43 pelajar India diberi kelas tambahan percuma – Sinar Harian


43 pelajar India diberi kelas tambahan percuma

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
43 pelajar India diberi kelas tambahan percuma
Varijithevan sedang mengajar pelajar-pelajar SPM dalam kelas tambahan yang diadakan secara percuma.

KLUANG – MIC Bahagian Kluang menyediakan kelas tambahan percuma kepada 43 pelajar India yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pelajar-pelajar tersebut adalah mereka yang terdiri daripada keluarga kurang mampu dan mereka yang memerlukan kelas tambahan sebagai persiapan menghadapi peperiksaan tersebut.

Ketua MIC Bahagian Kluang, G Raman berkata, pelajar-pelajar akan diajar oleh seorang guru sukarela daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Mengkibol iaitu S Varijithevan.

“Program kelas tambahan itu adalah usaha MIC Kluang untuk membantu pelajar dalam kalangan kaum India untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,” katanya pada program seminar di Balai Raya Persatuan Penduduk India, Taman Kluang Barat, di sini, kelmarin.

Raman berkata, selain itu MIC Bahagian Kluang juga mengadakan seminar kepada para pelajar berkenaan.

Katanya, bukan itu sahaja pihaknya turut menyumbangkan kelengkapan alat tulis kepada semua pelajar dan makanan tambahan yang berkhasiat sepanjang kelas tambahan itu berlangsung.

“Program seperti ini juga merupakan satu usaha untuk membuktikan bahawa kami amat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi setiap penduduk berketurunan India khususnya dari golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Dengan adanya program seumpama ini ianya secara tidak langsung dapat mendekatkan kami dengan masyarakat India seterusnya memahami permasalahan yang mereka hadapi, selain dapat meringankan beban ibu bapa pelajar berkenaan,” katanya.

Kerajaan tidak diskriminasi sekolah vernakular – Utusan


Kerajaan tidak diskriminasi sekolah vernakular
Muhyiddin Yassin melihat gelagat sebahagian murid SJKT Vivekananda yang ceria dengan perasmian bangunan baru sekolah berkenaan yang disempurnakan oleh beliau di Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA 28 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak pernah mendiskriminasi sekolah vernakular di negara ini termasuk dalam pemberian peruntukan kewangan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan kelangsungan hayat sekolah yang dianggap sebagai legasi itu dan kewujudannya perlu diterima oleh semua pihak.

“Ada pihak kata kita tak beri sokongan dan bantuan yang cukup. Ini kenyataan tidak benar.

“Dari 2010 hingga tahun lalu, Kementerian Pelajaran belanja lebih RM1.04 bilion untuk bayaran kos operasi sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan jika ditambah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), kita belanja RM2.4 bilion,” katanya berucap pada majlis perasmian bangunan baru SJKT Vivekananda di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan Pengerusi Vivekananda Ashrama serta SJKT Vivekananda, Tan Sri Dr. K. Ampikaipakan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain peruntukan kewangan, kerajaan juga akan memastikan kualiti pembelajaran sekolah vernakular ditingkatkan menerusi Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menggesa pemimpin-pemimpin masyarakat India untuk ‘duduk semeja’ dengan beliau bagi membincangkan kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah kekurangan murid di beberapa SJKT.

“Saya dimaklumkan banyak sekolah seperti ini (SJKT) sekarang jadi sekolah kurang murid. Ada sekolah yang boleh memuatkan 100 murid tetapi cuma ada 10 orang sahaja.

“Jadi saya nak ajak pemimpin masyarakat India untuk duduk dengan saya tentang apa yang boleh kita lakukan. Sama ada kita jadikan sekolah integrasi atau ditempatkan di sekolah yang muridnya ramai,” katanya.

Beliau kemudiannya mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM6 juta kepada SJKT Vivekananda dan SJKT Vivekananda serta SMK Vivekananda di Brickfields.

Kerajaan juga jelasnya, bersetuju meluluskan permohonan mewujudkan tingkatan enam di SMK Vivekananda dengan tiga syarat utama selain mengkaji keperluan membina asrama.

