35,525 calon duduki PMR di Kelantan bermula hari ini – Utusan


35,525 calon duduki PMR di Kelantan bermula hari ini

KOTA BHARU 9 Okt. – Seramai 35,525 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 di Kelantan, menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini sehingga 16 Oktober depan.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 28,542 merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan.

Beliau berkata, selebihnya adalah calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan persendirian.

“Kesemua calon menduduki peperiksaan di 321 pusat peperiksaan tetap yang disediakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121009/dn_28/35525-calon-duduki-PMR-di-Kelantan-bermula-hari-ini#ixzz28o4OOZnn
© Utusan Melayu (M) Bhd

46 MRSM cari dana bantu rakyat Somalia – Berita Harian


46 MRSM cari dana bantu rakyat Somalia
Oleh Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bharian.com.my
2012/06/12
RAJA NAzRiN beramah mesra dengan pelajar selepas merasmikan Program inovasi ideapreneur MRSM di ipoh.
Sekolah raih pungutan terbanyak terima Anugerah Inovasi 2012

SERAMAI 10,000 pelajar daripada 46 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dari seluruh negara terbabit menjayakan pertandingan mencari dana untuk membantu rakyat Somalia.
Program Inovasi Ideapreneur MRSM, masuk kali ketiga itu akan memilih MRSM yang melakukan kaedah mencari dana yang paling berinovasi serta jumlah pungutan terbanyak, sebagai pemenang dan diberikan anugerah ‘Anugerah Inovasi Perdana 2012’.
Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan. – Mazlee Md Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd,penganjur program. Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis pelancaran program berkenaan Ipoh, baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh.

Penganjur program, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd, Mazlee Md Ramli, berkata pertandingan membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Empat akan menjadi acara mencari dana oleh pelajar yang terbesar di negara ini.

“Tahun ini, kita berjaya mendapatkan Yayasan Inovasi Malaysia, Mercy Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) menjadi penganjur bersama.
“Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program berkenaan.

Mazlee yang juga bekas pelajar MRSM Kota Bharu, berkata ketika ini seramai 50 guru MRSM dilatih berfikir secara inovasi.

“Guru berkenaan yang sudah selesai menjalani latihan kemudian akan melatih lima guru di sekolah masing-masing, kemudian melatih pula lima guru lagi sebelum berkongsi pengetahuan itu dengan pelajar yang menyertai pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri dijangka akan menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana 2012 untuk pemenang program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada November ini.

Mazlee berkata, sejak program tahunan itu bermula dua tahun lalu, lebih 1,000 guru dan 25,000 pelajar MRSM menjalani latihan menerusi kaedah menyuburkan pemikiran mereka dengan inovasi dan kreativiti.

Sebuah lagi MRSM akan dibina di Sarawak – Bernama


Sebuah lagi MRSM akan dibina di Sarawak

2012/05/24

BETONG: Sebuah lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dibina di kawasan utara Sarawak selaras dengan matlamat untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pembinaan MRSM itu dimasukkan dalam peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kita akan bina satu lagi MRSM di Sarawak dan lokasinya adalah di utara Sarawak dan ketika ini kita masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian MRSM Batong di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 46 buah MRSM seluruh negara manakala di Sarawak mempunyai tiga buah iaitu masing-masing satu di Kuching yang mula beroperasi pada 1993, Mukah (2010) dan Betong (2008).

Katanya, pewujudan MRSM dijangka dapat membantu masyarakat luar bandar Sarawak khasnya di kawasan utara negeri ini mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Ketika berucap, Mohd Shafie berkata, usaha kerajaan membina MRSM di negeri ini termasuk di sini membuktikan komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membawa tranformasi pendidikan di luar bandar Sarawak.

“Usaha pembangunan yang dibuat oleh BN bukan setakat pembangunan fizikal semata-mata malah juga pembangunan modal insan dan ia adalah usaha berpanjangan,” katanya.
Katanya, kerajaan BN membuat banyak transformasi di luar bandar Sarawak dan ia dapat dibuktikan dengan pembinaan kira-kira 2,000 kilometer jalan raya serta 36,000 rumah khas untuk golongan kurang berkemampuan dan miskin. – BERNAMA