Mat rempit 12 tahun – Metro


Mat rempit 12 tahun

Oleh SALMAN HAMAT
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULAIJAYA: Selepas menunggang motosikal lebih 40 kilometer tanpa lesen serta tidak memakai topi keledar, dua murid tahun enam ditahan dalam operasi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya di sekitar Pekan Kelapa Sawit, di sini, pagi semalam.

Ketika ditahan untuk pemeriksaan, dua kanak-kanak berasal dari Pontian itu memberi alasan menunggang ke pekan berkenaan untuk membeli alat ganti motosikal yang didakwa dijual pada harga lebih murah.
Bagaimanapun, alat ganti didakwa baru dibeli mereka dirampas berikutan kegagalan menunjukkan resit pembelian selain untuk siasatan lanjut.

 

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, seorang lagi kanak-kanak berusia 12 tahun turut ditahan dalam operasi bermula jam 9 pagi itu selepas menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan tidak mempunyai lesen memandu.
“Seramai 30 penunggang motosikal ditahan dalam operasi ini atas kesalahan seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.
“Kesalahan dilakukan dianggap serius berikutan penunggang terbabit terdedah kepada risiko kemalangan. Selain itu, kami dapati ada motosikal ditunggang sudah tamat cukai jalannya sejak 2006.

 

 

“Sebahagian besar yang ditahan adalah remaja bawah umur dan mereka menunggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa masing-masing, sedangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.
Dalam operasi itu, sebanyak 51 saman dikeluarkan dan semua yang ditahan dibawa ke IPD Kulaijaya untuk pemeriksaan lanjut.

 

Selain itu, ibu bapa dan pemilik asal motosikal berkenaan turut dipanggil ke IPD Kulaijaya untuk membantu siasatan.
“Saman juga akan dikenakan terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal kerana membenarkan remaja bawah umur menunggang kenderaan itu,” katanya.
Zulkefly berkata, operasi dijalankan berikutan aduan diterima pihaknya selain jumlah kemalangan membabitkan remaja tanpa lesen di daerah berkenaan kerap berlaku.
Sebelum ini, menurut Zulkefly, pihaknya menjalankan program kesedaran keselamatan jalan raya, termasuk mengagihkan topi keledar secara percuma di kawasan berkenaan, namun masih ramai gagal mematuhi undang-undang jalan raya.
“Terbaru, kempen keselamatan jalan raya dijalankan kelmarin tetapi masih ramai yang ingkar,” katanya.