3 beradik terhidu racun rumput – Utusan


3 beradik terhidu racun rumput

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Nuramanini MAT HALUWI, Muhammad Aiman

KOTA BHARU 29 Mac – Tiga beradik berdepan detik cemas selepas terhidu serbuk racun rumput dan serangga yang berwarna ungu berkilat ketika sedang bermain masak-masak di Kampung Berangan, Tumpat di sini petang semalam.

Keadaan tersebut menyebabkan ketiga-tiga beradik berkenaan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7; Muhammad Arsyad, 6, dan Nuramanini, 5, yang terhidu bahan berkenaan mengalami muntah-muntah dan pening.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Difahamkan, ketika kejadian ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haluwi Yusof, 49, yang bekerja sebagai buruh dan Siti Fatimah Yaacob, 36, peniaga kedai runcit tiada di rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Supritendan Sharifuddin Yusof berkata, ketika kejadian ketiga-tiga beradik berkenaan dipercayai terhidu serbuk racun dari jenis faradon ketika sedang bermain masak-masak.

Menurutnya, kejadian yang menimpa ketiga-tiga beradik itu disedari oleh ibunya Siti Fatimah Yaacob, 36, selepas melihat anaknya berada di dalam keadaan lemah dan terbaring serta muntah-muntah di ruang tamu kira-kira pukul 6 petang.

“Sebaik sahaja pulang dari bekerja, bapa mangsa menghantar ketiga-tiga anak mereka itu ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan. Kira-kira pukul 7.30 malam pihak hospital telah merujuk kes berkenaan ke HPRZ II untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil rawatan yang dijalankan, pegawai perubatan hospital berkenaan memberitahu mangsa berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan racun di dalam badan akibat terhidu bahan tersebut,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tambahnya, racun berkenaan disimpan di sebuah stor belakang rumah mangsa dalam keadaan terdedah dan bapanya merupakan petani sambilan.

Sharifuddin memberitahu, racun berkenaan digunakan untuk membunuh rumput dan serangga dan semasa kejadian bahan berkenaan di simpan dalam beg plastik lusuh.

“Hasil temu bual dengan kanak-

kanak berkenaan mengatakan mereka bermain masak-masak dengan pasir berwarna ungu kilat dan kita syak bahan tersebut adalah faradon,” ujarnya.

Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain masak-masak berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumahnya.

“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Jadi ketiga-tiga adik saya kemudian mengambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan kemudian dijadikan sebagai permainan.

“Ketiga-tiga adik saya kemudiannya pening dan muntah-muntah, tidak lama kemudian mereka bertiga dibawa ke hospital,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130330/je_04/3-beradik-terhidu-racun-rumput#ixzz2P2SBzsEC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bapa Lepaskan Anak Perempuan 12 Tahun Berkahwin Untuk Elak Maksiat – mStar


Bapa Lepaskan Anak Perempuan 12 Tahun Berkahwin Untuk Elak Maksiat

Oleh SIMREN KAUR

 

Mohd Fahmi Alias dan Nor Fazira Saad, bahagia selepas majlis akad nikah pada 17 November lalu. -foto HARIAN METRO

 

KULIM: Seorang penduduk kampung bersetuju untuk mengahwinkan anak perempuannya berusia 12 tahun dengan pemuda 19 tahun, mengatakan bahawa mereka tidak perlu terjebak dengan perbuatan haram.

Saad Mustafa berkata dia telah berfikir masak-masak tentang perkahwinan anaknya yang masih muda itu dan sedar tanggungjawab dalam kehidupan selepas berkahwin.

“Lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan sesuatu yang tak elok (tidak wajar),” katanya di rumahnya di Kampung Padang Cina di sini, Khamis.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan anak perempuan Saad, Nur Fazira Saad, 12, telah berkahwin dengan Mohd Fahmi Alias, 19, minggu lalu selepas keluarga kedua-dua pihak bersetuju untuk menyatukan mereka.

Majlis akad nikah pasangan itu telah diadakan pada Sabtu selepas Nur Fazira mendapat kebenaran Mahkamah Syariah Kulim untuk berkahwin kerana dia masih di bawah umur.

Nur Fazira, yang akan memasuki umur 13 tahun bulan depan dan Mohd Fahmi telah mengenali antara satu sama lain untuk tempoh yang agak lama.

Saad, 43, berkata dia telah meminta Mohd Fahmi untuk berkahwin dengan anak perempuannya selepas anaknya tidak pulang satu malam bulan lepas.

“Keesokan harinya, saudara saya di kampung berhampiran memberitahu saya bahawa Fazira Nur tinggal di tempat Mohd Fahmi,” katanya.

Saad berkata anak perempuannya kemudian memberitahunya bahawa tidak ada apa-apa yang telah berlaku kerana dia telah menghabiskan harinya dengan Mohd Fahmi sebelum dia dihantar ke rumah saudara.

“Saya mengarahkan dia memanggil Mohd Fahmi. Apabila Mohd Fahmi datang ke rumah saya, dia memberitahu saya bahawa dia akan bertanggungjawab terhadap anak perempuan saya dan akan menjaganya.

“Saya kemudian menjawab jika demikian, mereka harus berkahwin,” katanya, sambil menambah dia berharap anaknya akan dijaga oleh suami dan keluarganya.

Akhbar harian itu memetik Mohd Fahmi sebagai berkata bahawa dia berjanji untuk menjadi suami yang baik untuk Nur Fazira.

“Lebih baik berkahwin dan bukannya terlibat dalam maksiat (hubungan haram). Saya bersetuju memang pelik berkahwin pada usia yang begitu muda,” katanya.

Nur Fazira, yang telah berhenti sekolah selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, berkata dia tidak menganggap umur menjadi halangan, sambil menambah bahawa dia sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri yang baik.

Majlis bersanding pasangan itu akan diadakan di Kampung Naga Lilit, Padang Serai, pada tengah hari Sabtu.