Guru disiplin cedera dibelasah 10 pelajar – Berita Harian


Guru disiplin cedera dibelasah 10 pelajar

14/09/2012 – 05:43:39 AM Oleh Zuliaty ZulkiffliCetakEmel Kawan
Mangsa diserang ala samseng selepas tegur pelajar buat bising

Alor Setar: Seorang guru disiplin cedera dibelasah sekumpulan 10 pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah di Jalan Gunong, di sini, dipercayai kerana menegur pelajar berkenaan yang lambat menyertai perhimpunan, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, kumpulan pelajar terbabit cuba memprotes tindakan guru lelaki berkenaan dengan membuat bising dalam kelas sebelum mangsa bergegas naik untuk melihat apa yang berlaku. Tidak bermaya

Sumber berkata, guru berusia 40-an yang cuba meleraikan tindakan ala samseng kumpulan pelajar berkenaan, bagaimanapun dikasari apabila kepalanya ditolak sebelum dibelasah.

Pelajar lain dalam kelas hanya mampu melihat kejadian itu kerana tidak berdaya untuk membantu guru berkenaan.

Malah, rotan yang dibawa guru itu juga dipatahkan kumpulan pelajar terbabit kerana geram dengan teguran berkenaan.
Difahamkan, kekecohan itu hanya dileraikan guru lain selepas insiden berkenaan dimaklumkan pelajar.

“Saya tak pasti sama sejauh mana kecederaan guru itu, namun apa yang pasti guru itu kini bercuti dan berehat,” kata sumber berkenaan.

Usaha untuk mendapatkan komen daripada mangsa tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd
Jan, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Membina keyakinan diri pelajar – Berita Harian


Membina keyakinan diri pelajar

2012/05/25

LATIHAN berkumpulan dapat membentuk semangat kepemimpinan.

LATIHAN berkumpulan dapat membentuk semangat kepemimpinan.

KEGIATAN kokurikulum mampu menjana pelajar yang berdaya saing, kompeten terhadap persekitaran dan juga sebagai satu platform bagi mengasah bakat mereka dalam apa jua aktiviti.

Menyedari hakikat itu, Unit Pembangunan Pelajar (UPP) Kolej PTPL Sabah mengadakan program Gaya Hidup Sihat baru-baru ini. Program berkenaan disertai 22 pelajar daripada pelbagai program pengajian bertujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti luar kelas.

Antara aktiviti terbabit ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dijalankan bagi membentuk semangat kepimpinan serta berkumpulan di kalangan peserta. Program berkenaan juga dapat membina keyakinan diri pelajar dalam menyelesaikan konflik persekitaran.

Sepanjang program sehari itu, pelbagai aktiviti disertai peserta. Antaranya, latihan dalam kumpulan dan aktiviti lasak seperti kerubung terbang (flying fox) dan banyak lagi.

Pengarah program, Hasrin Mohd Sim, berkata pendedahan aktiviti lasak sebegini sebagai usaha mendisiplinkan serta memberikan daya keyakinan yang tinggi padanya dan rakan. Ia juga mengajar pelajar cara berinteraksi dengan persekitaran luar.

Lapan beranak berteduh di pondok berdinding zink, kanvas – Utusan


Lapan beranak berteduh di pondok berdinding zink, kanvas

Norhawa Arip bersama dua anaknya di Kampung Parit Abdul Aziz, Sungai Balang Darat, Muar, Johor.

 

MUAR 23 Feb. – Sebuah pondok berdindingkan zink dan kanvas tanpa pintu, menjadi tempat berteduh lapan beranak di Kampung Parit Abdul Aziz dekat sini sejak lapan bulan lalu setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Pondok berukuran 20 x 15 kaki itu didiami oleh keluarga Ariffin Md. Amin, 39, bersama isteri, Norhawa Arip, 37, dan enam anak mereka berusia tiga hingga 15 tahun.

Menurut Norhawa, pondok yang didirikan atas tanah milik ibu mertuanya itu hanya menanti masa untuk roboh, selain tidak memiliki kemudahan asas.

“Pondok ini tidak mempunyai bilik dan di ruang yang sempit inilah kami tidur, berehat, makan dan tempat anak-anak membuat kerja sekolah.

“Selain itu, ‘rumah’ ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan cara membuat penyambungan dari rumah jiran,” katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini.

Norhawa berkata, apabila hujan lebat waktu malam, semua ahli keluarga tidak dapat tidur kerana terkena tempias berikutan kanvas itu tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.

Ketika itu, mereka sekeluarga terpaksa berhimpit untuk mengelak daripada terkena tempias hujan.

Katanya, pendapatan suaminya yang tidak menentu sebagai pemandu lori menyebabkan mereka tidak mampu membina rumah baharu.

