Penjawat awam belasah isteri boleh dikenakan tindakan tatatertib: KSN – Bernama


Penjawat awam belasah isteri boleh dikenakan tindakan tatatertib: KSN

2013/08/15 – 17:23:04 PMCetakEmel Kawan
SEPANG: Penjawat awam yang dilapor membelasah isterinya dalam lif seperti yang tersebar di laman web sosial akan dikenakan tindakan tatatertib jika terbukti bersalah, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Selepas polis membuat siasatan, kami akan ambil tindakan sewajarnya. Jika terbukti bersalah akan melalui hukuman yang dikenakan melalui mahkamah.

“Seterusnya tindakan mengikut peraturan yang sedia ada dalam perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Ketua Setiausaha Negara bersama masyarakat Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Sungai Melut di sini hari ini.

Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebar secara meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali dalam sebuah lif hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun. – BERNAMA

RM1,000, iPad untuk 13 pelajar Orang Asli cemerlang – Metro


RM1,000, iPad untuk 13 pelajar Orang Asli cemerlang

 0  0 Google +0  0  0

Pekan: Kerajaan melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad memberi cenderahati wang tunai RM1,000 dan sebuah iPad kepada semua 13 pelajar Orang Asli di Pahang yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Sumbangan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli dan Pelancaran Bekalan Elektrik Luar Bandar Kampung Orang Asli Gumum di sini, semalam. Najib dalam ucapannya berkata, antara sebab kehadiran beliau ke Kampung Gumum adalah kerana mahu bertemu sendiri seorang daripada anak Orang Asli di kampung berkenaan yang mendapat keputusan 8A dalam SPM iaitu, Juliana Zaszira Ismail, 18.
“Kejayaan Juliana boleh dijadikan contoh dan diketengahkan atau ikon masyarakat Orang Asli seluruh negara.

 

“Ini juga bukti melalui peluang disediakan kerajaan, anak Orang Asli boleh berjaya seperti kaum lain,” katanya yang sempat meluangkan masa 15 minit beramah mesra dengan Juliana dan keluarganya di rumah mereka.
Sementara itu, Juliana ketika ditemui berkata dia tidak menyangka keputusan cemerlang diperoleh dalam SPM membuatkan Perdana Menteri sanggup datang ke rumahnya untuk bertemu dengan mereka sekeluarga.
“Saya rasa gembira kerana selama ini hanya dapat melihat beliau dari jauh atau di televisyen saja, tapi hari ini (semalam) kami dapat bertemu muka.

 

“Dengan penghormatan diberikan Perdana Menteri ini, saya harap dapat menguatkan lagi semangat untuk terus cemerlang dalam pelajaran, sekali gus memajukan diri dan keluarga serta masyarakat Orang Asli,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Juliana berkata dia mahu menjadi peguam atau pendidik dan sudah membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Bagi bapanya, Ismail Muhammad, 50, kejayaan anak kelima daripada tujuh beradik itu diharap dapat diteruskan kerana Juliana kini menjadi antara ikon masyarakat Orang Asli di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Ayah lari, perbuatannya rogol anak sendiri diketahui isteri – Sinar Harian


Ayah lari, perbuatannya rogol anak sendiri diketahui isteri
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012

Raja Shahrom
AYER KEROH – Seorang isteri masyarakat Orang Asli di sini terkejut apabila mengetahui anak gadisnya berusia 16 tahun 5 bulan berbadan dua hasil hubungan dengan suaminya sendiri.

Wanita berusia 35 tahun yang mempunyai empat cahaya mata itu hanya mengetahui mengenai bayi dikandung anak keduanya apabila membuat pemeriksaan di sebuah klinik
kesihatan dekat Alor Gajah, 28 Jun lalu.

Pemeriksaan itu dibuat selepas dia sering melihat kemerosotan tahap kesihatan anaknya, selain anaknya mengadu lemah badan.

Menurut sumber, kandungan yang sudah mencecah usia lima bulan itu diketahui adalah hasil hubungan mangsa dan bapanya sendiri selepas diminta memberitahu perkara sebenar.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, pihak klinik memaklumkan mangsa mengandung lima bulan, lalu ibu mangsa memaksa mangsa menceritakannya.

“Mangsa kemudian memberitahu telah beberapa kali dirogol bapanya iaitu suami kepada ibunya yang telah dua bulan tidak pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian
di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, mangsa dan ibunya mambuat laporan di Balai Polis Tebong, Alor Gajah pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa dirogol bapanya yang berusia 40 tahun dan sehingga kini polis masih cuba mengesan suspek yang dipercayai telah lari ke dalam hutan.

“Setakat ini polis telah meminta bantuan golongan Orang Asli, selain Tok Batin untuk mengesan suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.