Mayat pelajar lemas dijumpai selepas 17 hari – Utusan


Mayat pelajar lemas dijumpai selepas 17 hari

KUCHING 21 Jan. – Mayat seorang pelajar perempuan tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kho Ying Qi, 19, yang lemas dalam kejadian pada 5 Januari lalu ditemui terdampar di tebing Sungai Gobielt, kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian di sini hari ini.

Mayat mangsa ditemui oleh seorang penduduk tempatan yang kebetulan lalu di kawasan tebing berkenaan untuk mengutip hasil laut pada pukul 9.30 pagi ini.

Sepasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan mengenai penemuan tersebut dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa Ying Qi yang turut berada di HUS telah mengenal pasti identiti mayat tersebut ialah anaknya yang lemas dalam kejadian di Jalan Rock pada 17 hari lalu berdasarkan kunci ditemui pada badan mangsa.

Dalam kejadian 5 Januari lalu, Ying Qi terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Rock dan dia cuba diselamatkan oleh Herman Sihas, 27, bagaimanapun kedua-dua mereka hilang dihanyutkan arus deras longkang berkenaan.

Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, mayat Herman ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian iaitu dekat Sungai Maong Ulu, manakala mayat Ying Qi masih hilang sebelum ditemui pada pagi ini.