‘Saya tak sabar belajar’ – Metro


‘Saya tak sabar belajar’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: “Saya tidak sabar untuk belajar dan berjumpa ramai kawan baru,” kata murid orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Irfan Fakhri Rosazman yang mendaftar masuk ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan Presint 14, semalam.

Fakhri yang terpaksa menggunakan papan luncur rekaan bapanya untuk bergerak kerana mengalami kecacatan bahagian pinggul yang digelar ‘Sacral Agenesis’ menyebabkan bahagian kaki tidak membesar dengan sempurna kelihatan seronok apabila kali pertama masuk ke kelas.
Di sekolah itu, dia ditempatkan di dalam kelas Pendidikan Khas Integrasi bersama 43 murid lain yang mempunyai masalah pembelajaran.

 

Bapanya, Rosazman Abd Manan, 46, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu mengalami kecacatan pada kedua-dua belah kaki sejak dilahirkan, namun dia tetap ceria dan bersemangat mahu belajar.
“Sejak memasuki prasekolah, Fakhri menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajaran dan bercita-cita menjadi seorang akauntan serta mahu membeli sebuah rumah untuk dihadiahkan kepada saya dan ibunya,” katanya yang ditemui semalam.
Menurutnya, dia dan isteri sentiasa memberi semangat kepada Fakhri supaya tidak berasa rendah diri dan cekal berdepan dengan pelbagai cabaran walaupun mengalami kekurangan fizikal.

 

 

“Saya dan isteri akan memberi tumpuan membantu Fakhri ke sekolah kerana pergerakannya terbatas terutama ketika menaiki tangga,” katanya. Harian Metro sebelum ini melaporkan kecacatan bahagian pinggul menyebabkan Fakhri hanya boleh menggunakan tangan untuk bergerak malah terpaksa mengengsot untuk bergerak dan bermain bersama kakak dan adiknya.
Keadaan anaknya memberi ilham kepada Rosazman untuk membuat rekaan papan luncur sendiri selepas melihat Fakhri duduk di atas permainan kereta kawalan jauh ketika berusia setahun.

 

Sejak itu, Fakhri yang kini berusia enam tahun tidak pernah berenggang dengan papan luncur kesayangannya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jamaluddin Yusoff berkata, seramai 2,103 murid tahun satu mendaftar bagi sesi 2013 berbanding tahun lalu seramai1,738 murid.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

48,520 murid sekolah rendah, menengah bermasalah dalam pembelajaran – Bernama


48,520 murid sekolah rendah, menengah bermasalah dalam pembelajaran

6 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Seramai 48,520 orang murid di negara ini mempunyai masalah pembelajaran termasuk penghidap Sindrom Down, Autism dan ‘Attention Deficit-Hyperactivity Disorder’ (ADHD), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu, seramai 29,169 orang adalah murid sekolah rendah dan selebihnya murid sekolah menengah.

“Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membuka sebanyak 2,050 Program Pendidikan Khas Integrasi bagi murid bermasalah pembelajaran di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata sehingga Oktober lepas, seramai 3,657 banduan dan tahanan didaftarkan sebagai perantis dalam program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu.

Sebanyak 48 bidang latihan boleh diikuti seperti pembuat pakaian, jurukimpal dan pramusaji selama tempoh enam bulan iaitu dua bulan untuk latihan teori dan selebihnya latihan praktikal, katanya.

“Setakat ini, seramai 94 banduan telah menamatkan latihan dan berjaya ditempatkan dalam alam pekerjaan. Selain itu, ia turut dapat meningkat kemahiran diri dan taraf hidup mereka,” katanya menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin. – Bernama

517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini – Bernama


517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini

11/09/2012 – 16:41:00 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini hingga Khamis.

Pelajar yang terlibat terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Sementara itu, seramai 52,172 petugas terlibat dalam memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar kali ini.

Di KUALA LUMPUR, ibu bapa juga kelihatan turut berada di kawasan sekolah bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan berkenaan.

Bagi Marlina Mazlan, 36, ibu kepada Amir Daniel Ross Affendy dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) telah mengambil cuti untuk menemani anak sulungnya menduduki UPSR.

Malah, beliau turut merasa gementar dan cemas berbanding anaknya memandangkan ini adalah kali pertama anaknya berhadapan peperiksaan besar seperti ini.

Bagi pelajar Nik Aqil Baig, walaupun merasa gementar dan risau berhadapan dengan hari pertama UPSR, beliau telah berusaha merehatkan minda sebelum menghadapi peperiksaan sejak awal pagi ini.
Malah kata anak yatim ini, selain mengadakan perancangan jadual pembelajaran yang sistematik dan melakukan ulang kaji pada saat akhir, dia turut mengerjakan solat hajat.

