Anak menjerit kedai jiran terbakar – Metro


Anak menjerit kedai jiran terbakar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BELURAN: “Ketika sibuk melayan pelanggan, saya mendengar jeritan anak memberitahu kedai di sebelah restoran kami terbakar. Tak lama kemudian berlaku beberapa letupan dan saya bersama anak serta pelanggan bertempiaran lari menyelamatkan diri.”

Itu kata kata Samsiah Awang, 48, pemilik restoran terletak bersebelahan rumah kedai yang terbakar hingga mengorbankan tiga beranak di sini, malam kelmarin.
Samsiah berkata, api marak cepat dan dia bersama pekerja serta pelanggan restoran tidak sempat berbuat apa-apa, melainkan lari menyelamatkan diri secepat mungkin.

 

“Saya masih terkejut dan trauma dengan kejadian ini. Tiga beranak yang terbunuh itu sangat baik dan hampir setiap hari mereka membeli makanan di restoran saya,” katanya.
Menurutnya, ketika ini, dia menutup restorannya untuk kerja membaiki pulih siling yang terbakar.
Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Rosman, 50, berkata, dia sedar kejadian itu apabila terdengar letupan kuat dan percikan api sebelum berlari keluar dari rumah kedai yang terletak sebaris kedai mangsa.

 

 

“Keadaan sangat kelam-kabut ketika itu dengan semua orang berusaha membantu menyelamatkan barang-barang,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30

Selamatkan ibu bapa daripada rentung – Utusan


Selamatkan ibu bapa daripada rentung

PEKAN 16 Julai – Demi kasih dan sayang kepada ibu bapanya, seorang remaja berusia 16 tahun sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak untuk membawa keluar kedua-dua mereka yang terbakar.

Kejadian berlaku pukul 2.30 pagi ini semasa rumah keluarga itu di Kampung Cenderawasih terbakar.

Mohd. Amri Abu Bakar, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan, ketika menceritakan detik cemas itu memberitahu, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap sebelum terdengar jeritan ibunya, Faidah Talib, 35, dan bapa tirinya, Abdul Karim Mohamad, 39.

Menurutnya, dia kemudian melihat kepulan asap keluar dari bilik tidur ibu bapanya sebelum menendang pintu berkenaan.

“Selepas pintu terbuka, saya lihat ayah sedang terbakar dari paras pinggang hingga ke bawah manakala ibu pula terbakar hampir seluruh badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

‘Mak tolong…mak tolong’ – Metro


‘Mak tolong…mak tolong’

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
USUNG... anggota bomba mengusung jenazah Nurshazwani dan Nurafendi yang ditemui rentung selepas api dipadamkan.
USUNG… anggota bomba mengusung jenazah Nurshazwani dan Nurafendi yang ditemui rentung selepas api dipadamkan.

MENGGATAL: “Mak tolong… mak tolong.” Itulah jeritan terakhir dua beradik sebelum perlahan-lahan hilang bersama bunyi rumah dimamah api dalam kebakaran di Kampung Gudon, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, Nurshazwani Hafize, 7, dan adiknya Nurafendi Ashraf, 2, ditemui rentung dalam bilik di rumah mereka sebaik api dipadamkan.
Ibu mangsa, Junaidah Doolyit, 32, berkata ketika kejadian dia mencuci pakaian di tingkat bawah, manakala dua beradik itu berada dalam bilik di tingkat atas.

 

Selepas kebakaran itu disedari kakak mangsa, Junaidah cuba naik ke tingkat atas bagi menyelamatkan anaknya.
“Saya cuba naik ke tingkat atas, namun dihalang ahli keluarga kerana ketika itu api sudah marak dan sebahagian tangga terbakar. “Saya mendengar jeritan Nurshazwani beberapa kali meminta tolong, namun apakan daya api terlalu marak,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.
Sementara itu, bapa mangsa, Hafize Abdullah, 28, berkata beberapa ahli keluarga cuba membantu menyelamatkan mangsa termasuk jirannya, Abdul Rahim Salin, 32, tetapi tidak berjaya.

 

 

“Ketika itu, isteri saya meminta bantuan Abdul Rahim selepas dimaklumkan Nurshazwani dan Nurafendi terperangkap di dalam bilik.
“Abdul Rahim turut mendengar jeritan Nurshazwani di dalam bilik, tetapi disebabkan api terlalu marak, mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya. Datuk mangsa, Doolyit Alihusin, 64, berkata dia sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum seorang anaknya menjerit memberitahu api merebak di tingkat atas.