Terdahulu, pada majlis sama, beliau menyaksikan penyerahan tajaan sebanyak RM50,000 oleh Takaful Malaysia Bhd. untuk menaik taraf makmal teknologi maklumat sekolah itu.

Tawaran bina SRJK Tamil Lunas dikeluar 15 Mac – Bernama


Tawaran bina SRJK Tamil Lunas dikeluar 15 Mac

7 Mac 2012

KULIM – Masyarakat India khususnya para ibu bapa di Lunas dan sekitarnya kini sudah tidak perlu risau lagi kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah akan mengeluarkan tawaran membina sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Jalan Paya Besar, Lunas dekat sini pada 15 Mac ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, S.Ananthan yang mendapat maklumat terkini daripada Kementerian Pelajaran memberitahu bahawa kos bangunan sekolah itu telah meningkat sebanyak RM1.8 juta berbanding kos asal RM8.6 juta ringgit.

“Ini adalah kerana skop kerja telah berubah dan kos terkini adalah RM10.4 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Skim Mesra Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada 20 peserta peringkat pertama daripada 60 peserta dalam Pusat Veetri DUN Lunas di sini hari ini.

Ananthan berkata pembinaan bangunan sekolah itu merangkumi 12 bilik darjah, sebuah bilik kelas prasekolah, makmal komputer dan lain-lain kemudahan untuk menampung hampir 1,000 pelajar.

Katanya dijangkakan selepas tawaran dikeluarkan kerja-kerja permulaan di tapak dijadual pada 15 Jun depan dan bangunan dijangka siap pada hujung 2013.

“Kerajaan Barisan Nasional menunaikan janji-janji yang dibuatnya dan sentiasa mengamalkan cogan kata rakyat didahulukan dan bukanlah berjanji pelbagai retorik yang menjadi gendang kosong semata-mata,” katanya. – Bernama

PM lulus bina 6 SRJK Tamil – Sinar Harian


PM lulus bina 6 SRJK Tamil

NORHASPIDA YATIM
January 22, 2012
Najib Tun Razak

PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kelulusan permohonan masyarakat India agar kerajaan membina enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT).

Keenam-enam sekolah akan dibina di Taman Keladi di Sungai Petani, Heawood Estate. Sungai Siput; Taman Sentosa,  Klang; Taman PJS1, Petaling Jaya; Bandar Mahkota, Cheras dan Bandar Seri Alam di Masai, Johor.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3.5 juta untuk pembinaan bangunan empat tingkat SRJKT Kinrara di sini.
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di sini, pagi ini.
Najib berkata, mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan “lesen” untuk membina SRJKT terbabit.
Menurut beliau, ia adalah pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang digerakkan oleh sekolah-sekolah Tamil dalam masyarakat India di negara ini.
Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap kedudukan 15 buah SRJK Tamil yang mempunyai bilangan pelajarnya kurang daripada 10 orang, yang mana perlu dipindahkan ke kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai yang memerlukan pendidikan daripada sekolah tersebut.
“Inilah langkah yang bakal diambil oleh kerajaan untuk masa depan sekolah Tamil. Yang penting, ada kerjasama yang erat antara kerajaan, persatuan guru-guru sekolah Tamil, PIBG dan komuniti kaum India, khususnya.
“Kita mesti anggap ini sebagai satu usaha bersepadu untuk merealisasikan objektif kita,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, Pengerusi BN ini mengeyorkan agar satu persidangan khas membincangkan masa depan SRJKT perlu diadakan bagi menghasilkan satu pelan induk mengenainya.
Beliau berkata, persidangan itu yang melibatkan warga pendidik sekolah Tamil, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) antara lain perlu membincangkan pelbagai aspek mengenai sekolah tersebut.
Ini termasuk sama ada masih relevan mewujudkan kelas  peralihan untuk pelajar sekolah tersebut, katanya.
“Masalah kekangan guru-guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah, dan reka bentuk sekolah Tamil itu serta lain-lain keperluan, patut dibincangkan pada persidangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata rumusan daripada persidangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sekolah jenis tersebut.