Hanya secebis kisah gejala moral dalam masyarakat – Metro


Hanya secebis kisah gejala moral dalam masyarakat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja seperti kehidupan liar dilalui dua gadis yang didedahkan Metro Ahad hanya secebis daripada gambaran keseluruhan gejala moral berlaku di negara ini.

Kisah hidup Nina, 14, dan Gee, 17, yang mula terjebak dalam aktiviti tidak bermoral dan hilang kesucian diri pada usia begitu muda, adalah bukti perkembangan ini membimbangkan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak kerana bakal memberi kesan negatif untuk jangka panjang.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Teratak Shifa Kuala Lumpur dan Selangor (Praktis), Thom @ Che Tom Ujang berkata, selain menjejaskan nilai murni kehidupan insan umat Islam, ia boleh memberi kesan buruk terhadap keharmonian masyarakat di negara ini.

 

Beliau yang juga pengasas Praktis iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menaungi Rumah Shifa’ untuk anak yatim, miskin dan terbiar di Setapak berkata, antara punca meningkatnya masalah itu adalah sikap masyarakat.
“Saya akui masalah keruntuhan akhlak remaja, terutama membabitkan gadis berusia belasan tahun, semakin meningkat dan membimbangkan.
“Ia berikutan semakin ramai golongan ini dihantar ke rumah kebajikan, terutama milik NGO, sebagai jalan akhir mengawal kebebasan diri dan membentuk kembali sahsiah diri mereka,” katanya.

 

 

Menurutnya, purata umur dan latar belakang keluarga penghuni yang dihantar ke rumah kebajikan miliknya menunjukkan angka membimbangkan.
Bagaimanapun, atas beberapa faktor seperti menjaga hak privasi penghuni dan keluarga serta mengelak kehadiran pihak luar campur tangan dalam urusan pentadbiran rumah kebajikan, dia tidak boleh mendedahkan statistik terbabit.

 

“Ada keluarga yang menghantar anak atau saudara mereka ke rumah kebajikan meminta pihak pentadbiran merahsiakan perkara itu daripada orang ramai, termasuk ahli keluarga terdekat, demi keselamatan penghuni.
“Justeru, kisah Nina dan Gee yang hidup bebas sehingga hilang maruah diri pada usia sebegitu muda tidak mengejutkan saya. Saya pernah berdepan kisah lebih mengejutkan dan tragik daripada mereka,” katanya.
Thom berkata, sebagai umat Islam, perlu berfikiran terbuka dan bersatu menangani masalah ini serta tidak bersikap tuduh menuduh sesama sendiri.
Sebaliknya, beliau berkata, cara terbaik ialah bersama-sama mencari jalan bagaimana mendidik remaja bermasalah di kalangan umat Islam ini supaya sedar dan kembali pada agama.
Mengulas mengenai Nina dan Gee, katanya, keluarga gadis itu perlu menggunakan pendekatan secara halus untuk kembali mendekati jiwa mereka.
Katanya, jika berdepan kesulitan daripada aspek kewangan atau beban tanggungjawab, ahli keluarga boleh menghantar mereka ke rumah kebajikannya untuk dibimbing supaya kembali ke landasan hidup yang benar serta diredai-Nya.