pendidikan negara diteruskan menerusi pelan pembangunan setiap lima tahun.