NEW YORK: Datin Seri Rosmah Mansor berkata, bakat luar biasa yang dimiliki pelajar Malaysia, termasuk yang berada di luar negara perlu dicungkil dan dimanfaatkan kerana mereka modal insan negara untuk masa akan datang.
“Malaysia perlu memanfaatkan semua modal insannya untuk menjadi negara maju,” kata isteri Perdana Menteri pada satu majlis di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, kelmarin.
Majlis itu dihadiri masyarakat Malaysia, termasuk pelajar yang mengikuti pengajian di sini serta anggota perkhidmatan diplomatik dan rakan rakyat Malaysia, terutama daripada sektor perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Rosmah, yang tiba pada Rabu, dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena Persidangan ke-56 Suruhanjaya Mengenai Status Wanita (CSW) PBB, yang sedang berlangsung di sini.
Pada Jumaat, beliau menyampaikan ceramah bertajuk Memperkasakan Ekonomi Wanita Luar Bandar pada persidangan itu.
Rosmah menyeru pelajar Malaysia di luar negara supaya belajar dengan tekun, memperkaya pengalaman serta meningkatkan kemampuan, sebelum pulang untuk berkhidmat di tanah air.
Beliau menasihati mereka supaya memanfaatkan peluang yang ada, bukan saja untuk memperoleh ilmu dan kemahiran baru, tetapi lebih penting, untuk mengenali rakyat negara yang hebat ini.
Rosmah berkata beliau amat menghargai bantuan serta pertolongan yang diberi rakan-rakan di Amerika Syarikat kepada pelajar dan masyarakat Malaysia di sini. “Di samping melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, hubungan antara Amerika dan Malaysia juga dipertingkatkan melalui hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kebudayaan,” katanya.
Mengenai Permata Seni, beliau berkata program itu, yang bertujuan mengenal pasti kanak-kanak yang berbakat dan berpotensi dalam bidang seni untuk diberi pendedahan dan latihan agar kebolehan dan bakat mereka dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi, telah membuahkan hasil.
Ini terbukti apabila pemuzik berbakat besar Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal, 13, daripada Permata Seni Muzik, diterima melanjutkan pengajian dalam bidang piano dan penggubahan lagu di sekolah muzik terkenal dunia Juilliard School dan dia rakyat Malaysia pertama diterima belajar di sekolah berprestij itu.
Sementara itu, Amir Adrian Amir Hamzah, 10, daripada Permata Seni Koir pula mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat tempat di Augarten Palace di Vienna, Austria – tempat yang melatih kanak-kanak untuk menganggotai Vienna Boys Choir, yang terkenal itu. – Bernama