Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid – Sinar Harian


Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Oktober 2012
Dua murid ditahan kebas duit tabung masjid
“Bawah umur bukanlah alasan untuk pelajar sekolah untuk melanggar undang-undang sewenangnya. ” Ghuzlan

KULIM – Gara-gara ghairah berbelanja mewah, dua murid lelaki berusia di antara 10 dan 11 tahun ditahan orang awam kerana mencuri duit dari tabung masjid.

Suspek sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa kes kecurian antaranya mencuri telefon bimbit.

Memandangkan suspek masih di bawah umur, polis mengambil tindakan menghubungi kedua ibu bapa mereka untuk berbincang mengenai masalah sosial dihadapi anak mereka dan membayar ganti rugi kepada masjid.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata, masalah jenayah hari ini semakin serius apabila ia membabitkan pelajar bawah umur.

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka yang ditahan kerana terlibat dalam kes mencuri motosikal, kereta, ragut dan penagihan dadah.

Beliau tidak menafikan perlakuan jenayah dan masalah sosial dalam kalangan remaja bawah umur bermula dari pergaulan bebas tanpa pemantauan keluarga terutama ibu bapa.

Ghuzlan berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya laporan polis dibuat.

“Bawah umur bukanlah alasan untuk pelajar sekolah untuk melanggar undang-undang sewenangnya. Sekiranya mereka ditangkap dan laporan polis dibuat, polis akan memastikan mereka yang terlibat di dakwa di mahkamah.

“Saya meminta ibu bapa supaya bersikap peka terhadap anak-anak dan jangan sesekali terlepas pandang terhadap pergerakan mereka sekiranya anak berhadapan dengan masalah sosial dan perlakuan jenayah. Ingat, undang-undang tidak mengenal usia,” katanya.

Kadet polis mampu disiplinkan pelajar – Sinar Harian


Kadet polis mampu disiplinkan pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012
kadet polis

PONTIAN – Penglibatan pelajar dalam unit beruniform seperti kadet polis di peringkat sekolah bukan sahaja dapat mendisiplinkan mereka, tetapi turut membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim berkata, pengisian aktiviti kadet polis yang menitikberatkan soal disiplin dalam setiap aspek sangat bermanfaat kepada pelajar.

Menurutnya, mereka bukan sahaja dilatih berkawad, tetapi turut didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berguna untuk pembentukan sahsiah dan peribadi.

“Pengetahuan yang diberikan juga banyak memupuk minat pelajar untuk menyertai pa­­sukan polis sebagai kerjaya mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Pe­ringatan Hari Kor Kadet Polis ke-42 Peringkat Daerah Pontian di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini, baru-baru ini.

Katanya, keahlian pelajar di dalam unit beruniform di sekolah-sekolah menengah di daerah ini juga menunjukkan peningkatan yang amat baik dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

“Mereka sudah mula menunjukkan minat untuk sama-sama menyertai kadet polis di sekolah masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu 13 kadet polis menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan Kor dan empat sekolah menerima anugerah Kor Kadet Polis Daerah Pontian.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Maahad Pontian, Sekolah Tinggi Pei Chun, dan Sekolah Menengah Agama Bugisiah.

Sementara itu bagi Siti Najiha Jamaludin, 17, dari SMK Sri Tanjung penglibatannya dalam pasukan kadet polis sekolah telah bermula sejak tingkatan satu lagi.

Katanya, impian untuk menjadi anggota polis apabila sudah tamat sekolah kelak membuatkannya begitu berminat untuk menyertai kadet polis di sekolahnya.

“Latihan yang diadakan amat membantu mendisiplinkan saya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis,” katanya.