Mayat pelajar ditemui terapung di dalam sungai – Bernama


Mayat pelajar ditemui terapung di dalam sungai

15 September 2012

KUANTAN – Mayat seorang pelajar yang terjatuh ke dalam sungai Pahang dekat Jerantut petang semalam, ditemui pagi tadi.

Mayat Nor Izwan Mohd Noor, 15, ditemui di lokasi dia dilaporkan terjatuh, pada jam 10.43 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam, bomba dan penduduk kampung menemui mayat mangsa yang timbul di permukaan sungai,” katanya kepada Bernama.

Punca pelajar berkenaan terjatuh secara tiba-tiba masih disiasat, katanya. – Bernama