Wee: Kementerian Pelajaran rancang adakan program pemakanan atasi obesiti – Bernama


Wee: Kementerian Pelajaran rancang adakan program pemakanan atasi obesiti

27 Februari 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan mengadakan beberapa program membabitkan kaunselor pemakanan, ibu bapa dan pelajar bagi mengekang masalah obesiti dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bagi melibatkan ibu bapa dalam memantau pemakanan anak-anak mereka selain memastikan Indeks Jisim Badan (BMI) anak terbabit berada pada tahap ideal.

“Tanggungjawab memantau pemakanan dan BMI para pelajar bukan hanya patut dipikul oleh kementerian dan para guru namun ibu bapa juga perlu turut sama membantu.

“Jika pemakanan mereka hanya dipantau bila mereka di sekolah tapi tidak dipantau apabila berada dengan ibu bapa, usaha kami untuk mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar tidak akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) MSSM-MILO 2012, di sini, hari ini.

Kata Wee kementerian itu melaksanakan beberapa program seperti 1Murid 1Sukan yang menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sekali gus memberi peluang mengurangkan masalah berat badan berlebihan.

Katanya bermula tahun ini juga kementerian akan menganjurkan program pemeriksaan kesihatan dua kali setahun bagi menggalakkan BMI para pelajar kekal pada tahap yang baik bermula dari usia muda.

Ditanya mengenai keberkesanan program 1Murid 1Sukan,  Wee berkata, program itu mendapat respons yang baik dan penganjuran acara sukan di sekolah juga semakin meningkat  berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Kerajaan negeri juga memberi respons yang baik dan ada yang mahu kerajaan menubuhkan lebih banyak sekolah sukan negeri (SSN).

Pada majlis hari ini, atlet Sukan Olimpik 2012 bagi acara terjun 10 meter platform, Traisy Vivien Tukiet menerima Anugerah Puteri, sementara pemain skuasy Ng Eain Yow, 15, menerima Anugerah Putera.

“Saya tidak menjangka akan memiliki anugerah ini dan berterima kasih kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana telah memberikan latihan yang bagus sehingga saya dapat mencapai banyak kejayaan,” kata Ng yang pernah merangkul beberapa kejuaraan termasuk Asian Junior Individual Championship dan Milo All Star International  Open.

Remaja itu juga berharap acara skuasy akan dipertandingkan pada temasya Olimpik. – Bernama

Peratusan kanak-kanak alami obesiti meningkat – Berita Harian


Peratusan kanak-kanak alami obesiti meningkat

2012/11/25 – 06:29:48 AMCetakEmel Kawan
Seri Iskandar: Peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun menunjukkan peratusan membimbangkan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufaat Tumin, berkata Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) mendapati kadar kegemukan kanak-kanak meningkat daripada 6.6 peratus kepada 13.6 peratus.

Kajian juga menunjukkan 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah kegemukan pada 2020.

Ia berdasarkan trend peningkatan satu peratus kes obesiti pelajar setiap tahun, katanya berucap pada majlis perasmian pembukaan seminar sukan anjuran Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia di Universiti Teknologi PETRONAS di sini, semalam.

Sufaat berkata, kajian pada 2009 menunjukkan 10 peratus atau 1,150 daripada 11,500 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun mengalami masalah kegemukan, manakala enam peratus (690 kanak-kanak) mengalami obesiti.

Satu kajian lain di Kuala Lumpur membabitkan 5,995 kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun pula mendapati murid lelaki mengalami peratusan berat paling tinggi iaitu 9.7 peratus berbanding 7.1 peratus murid perempuan.

Kajian itu juga mendapati sekurang-kurangnya 10 daripada 40 murid di dalam satu kelas mengalami masalah kegemukan, tidak aktif dan berisiko berpenyakit, katanya.
Beliau berkata, langkah Kementerian Pelajaran melaksanakan program sukan dan kegiatan kokurikulum adalah alternatif bagi menangani masalah kegemukan dan obesiti murid.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian juga memperkenalkan biasiswa sukan kepada pelajar cemerlang dalam bidang sukan, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Ia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan atlit sekolah yang berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan masing-masing, katanya.

