Ragam kanak-kanak menjadi lelaki dewasa – Kosmo


Ragam kanak-kanak menjadi lelaki dewasa

BAGAIKAN sebuah pesta, kanak-kanak yang hendak dikhatankan turut menyertai perarakan khas.

 

MAJLIS berkhatan secara beramai-ramai bukan sahaja dapat menjimatkan kos malah mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Menyedari hakikat itu, Masjid Negara menganjurkan program berkhatan secara beramai-ramai di masjid itu baru-baru ini.

Seramai 200 murid sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur menyertai program berkenaan.

Majlis yang berlangsung selama satu hari itu membabitkan 10 pegawai perubatan swasta. Sepanjang majlis itu berlangsung, pelbagai ragam dan reaksi kanak-kanak dapat dilihat.

Terdahulu, kesemua peserta disiram dengan air daripada jentera Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan.

Kesemua peserta kelihatan basah kuyup dan kesejukan. Begitupun, mereka begitu seronok dapat bermain air dengan rakan yang bakal menempuh pengalaman serupa.

Sebaik selesai acara berkenaan, satu persatu daripada mereka dibawa masuk ke bilik untuk dikhatan.

Bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak yang berusia tujuh sehingga 10 tahun itu menunjukkan riak wajah yang gusar, takut atau menangis. Segelintir daripada mereka tenang melalui proses ‘kedewasaan’ itu sambil melayan permainan video.

RAMAI ibu bapa dilihat berada di sisi anak-anak mereka untuk memujuk dan menenangkan perasaan.

 

Kesemua kanak-kanak itu dikhatankan dengan menggunakan kaedah AlisKlamp.

Cara itu itu bukan sahaja mudah dan selamat tetapi menjimatkan kos kerana kanak-kanak tidak perlu mengambil antibiotik mahupun ubat untuk mencuci kesan luka.

Penolong Pengarah Kanan, Unit Pendidikan, Masjid Negara, Mohammad Zaki Ibrahim berkata, program itu diadakan untuk meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan berkhatan.

“Kanak-kanak yang telah berkhatan akan berasa diri mereka berbeza daripada kanak-kanak yang lain. Ini kerana amalan berkhatan adalah salah satu agenda dalam kehidupan menuju ke alam dewasa,” katanya.

Dalam pada itu, program tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan Masjid Negara bagi mendekati warga kota sejak tahun 1993.

Selain itu, ia juga membantu golongan ibu bapa untuk mengurangkan beban kewangan memandangkan kos berkhatan boleh mencecah RM250 hingga RM280 seorang.

KANAK-KANAK ini gembira disirami air sehingga basah kuyup sebelum berkhatan.

 

Bagaimanapun, dalam program ini, peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM150. Beliau menyifatkan sambutan kali ini lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.

“Kami gembira atas sokongan ibu bapa yang menjayakan program ini dengan menghantar anak-anak mereka untuk dikhatan secara beramai-ramai,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, dua adik-beradik berketurunan Cina turut mengambil bahagian. Mereka ialah Chai Kian Fei, 10, dan Kian Haw, 7.

Penglibatan itu berikutan ibu mereka, Kok Mi Fung tertarik dengan manfaat berkhatan selepas terbaca iklan dalam surat khabar.

Sementara itu, Mohd. Zainul Mohd. Dahlan, 8, mengakui sebaik menjejak kaki ke Masjid Negara dia mulai berasa takut.

“Selepas sunat, barulah berasa lega. Lagipun, tidak begitu sakit seperti yang digembar-gemburkan oleh rakan-rakan lain yang telah berkhatan,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2EK6xqPQy
Hakcipta terpelihara

Kem ibadah kanak-kanak dan remaja di Masjid Negara November ini – Bernama


Kem ibadah kanak-kanak dan remaja di Masjid Negara November ini

8 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Masjid Negara akan menganjurkan kem ibadah untuk kanak-kanak berumur dari sembilan hingga 12 tahun dan remaja (13-17 tahun) selama tiga hari pada bulan depan.

Kem ibadah untuk kanak-kanak akan diadakan mulai 11 Nov manakala untuk remaja bermula 23 Nov, demikian menurut kenyataan Masjid Negara hari ini.

Kem itu adalah untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia, bersahsiah terpuji dan mempunyai jati diri tinggi selain melahirkan generasi soleh dan solehah yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Program terbuka kepada lelaki dan perempuan dan antara aktiviti yang akan dijalankan ialah motivasi jati diri, kem ibadah, ‘bisikan nurani’, ‘mutiara iman’ dan ‘anak soleh permata negara’.

Setiap peserta dikenakan yuran penyertaan RM110 dan mereka yang berminat boleh menghubungi urus setia program menerusi talian 03-26937784, Ustaz Subhi di talian 013-2368220 atau Ustaz Abdul Latif di talian 017-3418799. – Bernama