Pelajar, mangsa banjir terpaksa kongsi tempat – Berita Harian


Pelajar, mangsa banjir terpaksa kongsi tempat
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad, Hanneeyzah Bariah Baharin dan Azlan Hafeedz

2012/01/03

 MUSTAFA Harun, bersama isterinya Haimah Awang,  menyelamatkan barangan penting  apabila rumahnya ditenggalami air di Kampung Nyatoh, Setiu, semalam.

MUSTAFA Harun, bersama isterinya Haimah Awang, menyelamatkan barangan penting apabila rumahnya ditenggalami air di Kampung Nyatoh, Setiu, semalam.

JPN Kelantan minta pengurusan sekolah beri kerjasama

PASIR PUTEH: Lebih 800 pelajar tiga sekolah di daerah ini yang memulakan persekolahan hari ini terpaksa berkongsi tempat dengan 73 mangsa banjir apabila dewan sekolah terbabit digunakan sebagai pusat pemindahan.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang dan SK Kampung Nara.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Hussain Awang berkata, pihaknya tiada masalah berhubung penggunaan dewan bagi mangsa banjir, sebaliknya meminta pihak pengurusan sekolah memberi kerjasama kepada pihak terbabit.

Katanya, pihak sekolah boleh menggunakan kelas atau dewan lain sebagai ‘ganti’ kepada dewan yang masih digunakan bagi menempatkan mangsa banjir itu.

“Murid dan pelajar terbabit banjir di Pasir Puteh itu diberi kelonggaran, bergantung kepada situasi banjir memandangkan ada sebahagian daripada rumah mereka masih ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 11 sekolah di negeri ini iaitu sembilan di Rantau Panjang dan dua di Gua Musang tidak dapat memulakan sesi persekolahan bermula hari ini disebabkan banjir.

Di SETIU, seramai 189 mangsa masih berada di pusat pemindahan, dengan satu pusat pemindahan baru iaitu Surau Kampung Nyatoh dibuka tengah hari semalam bagi menempatkan seramai 64 mangsa.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir MKN Terengganu, berkata seramai 13 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sivik Desa Jaya; Masjid Guntung Luar (73) dan Sekolah Kebangsaan Kampung Besut (39).