Dipenjara 16 tahun, 14 sebatan – Utusan Malaysia


Dipenjara 16 tahun, 14 sebatan

 

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

 

Solahuddin Awang Man dijatuhi hukuman penjara 16 tahun, 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam. – utusan/Aizzul A. Majid

 

KOTA BHARU 28 Julai – Seorang buruh, Solahuddin Awang Man yang tidak berhati perut kerana sanggup merogol anak kandungnya sendiri sebanyak tiga kali, hari ini dihukum penjara 16 tahun dan sebatan 14 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki berusia 51 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah di akhir kes pendakwaan atas tiga pertuduhan merogol anaknya yang berusia 15 tahun ketika kejadian.

Menurut hakim tersebut, sebagai seorang ayah, lelaki itu seharusnya berfikir panjang dan tidak mengikut hawa nafsu untuk merosakkan masa depan darah dagingnya sendiri.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol anaknya di rumah mereka di Tanah Merah kira-kira pukul 2 pagi, 6 Ogos 2007 sebelum mengulangi perbuatan tersebut empat hari kemudian pada masa dan tempat yang sama.

Kedua-dua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki tersebut didakwa merogol mangsa tersebut di rumah ibunya di kampung yang sama kira-kira pukul 8 pagi, 25 April 2008.

Dakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan dua kali, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala pertuduhan ketiga, dia dihukum penjara 16 tahun dan sebatan 10 kali.

Bagaimanapun ketiga-tiga hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak dan ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 16 tahun dan sebatan 14 kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Masitah Mohd. Noor.