“Pendapatan yang ada sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk menanggung lima daripada enam anak yang masih bersekolah,” katanya.

Norhawa pernah membuat permohonan mendapatkan rumah baharu daripada Baitulmal menerusi ketua kampung, tetapi hingga kini masih belum mendapat maklum balas.

Dia mengakui berasa sayu apabila melihat anak-anaknya membesar dalam keadaan rumah yang kurang sempurna.

Justeru, dia berharap permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi membina rumah baharu diberi pertimbangan segera oleh pihak berkaitan.

Koperasi sekolah disaran sertai Kopsya – Utusan


Koperasi sekolah disaran sertai Kopsya

ABDUL Fattah Abdullah mengedarkan brosur kempen keahlian Kopsya kepada sebahagian guru di Sungai Petani, Kedah, semalam.

 

SUNGAI PETANI 14 Feb. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memperhebatkan kempen menambah keahlian di kalangan 2,200 koperasi sekolah untuk menyertai Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) mulai bulan depan.

Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penyertaan di kalangan koperasi sekolah diperlukan bagi membolehkan pihaknya mengumpul lebih banyak dana di samping menawarkan kemudahan pembiayaan mudah kepada ahli-ahli yang bernaung di bawahnya.

Katanya, langkah tersebut juga dilihat mampu membantu kakitangan akademik dan sokongan di sekolah-sekolah agar membebaskan diri daripada dibelenggu masalah hutang dan kemungkinan diisytihar muflis.

“Peranan Kopsya adalah untuk membantu ahli-ahli koperasi di kalangan penjawat awam termasuk di sekolah menstrukturkan semula pinjaman bank mereka.

“Bagaimanapun, untuk membolehkan penjawat awam ini layak mendapatkan pinjaman, mereka perlu menyertai koperasi sekolah terlebih dahulu dan seterusnya menganggotai Kopsya,” katanya pada majlis penutup Taklimat Program Koperasi Sekolah 2012 Peringkat Kedah di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengurus (Pembangunan) Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan Angkasa, Roszurina Omar.

Abdul Fattah memberitahu, setakat ini lebih 200 koperasi kredit membabitkan dana terkumpul berjumlah RM360 juta telah menyatakan komitmen untuk menyertai Kopsya.

“Setiap koperasi disyaratkan menyumbang dana minimum sejumlah RM1,000 atau maksimum RM15 juta untuk menyertai Kopsya,” katanya.

‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’ – Kosmo


‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’

KUALA LUMPUR – Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan seorang lelaki yang begitu gelisah dan takut apabila terpaksa menyaksikan leher anak sulung perempuannya diacukan pisau oleh seorang lelaki bogel untuk dijadikan tebusan selama enam jam semalam.

Kelibat Syafrudin Marlis, 47, yang sebelum itu tidak dipedulikan oleh masyarakat sekeliling tiba-tiba menjadi tumpuan apabila dia memperkenalkan diri kepada wartawan sebagai bapa Fifi Ramadhani, 10, iaitu kanak-kanak yang dijadikan tebusan itu.

Walaupun nampak tenang tetapi naluri kebapaan yang terbit dari hati kecilnya memaksa dia mengalirkan air mata sebelum dia sudi menceritakan kejadian yang mencemaskan itu.

“Saya sebenarnya memakai kaki palsu sebelah kanan selepas ia kudung beberapa lama dulu. Saya tidak mampu untuk melawan penculik yang memasuki rumah dan menjadikan Fifi sebagai tebusan.

“Ketika itu kami sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum lelaki itu menerjah masuk. Dia kemudian mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke leher anak sulung daripada dua beradik itu,” ceritanya.

KENYATAAN AKHBAR: KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA TAHUN 2011


KENYATAAN AKHBAR: KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA TAHUN 2011


KENYATAAN AKHBAR

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN
SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA
TAHUN 2011

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 akan diadakan pada hari Khamis, 26 Januari 2012 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat UtamaAras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Pada tahun ini seramai 8,499 orang calon telah menduduki STAM di 108 pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah 8,499 calon, 3,782 merupakan calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, manakala 2,569 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 649 adalah calon Sekolah Agama Rakyat sementara 1,462 adalah calon persendirian manakala baki 37 orang adalah calon Sekolah Menengah Swasta.
Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.
Mulai tahun ini juga Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan STAM melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi26 Januari 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam1 Februari 2012. Bersama ini dilampirkan bahan promosi perkhidmatan yang dikeluarkan oleh MAMPU untuk rujukan.
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia
20 Januari 2012

MAKLUMAN SBPA


MAKLUMAN SBPA

Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk Umum, Guru dan PDRM akan dihebahkan secara serentak menerusi portal/laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MAMPU dan semua kementerian dalam masa terdekat.

Jabatan Perkhidmatan Awam
07 Disember 2011
Putrajaya