Tangani obesiti kanak-kanak – Kosmo


Tangani obesiti kanak-kanak

 

Oleh SUHANA VERU

 

REMAJA Malaysia berisiko obes jika berterusan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. – Gambar hiasan

 

PADA bulan April tahun lalu, kerajaan menguatkuasakan larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat di kantin sekolah bagi membendung risiko obesiti dalam kalangan pelajar sekolah. Langkah itu dilakukan berikutan Malaysia dilaporkan sebagai negara yang menghadapi masalah obesiti paling tinggi di Asia Tenggara dan berada di tangga keenam di Asia.

Menyedari hakikat itu, syarikat pengeluar makanan terkemuka, Nestle (Malaysia) Berhad baru-baru ini menganjurkan forum obesiti untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah obesiti selain membincangkan kaedah-kaedah untuk menangani masalah tersebut.

Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Peter R.Vogt berkata, forum tersebut adalah inisiatif pihaknya untuk memberi kesedaran mengenai penyakit itu.

“Nestle telah memulakan beberapa inisiatif dengan menyediakan pendidikan mengenai pemakanan dan cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.

“Salah satu program yang dijalankan ialah program Healthy Kids Nestle iaitu usaha untuk mendidik kanak-kanak ke arah pemakanan dan gaya hidup sihat serta menangani cabaran kekurangan khasiat dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak,” katanya pada forum obesiti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Peter, pada tahun 2007 pihaknya bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan satu kajian susulan mengenai status pemakanan berkhasiat dan tabiat pemakanan dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah bagi menentukan perubahan.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2001 mendapati berlaku peningkatan sebanyak 12 peratus dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai berat badan yang berlebihan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, peserta forum berpeluang berinteraksi dengan panel Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Dr. Norimah A. Karim berkata, kajian yang dijalankan bersama Nestle berhubung status pemakanan dan tabiat makan pelajar sekolah rendah di Malaysia pada tahun 2007 hingga 2008 menunjukkan satu daripada tiga pelajar sekolah rendah ke sekolah mengabaikan sarapan pagi.

Menurutnya, banyak faktor boleh dikaitkan dengan kegemukan. Antaranya termasuklah pengambilan makanan berlebihan dan kurang melakukan aktiviti kecergasan.

Makan seimbang

“Kajian yang dijalankan ke atas lebih 11,000 murid sekolah rendah menunjukkan, kanak-kanak di Malaysia mempunyai tabiat makan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

“Bahkan, kajian mendedahkan golongan tersebut lebih kerap makan makanan segera dan ringan. Mereka juga gemar menonton televisyen, bermain permainan kanak-kanak dan video turut menyumbang kepada peningkatan masalah obesiti,” ujarnya.

Sehubungan itu, untuk menggalakkan kanak-kanak mengamalkan cara hidup sihat mereka perlu dididik melalui corak pemakanan yang seimbang.

“Dalam konteks ini, usaha menangani obesiti bukan sahaja terletak di tangan pihak sekolah tetapi juga ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.

“Sepatutnya ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat sejak kecil. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka memilih makanan yang sihat,” nasihat Dr. Norimah.

Sementara itu, Dr. Chin Yit Siew daripada Bahagian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membentangkan kajian mengenai risiko obesiti dan kecelaruan pemakanan dalam kalangan remaja di negara ini turut bersependapat dengan Dr. Norimah.

Katanya, golongan itu terdedah dengan risiko obesiti kerana mengabaikan pengambilan makanan dan makan mengikut hawa nafsu.

“Pendek kata, remaja Malaysia sememangnya berisiko obes kerana mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat,” jelasnya.

Pengarah Bahagian Pemakanan, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Rokiah Don pula berharap pengeluar makanan perlu lebih bertanggungjawab dalam memasarkan produk-produk mereka.

“Mereka perlu peka dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985. Sebarang iklan yang keluarkan oleh syarikat makanan di televisyen perlu mematuhi akta berkenaan supaya masyarakat kita tidak disajikan dengan makanan yang tidak berkhasiat,” jelasnya.