Maysarra ingin jadi doktor – Metro


Maysarra ingin jadi doktor

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULIM: “Saya cuma terkilan kerana tidak dapat berjumpa arwah ketika isteri, Mazylina Abdullah, 35, menghantarnya di sebuah stesen minyak sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan lain.

“Ketika di rumah saya tergerak untuk menghubunginya, tetapi entah macam mana saya terlupa hinggalah seorang jiran menghubungi saya memaklumkan bas dinaikinya terbabit kemalangan,” kata Zaidi Muhamad, 43, bapa kepada Maysarra, 15, yang maut dalam tragedi bas sekolah dirempuh treler membawa lima tan pasir di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Behrang, Perak, kelmarin.
Zaidi dari Taman Angsana, di sini, berkata dia sering bergurau dengan anak bongsunya dan terkilan kerana tidak dapat menghubungi Maysarra ketika dia bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Mazylina berkata, apabila bas bertolak jam 11.30 malam Khamis lalu, dia sempat melambaikan tangan dan tidak sangka itulah kali terakhir melihatnya.

 

Mazylina berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Hitam, di sini, itu tidak menunjukkan perubahan sikap dan tetap riang seperti biasa.
Katanya, arwah bercita-cita menjadi doktor sejak kecil lagi dan sebab itu dia sentiasa berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Mazylina berkata, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Menora, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

 

 

Turut maut dalam kejadian jam 4.45 pagi itu ialah pelajar sekolah berkenaan, Khairul Anwar Azhan, 15; guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33; dan Ketua Wanita Umno Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45.