Kerajaan beri perhatian serius subjek Sejarah – Utusan


Kerajaan beri perhatian serius subjek Sejarah

KOTA KINABALU 16 Jan. – Kerajaan memandang serius kepentingan mata pelajaran Sejarah, seterusnya memastikan penghayatan guru dan pelajar dalam mata pelajaran itu bukan sekadar untuk lulus periksa semata-mata.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan keberkesanan pelajaran berkenaan dalam kalangan pelajar.

“Saya setuju dengan beliau (Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim), sebab itulah kenapa Menteri Pelajaran arahkan kita membuat kajian semula tentang mata pelajaran sejarah ini di mana laporan telah dihantar kepada Menteri Pelajaran.

“Walaupun kita mewajibkan lulus Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun hadapan, ini bukan bermakna kita tumpu kepada peperiksaan semata-mata, tetapi kita melihat betapa pentingnya mata pelajaran Sejarah ini,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_06/Kerajaan-beri-perhatian-serius-subjek-Sejarah#ixzz2IBd8U4iR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ramai guru tidak faham sejarah negara – Utusan


Ramai guru tidak faham sejarah negara

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Golongan pendidik khususnya yang mengajar mata pelajaran sejarah perlu memahami mata pelajaran itu secara mendalam terutama dalam bab Perlembagaan serta perundangan negara.

Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (gambar) berkata, hal demikian terjadi kerana golongan itu didapati masih ‘kabur’ dalam memberikan penjelasan berkaitan sejarahmeliputi asas-asas pembentukan negara.

”Sejarah mesti dijelaskan oleh guru yang benar-benar faham sejarah. Sekarang ini banyak guru tidak faham sejarah. Mereka sekadar mengajar sejarah untuk membolehkan pelajar lulus peperiksaan. Itu bukan matlamatnya.

”Sejarah bukan untuk peperiksaan sahaja tetapi membantu kita memahami banyak perkara seperti soal negara. Sejarah Malaysia misalnya, amat rumit dan ia perlu difahami dengan mendalam,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130115/dn_08/Ramai-guru-tidak-faham-sejarah-negara#ixzz2HzdFMftE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gadis ‘istimewa’ sambung persekolahan – Utusan


Gadis ‘istimewa’ sambung persekolahan

Norhazimah Hamzah menerangkan sesuatu kepada Noraini Ismail (kanan) yang menyambung semula persekolahannya di SMK Nasiruddin Shah, Besut, Terengganu, semalam.

 

BESUT 15 Feb. – Noraini Ismail, gadis berusia 17 tahun yang didakwa mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin, Hokkien dan beberapa bahasa lain setelah terlibat dalam kemalangan lebih sebulan lalu menyambung semula persekolahannya semalam.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah itu bagaimanapun kelihatan ceria ketika dikelilingi rakan-rakan sekelas dan gurunya meskipun lebih sebulan tidak bersekolah.

Dalam kejadian 10 Januari lalu, Noraini yang terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari sekolah ketika membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18 telah pengsan selama 11 jam walaupun hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian kaki.

Selepas menjalani imbasan sinar-X, keluarga Noraini dimaklumkan bahawa terdapat segumpal darah beku di kepala gadis itu dan selang tiga hari selepas itu, doktor pula mengesahkan darah beku itu sudah hilang dan dia dibenarkan pulang.

Setelah menerima rawatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan berlaku keganjilan apabila dia tiba-tiba tidak boleh bercakap.

Setelah dirujuk semula dan menjalani terapi, Noraini akhirnya dapat bercakap semula tetapi apa yang memeranjatkan keluarganya ialah apabila gadis itu tiba-tiba mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin dan beberapa bahasa lain.

Ketika sekumpulan media hadir bersama pemangku Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Besut, Ab. Halim Hasan ke sekolah itu hari ini, Noraini bersama 20 rakannya sedang mengikuti mata pelajaran Sejarah yang diajar oleh Norhazimah Hamzah.

Ab. Halim ketika ditemui berkata, pihaknya berharap pelajar itu dapat meneruskan pelajaran sehingga selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, pihak sekolah juga diharap dapat mengawasi perkembangan pelajar itu menerusi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

“Di pihak PPD, kita juga telah menyediakan seorang pegawai bagi memantau perkembangan Noraini ini yang dianggap istimewa,” jelasnya.

Sementara itu, Noraini ketika ditemui berkata, dia gembira dapat belajar semula dan bertemu rakan-rakan dan guru yang banyak membantunya untuk menghadapi keadaan itu.