301 saman dikeluarkan dalam operasi cegah gejala rempit
KUALA TERENGGANU 13 Okt. – Seorang ibu dan anak perempuannya berusia 17 tahun antara beratus pesalah trafik yang ditahan dalam operasi mencegah mat rempit yang diadakan Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sekitar Padang Midin, dekat sini semalam.
Wanita berusia 36 tahun yang mendakwa kononnya mereka dalam perjalanan ke rumah keluarga angkatnya ditahan dalam operasi selama 14 jam di sekitar kawasan itu melibatkan seorang pegawai dengan 99 anggota polis manakala enam orang lagi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Operasi kali ketiga yang diadakan di bandar raya Kuala Terengganu itu diadakan bermula 3 petang dan sebanyak 20 buah kereta dan 417 buah motosikal telah diperiksa dengan jumlah 301 saman trafik pelbagai kesalahan dikeluarkan.
Antara kesalahan dilakukan adalah menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor plat motosikal yang tidak mengikut spesifikasi.
Dalam operasi itu juga menyaksikan pelbagai tindakan berani kumpulan mat rempit yang cuba memboloskan diri daripada sekatan jalan dengan melawan arus selain memasuki jalan-jalan kecil dan meninggalkan motosikal mereka di warung-warung.
Ketua Operasi Unit Khas tersebut, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, dalam operasi itu, sebanyak 13 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan manakala 123 buah lagi diberikan notis arahan untuk pemeriksaan semula.
“Dalam operasi ini juga, kita turut menahan dua penunggang motosikal di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana melakukan aksi berbahaya manakala empat orang penunggang ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Terdapat juga 43 buah motosikal ditinggalkan pemiliknya yang sempat melarikan diri ketika operasi itu dijalankan dan kesemua pemiliknya akan disaman semasa menuntut kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui selepas operasi di sini semalam.
Dalam pada itu, Khuzir berkata, operasi tersebut akan diadakan secara berterusan agar kegiatan berkenaan tidak lagi berleluasa di negeri itu.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelakkan golongan itu terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah.
“Kita akan meneruskan operasi ini dari masa ke masa bagi membendung masalah mat rempit dan justeru itu, saya harap ibu bapa dapat memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menjayakan operasi ini pada masa akan datang,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121014/je_02/301-saman-dikeluarkan-dalam-operasi-cegah-gejala-rempit#ixzz29LMpRpIJ
© Utusan Melayu (M) Bhd