PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi – Bernama


PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

“Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza,” demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

“Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi,” menurut pelan itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_30/PPPM-Soalan-UPSR-SPM-berbentuk-pemikiran-tinggi#ixzz2e7riv3Q9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Manifesto BN: Wujudkan sistem pendidikan terbaik dunia – Bernama


Manifesto BN: Wujudkan sistem pendidikan terbaik dunia

7 April 2013
Manifesto
Manifesto

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berjanji untuk membawa sistem pendidikan negara ke taraf antara terbaik di dunia dengan memperbaiki kualiti sekolah kebangsaan.

Manifesto BN bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini, berjanji membawa Malaysia ke “tahap kategori tiga teratas” dalam sistem pendidikan terbaik dunia.

Selain itu BN turut menggariskan usahanya dalam membina kecemerlangan pendidikan negara termasuk berjanji untuk memperkasakan Bahasa Inggeris dengan menjadikannya mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memperbaiki penguasaan bahasa itu dan Bahasa Malaysia dari tahap prasekolah.

Perhatian juga terus akan diberikan untuk meningkatkan prestasi mata pelajaran Sains dan Matematik, selain membentuk kemahiran berfikir yang tinggi di kalangan pelajar, serta mengembangkan persekolahan satu sesi, dan menyediakan makmal ICT di sekolah-sekolah yang memerlukan.

BN juga berjanji menyediakan lebih banyak sekolah, meliputi semua jenis sekolah, di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, dan menyediakan insentif kewangan sebanyak RM100,000 setahun kepada sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

BN juga berjanji untuk menyediakan lebih banyak biasiswa berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

Mengenai komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak, BN berjanji memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti di kawasan tersebut, dan memperluaskan pendidikan prasekolah meliputi semua jenis sekolah.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), BN berjanji untuk memperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang mudah bagi Bahasa Malaysia di kedua-dua sekolah tersebut.

BN juga akan menukar status SJKT kepada sekolah bantuan penuh kerajaan jika sekolah berkenaan berhasrat berbuat demikian, menurut Manifesto BN.

Selain itu, BN juga berjanji untuk meneruskan peruntukan khas kepada semua jenis sekolah termasuk SKJC, SJKT, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.

Bagi guru pula, BN berjanji menyediakan laluan kerjaya baharu kepada 420,000 guru dengan membolehkan mereka dinaikkan pangkat segera berdasarkan prestasi masing-masing.

Juga akan merombak institut-institut perguruan dan menaikkan syarat pengambilan guru pelatih.

BN juga berjanji mentransformasikan sekolah vokasional menjadi kolej dan menambah pelajar sebanyak 20 peratus, serta menyediakan jalur lebar WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain itu, juga akan  memperkenalkan skim pemilikan laptop di sekolah-sekolah berasrama dengan kemudahan internet.  – Bernama

Kecewa anak diarah tukar sekolah – Kosmo


Kecewa anak diarah tukar sekolah

 

Oleh RIZAM ZAKARIYA
rizam.zakariya@kosmo.com.my

 

SHAHRUL ASMAWI (kanan) menunjukkan laporan polis sambil diperhatikan Nur Emilia di Kepala Batas semalam.

 

KEPALA BATAS – Seorang bapa kecewa anaknya yang berusia 12 tahun bukan sahaja dirotan oleh seorang guru malah diarah keluar dari kelas dan bertukar sekolah lain gara-gara gagal menyiapkan kerja sekolah.

Shahrul Asmawi Rashid, 35, mendakwa, kejadian itu berlaku ketika anak sulungnya, Nur Emilia sedang mengikuti mata pelajaran muzik yang diajar guru berkenaan di Sekolah Kebangsaan Permatang Binjai di sini pada pukul 8.30 pagi Jumaat lalu.

Katanya, guru perempuan tersebut yang juga mengajar mata pelajaran Sains telah bertanyakan tentang kerja sekolah bagi mata pelajaran Sains yang diberikan beberapa hari sebelum itu.

Jelasnya, disebabkan anaknya bersama empat lagi rakannya gagal menyiapkan tugasan tersebut, guru berkenaan didakwa telah bertindak merotan mereka sebelum menyuruh empat rakan anaknya duduk.

“Selepas itu, guru berkenaan didakwa terus memarahi anak saya dan bertindak menarik tudungnya hingga tercabut selain menolak anak saya dan melempar buku ke lantai sebelum mengarahkan anak saya balik ke rumah.

“Disebabkan rasa malu, anak saya terus keluar dari kelas dan menunggu di tempat letak basikal sebelum didatangi seorang rakan kelasnya yang memberitahu guru berkenaan telah mengarahkan anak saya bertukar ke sekolah lain,” katanya.

