2 beranak lemas, seorang hilang
zamzurina.ahmad@utusan.com.my
KUANTAN 12 Feb. – Seorang anggota polis dan anak tirinya mati lemas manakala seorang lagi masih hilang ketika mandi di pantai Kampung Cherating di sini semalam.
Mangsa, Lans Koperal Mohd. Asri Khamis, 28, yang bertugas di Balai Polis Mentakab dekat sini ditemui orang ramai terdampar pada pukul 6.50 petang semalam, iaitu kira-kira tiga kilometer dari tempatnya mandi.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Hasryzam Hasri, 15, yang merupakan anak tiri mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat di pantai itu pukul 3 petang tadi manakala adiknya, Muhammad Hairulnizam Hasri, 14, masih hilang.
Menurut isteri mangsa, Norsaharulizam Osman, 32, anak-anaknya begitu teruja berkelah di pantai sebaik sahaja sampai di pusat peranginan itu pada pukul 4.15 petang.
“Saya dan suami memantau mereka berdua yang mandi dari pantai, namun apabila melihat mereka semakin jauh, suami segera turun ke laut untuk memanggil mereka.
“Saya sempat lihat suami bersama-sama mereka (anak-anak) melambai ke arah saya menyatakan seronok bermandi-manda,” katanya ketika ditemui pemberita di pantai berkenaan di sini.
Norsaharulizam yang juga suri rumah berkata, ketika kejadian, dia membawa dua anaknya, Siti Nurafzani Hasri, 11, dan Nurul Nabila Natasha Mohd. Asri, 6, mandi di tandas berhampiran.
“Kira-kira pukul 6 petang saya lihat mereka (suami dan dua anak) tiada di laut manakala pengunjung lain mula naik ke darat.
“Pada masa sama, saya dikejutkan dengan orang ramai yang gempar penemuan mayat seorang lelaki dan sejurus saya dimaklumkan beberapa ciri mayat tersebut, sah ia adalah suami saya,” jelasnya.
Katanya, dia tidak menyangka cuti hujung minggu keluarganya di pantai itu berakhir dengan tragedi kerana pada mulanya suaminya enggan ke pantai Teluk Chempedak kerana menyatakan kawasan itu berbahaya.
“Suami sendiri memilih ke Cherating kerana beranggapan pantai berkenaan selamat untuk mandi terutama bagi kanak-kanak,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Mohd. Yusuff berkata, mayat mangsa ditemui terdampar oleh peronda pantai dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
“Mangsa disahkan lemas dan selamat dikebumikan di kampungnya di Jeniang, Kedah kira-kira pukul 12 tengah hari hari ini.
“Operasi mencari dan menyelamat seorang ahli keluarga mangsa diteruskan membabitkan 157 anggota daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Pasukan Gerakan Marin,” katanya.