Bapa dakwa guru pukul anak kerana pinjam buku – Sinar Harian


Bapa dakwa guru pukul anak kerana pinjam buku

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Bapa dakwa guru pukul anak kerana pinjam buku
Munisamy menunjukkan kesan kecederaan mata kanan anaknya.

RAUB – Seorang bapa kesal apabila anaknya cedera selepas dipercayai dipukul seorang guru menggunakan siku ketika waktu persekolahan.

R Munisamy, 49, berkata, kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi 7 September lalu ketika anaknya, M Ravivarma, 14, bersama 300 pelajar lain dalam dewan sebuah sekolah di sini.

Menurutnya, anaknya memaklumkan dia hanya cuba meminjam buku daripada seorang kawan, kemudiannya datang seorang guru lelaki dalam keadaan marah.

“Guru berkenaan bertindak menyiku mata kanan anak saya mengakibatkannya pengsan a lebih kurang setengah jam.

“Apabila dia tersedar, dia berasa sakit di bahagian mata, pening dan muntah-muntah,” katanya.

Munisamy berkata, dia hanya mengetahui insiden itu pada jam 1 petang hari yang sama, sedangkan kejadian berlaku pada sebelah pagi.

Katanya, dia bergegas membawa anaknya ke Hospital Raub bagi mendapatkan rawatan dan menerima cuti sakit selama satu hari.

“Pada 9 September pula, pihak hospital mengeluarkan surat untuk membawa anak saya menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultah Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pula.

“Pada 10 September pula isteri saya, M Parvathy, 48, dipanggil pihak sekolah untuk membincangkan perkara ini tetapi hasilnya tidak memuaskan kerana mereka mendakwa anak saya sering terlibat dengan masalah disiplin,” katanya.

Dia berkata, sebelum kejadian mengakibatkan kecederaan mata Ravivarma, pihak sekolah tidak pernah menimbulkan sebarang isu berkaitan disiplin dan salah laku anaknya itu, sebaliknya memaklumkan bahawa Ravivarma adalah pelajar yang baik.

“Kami tidak puas hati dengan penjelasan diberikan pihak sekolah sedangkan pada hari kejadian anak saya tidak melakukan sebarang kesalahan selain cuba meminjam buku daripada seorang kawan.

“Kami juga menunggu sehingga 20 September agar pihak sekolah melakukan tindakan yang wajar dan adil kerana kesan insiden itu mengakibatkan mata kanan anak saya mengalami kecederaan,” kata Munisamy.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India Daerah Raub, K Temil Selvam berkata, isu itu dipandang serius kerana mengakibatkan pelajar berkenaan trauma untuk ke sekolah lagi.

Sekolah agama diceroboh lagi – Berita Harian


Sekolah agama diceroboh lagi
06:04:24 AM Cetak Emel Kawan

Pasir Gudang: Pihak tertentu dikesan memecah masuk Sekolah Agama (SA) Pasir Gudang 2 dekat Taman Air Biru di sini dan merosakkan pelbagai harta benda serta kelengkapan pembelajaran.

Sejak awal tahun ini, sudah tiga kali sekolah itu didakwa dipecah masuk dengan kejadian terbaru disedari pagi semalam, apabila bilik guru, pejabat pentadbiran serta kedai koperasi sekolah dipecah dan diselongkar.

Selain menyelerakkan semua buku dan peralatan dalam almari, penceroboh turut memecahkan komponen beberapa unit komputer yang ada di situ, selain menyembur cat pada carta pentadbiran sekolah terbabit.
Malah, pelbagai jenis barang keperluan yang dikumpulkan dalam koperasi sekolah oleh guru dan pengurusan, untuk diagihkan kepada anak yatim dan murid miskin turut dirosakkan dan dimusnahkan penceroboh.

Setiap kali pencerobohan berlaku, laporan polis dibuat tetapi setakat ini dalang kejadian itu belum mampu dikesan.

Guru yang buntu dengan kejadian itu percaya, pencerobohan terbabit mungkin membabitkan pelajar sekolah itu yang mempunyai masalah disiplin yang bersekongkol dengan orang luar sebagai dalang.

Guru Besar SA Pasir Gudang 2, Mohd Idhaufi Lan, berkata kejadian terbaru disedari jam 7 pagi semalam, ketika guru datang untuk memulakan sesi persekolahan dan percaya penceroboh mahu mencari wang tunai yang disimpan di sekolah itu.

TPM seru ibu bapa pantau rapi anak – Utusan


TPM seru ibu bapa pantau rapi anak

KUALA LUMPUR 30 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru ibu bapa supaya memantau rapi anak masing-masing bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata, kesibukan bekerja tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan anak-anak terutama pelajar sekolah bebas melakukan pelbagai perkara tanpa pemantauan.

Menurut beliau, melalui pemantauan berkesan, ibu bapa boleh mengenal pasti masalah yang dihadapi anak-anak di peringkat awal dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasinya.

“Ini termasuklah bekerjasama dengan pihak sekolah dan penguat kuasa undang-undang bagi menangani masalah yang dihadapi pelajar secara bersama,” katanya ketika merasmikan Program Pemantapan dan Jati Diri Sahsiah Remaja anjuran Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (Baris) yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Nordin Hassan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan pelajar adalah aset amat berharga kepada negara dan mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keharmonian kaum serta kestabilan negara.

“Setiap tindakan dilakukan pelajar biar sekecil mana sekalipun tetap akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Berhubung isu disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar, beliau berkata, komunikasi yang lebih berkesan perlu diwujudkan antara guru, ibu bapa dan golongan tersebut bagi mewujudkan kesedaran tentang isu berkenaan.

“Lebih penting ialah pemantauan berkesan oleh ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, hasil pemantauan berterusan kementeriannya mendapati jumlah pelajar yang terlibat dalam masalah disiplin telah menurun iaitu daripada 2.06 peratus pada 2010 kepada 2.05 peratus pada tahun lalu.

“Purata kadar salah laku disiplin pelajar yang direkodkan kementerian dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2007 sehingga 2011 ialah 2.07 peratus setahun,” ujarnya.

Menurut beliau, salah laku tersebut termasuk kes berat seperti memukul, bergaduh, ponteng sekolah serta disiplin ringan seperti kekemasan diri.

“Ini menunjukkan antara dua hingga tiga peratus daripada 5.3 juta pelajar masih perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, program yang melibatkan kira-kira 1,000 pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan bertujuan memantapkan jati diri dan sahsiah mereka.

“Kita mahu melahirkan pelajar yang bersemangat patriotik dan cintakan negara,” katanya.