Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir – Bernama


Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir
IPOH: Mayat murid Tahun Satu yang lemas setelah terjerlus di dalam pasir di Sungai Kampung Dusun Hulu, Parit semalam ditemui pagi Isnin.

Mayat Mohd Azhar Daneil Mohd Azwar, 7, ditemui di kawasan Pam Pasir Hj Raof, Bota Kiri kira-kira 9 pagi, lima kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata mayat telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang. Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh pasukan polis, bomba, Rela serta penduduk kampung bermula dari tengah hari semalam, katanya.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohd Azhar Daniel dipercayai turun ke sungai untuk mandi.

Dua lagi rakannya selamat kerana mereka tidak turun ke dalam sungai bersama mangsa.-BERNAMA