Semua sekolah di Kuantan dibuka semula esok – Bernama


Semua sekolah di Kuantan dibuka semula esok

 

KUANTAN 24 Jun – Semua sekolah di Kuantan yang ditutup hari ini akibat jerebu akan dibuka semula seperti biasa mulai esok, kata Pemangku Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail.

Beliau berkata, kesemua 120 sekolah menengah dan rendah di daerah itu bagaimanapun diarah supaya tidak melakukan aktiviti luar dan ko-kurikulum.

“Semua pelajar dan guru-guru terlibat akan ke sekolah seperti biasa mulai esok,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga telah mengeluarkan garis panduan kepada semua sekolah sebelum ini dalam menghadapi masalah jerebu.

Semalam, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup hari ini.

Adnan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan para pelajar ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuantan yang mencecah paras tidak sihat.

Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat 12 tengah hari ini, IPU dua kawasan di Kuantan iaitu Balok Baru dan Indera Mahkota masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, masing-masing 198 dan 171. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_32/Semua-sekolah-di-Kuantan-dibuka-semula-esok#ixzz2X8nBHzPx
© Utusan Melayu (M) Bhd

76,940 pelajar di Muar diarah bercuti – Utusan


76,940 pelajar di Muar diarah bercuti

 

NUSAJAYA 20 Jun – Seramai 76,940 murid dan pelajar di daerah Muar diarahkan bercuti serta-merta mulai hari ini berikutan masalah jerebu yang semakin meruncing hari ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, arahan tersebut membabitkan 211 buah sekolah rendah dan menengah selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 383 setakat pukul 11 pagi ini.

Menurut beliau, arahan bercuti tersebut adalah bagi mengelakkan para pelajar dan murid di daerah itu berdepan masalah kesihatan kerana jerebu kini sudah mencecah tahap bahaya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130620/dn_24/76940-pelajar-di-Muar-diarah-bercuti#ixzz2Wk3ySntR
© Utusan Melayu (M) Bhd