Pelajar bawa telefon galak kes kecurian – Metro


Pelajar bawa telefon galak kes kecurian
KUALA LUMPUR: Meskipun cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah akan disertakan beberapa syarat jika dikuatkuasakan, ia dikhuatiri tetap mendatangkan implikasi buruk berbanding kebaikan, termasuk kemungkinan melahirkan pesalah juvana.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata telefon bimbit adalah alat komunikasi yang mempunyai nilai pasaran tertentu, sekali gus memberi peluang kepada pelajar memilikinya meskipun ada antara mereka tiada berkemampuan.
“Kita tidak boleh menafikan risiko berlaku kecurian jika pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit. Mungkin ada pelajar berminat terhadap telefon bimbit milik rakan mereka tetapi dia tidak mampu membeli.

“Kecenderungan untuk mereka mencuri lebih tinggi. Guru dan pengurusan sekolah tidak mampu menangani masalah disiplin pelajar yang ketika ini pun dibebani pelbagai kerenah termasuk salah laku, buli dan ponteng.
“Bagi pihak kami, biarlah satu cadangan itu difikirkan secara lebih mendalam dan terperinci bagi mengelak masalah lebih besar,” katanya di sini, semalam.
Lee berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong kelmarin bahawa keputusan mengenai cadangan itu akan dibuat akhir tahun ini sedikit sebanyak melegakan semua pihak.

Bantah pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah – Sinar Harian


Bantah pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Julai 2012

Shamsul Bahar
ALOR SETAR – Cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah perlu dikaji semula kerana dibimbangi akan mengundang kepada masalah sosial yang lebih serius.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, kaedah terbaik perlu dicari untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin sewaktu berada di sekolah.

“Membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik yang boleh menjamin keselamatan .

“Sebaliknya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu pada, guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan masing-masing berhubung isu ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang, Shaharol Niza Omar berkata, walaupun tanpa telefon bimbit dan gajet seperti iPad, masalah disiplin pelajar adalah tidak terkawal pada masa kini, apatah lagi jika cadangan itu dibenarkan.

Menurutnya, adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, mengumumkan bahawa pelajar sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah.

“Kita tidak menafikan bahawa telefon bimbit adalah keperluan tetapi di kalangan pelajar tetapi penggunaannya pada tahap minima.

“Sekiranya masalah menghubungi keluarga dijadikan alasan sewaktu kecemasan, ia tidak logik kerana masih ada pilihan telefon awam atau telefon sekolah,” katanya.

Shaharol Niza berkata, terdapat beberapa perkara yang membimbangkan antaranya dikhuatiri boleh menjejaskan tumpuan pelajar sewaktu dalam kelas dan masa senggang untuk mengulang kaji pelajaran akan digunakan untuk ‘bersosial’ bersama rakan menerusi telefon bimbit.

“Malah, kecanggihan teknologi juga dibimbangi akan membolehkan pelajar mengakses laman yang tidak sewajarnya, jika tiada pemantauan rapi dibuat.

“Beberapa lagi kemungkinan yang timbul ialah berlaku peningkatan kes kecurian di sekolah, sikap menunjuk-nunjuk dan berlumba memiliki telefon bimbit paling canggih, selain membebankan ibu bapa dan waris,” katanya.

Menurutnya, kementerian seharusnya bersikap realistik sebelum memutuskan cadangan itu kerana kewujudan makmal komputer dengan pemantauan guru sudah memadai .

CCTV cegah ponteng sekolah – Sinar Harian


CCTV cegah ponteng sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Januari 2012

RAWANG – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan belakang sekolah antara langkah yang akan diambil untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dan pencerobohan orang luar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang (Semekar), Mohd Saufi Shafie berkata, perancangan tersebut dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Menurutnya, usaha tersebut dicadangkan ibu bapa dan pihak sekolah selepas selepas menerima banyak aduan kehilangan, kerosakan harta sekolah dan masalah disiplin pelajar.

“Pemasangan CCTV dibuat sebagai komitmen kita memastikan sekolah sentiasa selamat dan meyakinkan kepada ibu bapa bahawa PIBG sentiasa komited dalam menjaga kebajikan sekolah dan pelajar.

“Kita juga akan menaikkan infrastruktur dan prasarana yang dirasakan perlu untuk pembangunan pelajar dari semasa ke semasa,” katanya sewaktu mempengerusikan mesyuarat PIBG Kali Ke-32 SMK Rawang, kelmarin.

Selain itu katanya, PIBG sedang giat mengumpul dana berjumlah RM200,000 untuk memasang bumbung tempat perhimpunan.

“Setakat ini pihak sekolah hanya dapat mengumpul dana RM40,000 dan memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk memulakan projek tersebut.

“Pelan struktur bangunan telah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Selangor dan masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pelajaran untuk kelulusan dan dijangka diperoleh Februari ini,” katanya.

Justeru itu katanya, untuk merealisasikan pembinaan bumbung itu, PIBG bersama sekolah merencanakan pelbagai projek untuk mengutip dana.

“Kita merancang untuk mengadakan karnival dan program yang membolehkan kutipan dibuat selain mengedarkan borang sumbangan kepada orang perseorangan.

“Mesyuarat juga sebulat suara untuk meminta setiap ibu bapa menyumbang RM30 dan dijangka dapat mengutip melebihi RM80,000,” katanya.