Guru Besar SKTM2, Mohamad Alwan Ginen berkata pihak sekolah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan itu termasuk mengadakan latihan tubi serta membantu pelajar yang lemah secara berkelompok.

Di MELAKA, seramai 15,352 murid menduduki UPSR, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Melaka, Megat Nasir Megat Hashim berkata daripada jumlah itu 102 calon berkeperluan khas menduduki UPSR, termasuk calon yang mengalami masalah pembelajaran, buta, pekak dan rabun.

“Tujuh pelajar hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini akibat kemalangan jalan raya dan sakit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata 228 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu pada tahun ini berbanding 230 tahun lalu.

Katanya bilangan petugas peperiksaan juga meningkat 29 orang tahun ini kepada 1,405 berbanding 1,376 orang tahun lalu.

Di KEDAH, seramai 40,109 pelajar mengambil UPSR di negeri ini, termasuk Zulshafakin Md Shafar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang kudung kaki kiri dari paras lutut sejak lahir berkata walaupun tidak sempurna seperti orang lain, beliau yakin mampu bersaing dengan pelajar lain untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam UPSR.

Anak petani dari Kampung Telaga Mas yang bercita-cita menjadi pendidik berkata walaupun gementar tetapi yakin mampu untuk memperoleh keputusan UPSR terbaik kerana telah bersedia menghadapinya.

Sementara pasangan kembar Nasrul Shafiq dan Nasrul Shakir Rosmi yang juga anak petani berkata mereka sering mengulang kaji pelajaran di rumah, dan sentiasa menyelesaikan segala kerja rumah bersama serta memberi tumpuan kepada guru semasa sesi pembelajaran dalam kelas. – BERNAMA

Matlamat tinggi penentu kejayaan pelajar – Berita Harian


Matlamat tinggi penentu kejayaan pelajar

Oleh Rosdi Ismail
rosdi@bharian.com.my
2012/05/21

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran menetapkan matlamat tinggi untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan hingga melayakkan mereka meneruskan pengajian ke universiti.

Timbalan Pengarah Tabung Haji (TH) Terengganu, Azilah Itam, berkata matlamat itu memberikan mereka gambaran jelas mengenai hala tuju seterusnya gigih untuk mencapai hasrat berkenaan.

Beliau berkata, calon hendaklah menggunakan peluang disediakan pelbagai pihak dalam usaha membantu mereka untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Seminar Skor A SPM tajaan Tabung Haji menerusi Kelab TaHa adalah medan terbaik untuk pelajar memperbaiki kekurangan diri selain menambah pengetahuan mengenai cara menjawab soalan dengan tepat. – Azilah Itam, Timbalan Pengarah Tabung Haji (TH) Terengganu

“Seminar Skor A SPM tajaan Tabung Haji menerusi Kelab TaHa adalah medan terbaik untuk pelajar memperbaiki kekurangan diri selain menambah pengetahuan mengenai cara menjawab soalan dengan tepat.

“Menyedari kepentingan dan keprihatinan membantu calon SPM, TH sentiasa memastikan seminar dimanfaatkan pelajar kerana memberi peluang mereka berkomunikasi dengan guru pakar untuk menyelesaikan masalah pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Skor A SPM tajaan TH dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering, Jertih, Terengganu, baru-baru ini.

Lebih 270 calon SPM daripada beberapa sekolah menengah sekitar daerah Besut, Jertih, Kemaman, Dungun, Kuala Berang dan Kuala Terengganu menghadiri seminar itu. Hadir sama, Pengurus TH Daerah Besut, Mohamed Ghazali Majid.
Pelajar SMK (Agama), Nurul Ittifaq, Kuala Besut, Norsuhada Mohd Shafie, berkata dia memperoleh banyak ilmu tambahan dan kelebihan itu membolehkannya memahami sesuatu topik sukar.

Pemahaman itu katanya, memberi peluang dia menjawab soalan dengan tepat.

“Contohnya, guru pakar pakar subjek Bahasa Melayu memberi penerangan jelas dan tepat mengenai ejaan perkataan yang betul serta penulisan karangan menepati kehendak soalan,” katanya.

Rakannya, Abdul Mukmin Amir Azha, berkata dia lebih faham dan mendapat maklumat terkini mengenai cara menjawab soalan yang betul terutama bagi subjek Bahasa Inggeris dan Matematik.