PPPM rangka kerja majukan pendidikan
Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah rangka kerja menyeluruh kerajaan dalam usaha memajukan sistem pendidikan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.
Beliau yang menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyifatkan segala inisiatif digariskan PPPM tidak mengetepikan mana-mana pihak, sebaliknya ia dihasilkan menerusi cadangan rakyat Malaysia sendiri.
“Seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara ini dan ia secara jelas meletakkannya sebagai bahasa pengantara di sekolah. “Ini juga secara tidak langsung menjadikan bahasa Malaysia sebagai keutamaan dalam sistem pendidikan.
“Bagaimanapun, tidak pula kerajaan mengabaikan pembelajaran bahasa lain apabila bantuan terus disalurkan khususnya kepada sekolah vernakular yang menjadikan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tentangan segelintir pihak terhadap pelaksanaan PPPM yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada kumpulan tertentu dan sukar diikuti.
Sementara itu, Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil Jabatan Perdana Menteri merangkap Panel Penilai Bebas PPPM, Prof Dr N S Rajendran berkata, dasar pendidikan sedia ada tidak pun diusik dalam penggubalan PPPM malah diterima sejak sekian lama justeru isu PPPM tidak memberi manfaat kepada golongan tertentu tidak sepatutnya timbul.
Menurutnya, semua pihak harus memberi peluang kepada kerajaan melaksanakan PPPM kerana pelan itu juga dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Sebelum PPPM dimuktamadkan, kerajaan mengambil kira pandangan 10,000 rakyat untuk dipertimbangkan. Ahli panel PPPM juga diwakili semua kaum.
“Menerusi laporan penilaian tahunan yang dijanji kerajaan dikongsi bersama mengenai dapatan pelaksanaan, kita masih ada peluang untuk melakukan penambahbaikan secara bersama dan mengiringi usaha menaikkan industri pendidikan Malaysia ke tahap lebih membanggakan,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh yang menegaskan terus menerajui pelaksanaan PPPM biarpun mendapat tentangan serta berkemungkinan dikenakan tindakan undang-undang oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong).
Presiden Dong Zong, Yan Sin Tian, pada 2 September lalu menyatakan tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pendidikan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/12