Kerajaan sediakan prasarana terbaik untuk sekolah setiap tahun: Muhyiddin – Bernama


Kerajaan sediakan prasarana terbaik untuk sekolah setiap tahun: Muhyiddin

2013/04/11 – 14:02:11 PMCetakEmel Kawan
PAGOH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan meneruskan usaha menyediakan prasarana terbaik kepada semua sekolah membabitkan kira-kira 16 peratus Bajet yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran setiap tahun.

Katanya, usaha itu juga bersesuaian dengan janji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diberi tumpuan bagi kepentingan rakyat negara ini.

“Kita mahu menyediakan pendidikan lebih baik kepada negara untuk anak-anak kita dengan pendidikan berkualiti dan ia tidak saja kepada pelajar sekolah kebangsaan, malah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama dan sekolah Mubaligh di seluruh negara.

“Kita membelanjakan wang besar, melabur peruntukan banyak dengan setiap tahun sebanyak 16 peratus daripada Bajet negara diberikan kepada Kementerian Pelajaran iaitu lebih RM34 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lanadron di sini, hari ini.

SJKT Ladang Lanadron yang dibuka sejak 1903 adalah sekolah Tamil yang tertua di Johor.