 

“Saya turut cuba naik ke tingkat atas bagi menyelamatkan cucu, tetapi tidak berjaya kerana api terlalu marak. Muka saya turut melecur akibat bahang terlalu panas,” katanya.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.09 malam dan empat jentera dikerah ke tempat kejadian.
“Api berjaya dikawal pada jam 11.40 malam dan sebaik dipadamkan, bomba menemui dua kanak-kanak rentung dalam kejadian ini,” katanya.
Katanya, bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian juga belum dipastikan. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.
Sementara itu, keadaan tegang seketika apabila seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota polis bantuan menghalang petugas media menjalankan tugas dengan mengeluarkan kata-kata kesat selain cuba merampas kamera jurugambar Harian Metro.
Malah, lelaki berkenaan turut mengugut untuk mengasari jurugambar jika terus merakam gambar kejadian itu.

Duka empat beradik yatim – Sinar Harian


Duka empat beradik yatim

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 18, 2012
Duka empat beradik yatim

SUNGAI SIPUT (U) – “Peristiwa kehilangan ibu dua tahun lalu masih segar di fikiran kami, kini terpaksa berdepan masalah hilang tempat berteduh akibat kebakaran,” luah Meor Shaharudin Musa, 17 mangsa kebakaran di Felda Lasah, di sini, semalam.

Meor Shaharudin berkata, sewaktu kejadian dia dan adik-adiknya berada di sekolah dan dimaklumkan oleh pengetua mengenai kebakaran itu.

Menurutnya, mereka adik-beradik terkejut dan sangat sedih dengan kejadian itu, tambahan pula peristiwa kehilangan ibu masih lagi terasa.

“Sejak pemergian ibu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dua tahun lalu, ayah yang me­ngambil alih segala tugasan di dalam rumah.

“Selain keluar mencari rezeki, urusan makan minum dan keperluan semua ayah yang urusan untuk kami adik beradik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, walaupun sedih kami redha dengan ujian ini dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai cita-cita menjadi seorang tentera serta membela nasib keluarga.

Hanya lihat api marak

BAPANYA, Musa Abd Manaf, 48, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila dihubungi oleh salah seorang saudara.

“Ketika sampai ke rumah, saya lihat api sedang marak dan bomba juga sudah ada melakukan operasi memadam kebakaran.

“Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan hanya mampu melihat rumah kami musnah dan saya hanya ada pakaian menoreh ini sahaja,” katanya.

Katanya, dia dan anak-anaknya terpaksa menumpang teduh di rumah saudara-mara.

3 minit kawal api

SEMENTARA itu, Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Rozaman Wok berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan dalam operasi berkenaan dan pihaknya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk memadam kebakaran rumah terbabit.

“Kami terima panggilan pada jam 9.51 pagi dan tiba di lokasi dalam 16 minit kemudiannya memandangkan jarak lokasi kebaka­ran­ dari Pekan Sungai Siput ialah kira-kira 18 kilometer.

“Dengan menggunakan satu jentera, kami dapat mengawal kebakaran dalam masa 3 minit dan 90 peratus rumah berkenaan musnah,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian dan kerugian masih lagi dalam siasatan.

Bantuan segera RM2,000

MANAKALA, Pengerusi Majlis Pembangunan Kebajikan Parlimen Sungai Siput (Mayang), Datuk Dzulkifli Harun berkata, sumbangan segera diberikan bagi membantu keluarga berkenaan, lebih-lebih lagi bagi memudahkan urusan persekolahan anak-anak mangsa.

“Mayang menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,000, manakala bagi pihak peribadi saya menambah sebanyak RM1,000 lagi memandangkan segala keperluan persekolahan anak-anak musnah.

“Kita bersimpati dengan nasib keluarga ini, dan pihak atau jabatan berkaitan diharapkan dapat membantu mereka,” katanya.

Katanya, difahamkan netbook yang diberikan kerajaan kepada anak mangsa turut musnah, dan pihaknya akan meminta pihak sekolah menguruskan permohonan lain, manakala Jabatan Pendaftaran diharapkan dapat memudahkan urusan mereka untuk membuat kad pengenalan baru.