Mangsa ketujuh mercun bola putus jari telunjuk – Utusan


Mangsa ketujuh mercun bola putus jari telunjuk

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

 

Noor Saipul Mohammad yang terputus jari telunjuk dan cedera pada ibu serta jari tengah menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. – Utusan/Aizzul A.Majid

 

KOTA BHARU 22 Ogos – Ketika rakan-rakan seusianya sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terpaksa melupakan hasrat tersebut apabila mercun bola yang dinyalakan meletup secara tiba-tiba di Kampung Laka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, mangsa, Noor Saipul Mohammad yang juga murid Sekolah Sri Ketereh dekat sini putus hujung jari telunjuk kanan selain cedera pada ibu dan jari tengah.

“Saya pasang mercun bola itu menggunakan api dari dapur gas. Sebaik sahaja saya mencucuh mercun itu, ia terus meletup tanpa sempat dibuang menyebabkan jari saya cedera.

“Saya terus memberitahu ibu yang ketika itu sedang menggosok pakaian dalam rumah. Dia kemudian membawa saya ke klinik,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) hari ini.

Noor Saipul merupakan mangsa ketujuh yang mengalami kecederaan serius termasuk putus jari akibat bermain mercun bola.

Tambahnya, dia menyesal dan serik dengan apa yang berlaku dan tidak akan bermain mercun lagi selepas ini walaupun diajak oleh rakan-rakan.