Menurut Shahrul Asmawi lagi, kira-kira pukul 9.30 pagi pada hari yang sama, dia menerima panggilan telefon daripada guru tersebut yang bertanyakan sama ada anaknya sudah sampai di rumah atau belum.

Katanya, dia yang terkejut dengan perkara itu kemudiannya terus bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan sekolah sebelum menemui anaknya di tepi jalan di belakang sekolah tersebut.

“Bila sampai di rumah, anak saya terus menangis dan menceritakan kejadian yang berlaku di sekolah sebelum memberitahu, dia kini berasa malu untuk ke sekolah lagi.

“Saya tak kisah kalau guru berkenaan pukul anak saya kerana tak siapkan kerja sekolah tetapi dia (guru berkenaan) tiada hak untuk halau anak saya keluar daripada sekolah ataupun arahkan anak saya pindah sekolah,” jelasnya.

Disebabkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan, dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, guru terbabit tidak boleh mengarahkan murid tersebut keluar dan bertukar sekolah dengan sewenang-wenangnya serta pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2Ks4owuFx
Hakcipta terpelihara

Tiada larangan cetak buku teks dalam bahasa Inggeris – Metro


Tiada larangan cetak buku teks dalam bahasa Inggeris

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak pernah memberi arahan kepada penerbit untuk tidak mencetak buku teks mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (BI) bagi pasaran terbuka.

Dalam jawapan bertulis diedarkan di Dewan Rakyat, semalam, Kementerian Pelajaran memaklumkan pihak penerbit boleh mencetak buku tersebut bagi pasaran terbuka.
“Kementerian tidak menghalang penerbit mencetak buku teks Sains dan Matematik untuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sedia ada bagi pasaran terbuka sehingga kohort murid terlibat dalam PPSMI selesai.

 

“Kementerian juga bersedia membantu sekolah yang menghadapi masalah pembekalan buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) yang mengatakan terdapat ibu bapa mengadu mengalami masalah mendapatkan buku latihan dan teks PPSMI kerana arahan pemberhentian penerbitan dalam bahasa Inggeris.
Fong menyoal demikian ketika Perbahasan Belanjawan 2013 Peringkat Jawatankuasa kementerian itu, 7 November lalu.

 

 

Menurut jawapan itu, selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai 2010, kementerian telah menerbit buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.
“Dengan perlaksanaan dasar MBMMBI, PPSMI mengalami ‘soft landing’ mulai 2011,” menurut kementerian. – Bernama

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30

‘Saintis’ pencuri – Metro


‘Saintis’ pencuri
Oleh Norasikin Daineh
norasikin@hmetro.com.my

KENINGAU: Minat terhadap mata pelajaran sains sesuatu yang positif, namun keadaan menjadi sebaliknya bagi seseorang pelajar apabila dia menjadikan bilik tidurnya seperti makmal mini menggunakan peralatan dipercayai dicuri dari makmal di sekolahnya.

Kegiatan pelajar berusia 16 tahun itu terbongkar selepas ibunya yang meninjau keadaan bilik anaknya menemui pelbagai jenis peralatan sains bernilai tinggi sebelum memaklumkan perkara itu kepada pengurusan sekolah.
Selepas pengurusan sekolah membuat laporan polis, pelajar itu bersama dua rakannya yang berusia 11 tahun, ditahan jam 10 malam kelmarin.

Pemeriksaan polis di dalam bilik pelajar berkenaan menemui mikroskop, penunu bunsen, tukul, ragum, balang gas dan model rangka arnab yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3,500.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga pelajar itu memecah masuk makmal di sekolah mereka untuk melarikan barangan berkenaan.
Menurutnya, semua pelajar terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan semua peralatan makmal yang hilang berjaya ditemui.

“Tiga pelajar itu ditahan di Kampung Moloson dan seorang daripada mereka mengaku menyembunyikan barangan makmal yang mereka ambil di sekolah di rumahnya.
“Ketika soal siasat, ketiga-tiga mendakwa hanya mahu melakukan eksperimen sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26

MENU PERKATAAN DAN DAFTAR ISTILAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM PORTAL RASMI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


MENU PERKATAAN DAN DAFTAR ISTILAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM PORTAL RASMI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan Menu Perkataan dan Daftar Istilah Sains dan Matematik bagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik.

Menu perkataan dan daftar istilah tersebut telah dimuat naik ke dalam portal rasmi KPM. Sehubungan itu, semua guru dan murid boleh mengakses menu tersebut dengan melayari http://www.moe.gov.my/index.php?id=328&lang=my  sebagai rujukan untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Perincian Panduan Penggunaan Menu Perkataan dan Daftar Istilah tersebut adalah seperti dalamLampiran di bawah.