Dua beradik masuk tahun 1 – Metro


Dua beradik masuk tahun 1

Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG: Kehadiran dua beradik, Nor Iriyana dan Mohammad Irfan Mohammad Izran yang memulakan sesi suai kenal tahun satu di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari di sini, semalam mencuri perhatian ibu bapa dan murid sekolah berkenaan, semalam.

Walaupun dilahirkan berbeza bulan, tetapi keakraban dua beradik itu yang lahir pada Januari dan Disember 2006 itu menyebabkan ramai ibu bapa serta guru menganggap mereka pasangan kembar.
Malah ibu bapa mereka, Mohammad Izran Zahrin, 34, dan Mazuin Irdawaty Razmisham, 32, terpaksa mengambil cuti kerana perlu menemani kedua-duanya apabila mereka tidak ditempatkan dalam satu kelas.

 

Menurut Mohamad Izran, mereka melakukan persiapan seminggu lebih awal dan semalam seawal jam 5 pagi mereka bangun bagi menyiapkan dua cahaya mata itu.
“Ini pengalaman pertama kami menguruskan persekolahan anak dan hari pertama sudah menjadi kenangan tidak dapat dilupakan apabila saya serta isteri terpaksa bangun awal menyiapkan dua anak ke sekolah.
“Biarpun pagi ini agak tidak terurus kerana perlu menyiapkan mereka dan menyediakan sarapan, saya bersyukur kerana semua berjalan lancar selepas kami sepakat mengambil cuti untuk menguruskan persekolahan mereka,” katanya yang tinggal di Taman Melati di sini.

 

 

Mazuin berkata, keadaan menjadi tidak menang tangan apabila Iriyana dan Irfan tidak ditempatkan dalam kelas yang sama menyebabkan dia dan suami terpaksa menemani mereka secara berasingan.
“Kami berdua terpaksa berulang-alik ke kelas Iriyana dan Irfan kerana perlu menguruskan beberapa dokumen mereka yang belum selesai, malah disebabkan dua orang sekali yang perlu diuruskan bermacam-macam perkara kena diselesaikan dan perlu mengambil masa.

 

“Kami bernasib baik kerana mereka tidak meragam apabila ditempatkan di kelas berasingan dan rasanya itu lebih baik kerana membantu mereka berdikari,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk membeli peralatan tulis, yuran pendaftaran mahupun pakaian kedua-dua anak mereka itu.
“Walaupun persiapan dilakukan dua minggu lebih awal sebelum sesi suai kenal, kami tetap berkejaran juga kerana kedua-dua mereka seperti kembar dan segala keperluan menjadi dua kali ganda.
“Tetapi mereka berdua begitu gembira serta tidak sabar ke sekolah dan sering bertanya bila sesi persekolahan akan bermula. Malah pagi ini (semalam) Iriyana dan Irfan begitu senang bangun berbanding ketika tadika dulu,” katanya.
Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Habibah Mohamed Mohyudin berkata, 488 murid tahun satu mendaftar di sekolah itu semalam selepas mendapat 800 permohonan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01

Arwah tak sabar guna penutup mata baru – Metro


Arwah tak sabar guna penutup mata baru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Arwah memang tidak sabar keluar menjalani latihan memanah di sekolah petang semalam (kelmarin) kerana mahu mencuba penutup mata khas yang baru dibelinya bagi sukan itu,” kata Suhila Anuar, 37, ibu kepada Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini yang maut dipanah petir petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa bersama tujuh murid lain dan seorang guru, baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Suhila yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, di sini, semalam berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah memaklumkan kepadanya untuk membeli penutup mata berkenaan bagi memudahkannya menjalani latihan memanah di sekolah.

 

Dia berkata, arwah sanggup membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah RM2 sehari bagi mengumpul wang membeli peralatan berharga RM10 itu. “Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. “Arwah tidak pandai bermain sukan lain, jadi dia berhajat mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.
Bapa arwah, Mohamad Tajul Ariffin Shahruddin, 40, berkata anaknya mempunyai minat yang mendalam dalam sukan memanah, malah dia sering memberi galakan kepada arwah.
“Setiap kali latihan, arwah bersiap lebih awal untuk menjalani latihan memanah di sekolah. Saya dimaklumkan guru sekolah arwah latihan semalam (kelmarin) untuk memilih peserta mewakili sekolah,” katanya.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, tiga murid dan guru sekolah yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan lanjut sebelum tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Katanya, seorang lagi mangsa yang juga guru lelaki masih dirawat di hospital sama kerana masih lemah.

 

“Laporan bedah siasat hospital mendapati, arwah maut disebabkan kecederaan parah terkena panahan petir,” katanya.

Kasut berasap! – Metro


Kasut berasap!

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Sebaik dentuman kuat, kedua-dua kaki saya kebas, manakala kasut pula berasap,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin (SKM), di sini, yang cedera dipanah petir dalam kejadian petang kelmarin.

Muhammad Izaha yang turut melecur di kaki kanannya berkata, sejurus dentuman kuat itu, dia terus rebah.
Menurutnya, dia meraung kesakitan sebelum seorang guru meluru ke arahnya dan menanggalkan kasut dipakainya.

 

“Dalam keadaan terbaring itu, saya sempat melihat arwah kaku dan tersandar pada sebatang pokok, manakala beberapa murid lain meraung kesakitan.
“Sebelum dentuman petir itu berlaku, saya melihat arwah berjalan menuju ke sebatang pokok bagi mengemaskan peralatan memanah,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, di sini, semalam.
Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan mangsa, Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, maut dipanah petir, manakala seorang guru dan tiga murid lain cedera ringan.

 

 

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika lapan murid dan guru terbabit baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Insiden tidak dijangka itu turut mencederakan seorang guru, Azizul Rahman Ismail, 31, yang juga jurulatih memanah sekolah serta tiga murid dikenali sebagai Anuar Azlin, 12, Nor Arifah Fatimah, 12 dan Muhammad Izaha Jamaluddin, 10.

 

Keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk mendapatkan rawatan, namun tiga murid dibenarkan keluar malam kelmarin manakala, Azizul Rahman masih dirawat di hospital sama. Muhammad Izaha berkata, dia tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakannya itu kerana sebelum ini, dia sangat rapat dengan arwah kerana Syafiq tidak lokek mengajarnya cara memanah dengan betul.
Ketika ditanya sama ada dia mahu meneruskan minatnya dalam sukan memanah, Muhammad Izaha berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan emosinya.
Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan kaki kanannya melecur selain kedua-dua telinganya masih berdengung.
Sementara itu, Azizul Rahman ketika ditemui di HKK semalam berkata, dia yang berada paling hampir dengan arwah turut rebah sebaik petir itu mengenai tanah.
“Sebaik tersedar daripada pengsan, saya terkejut apabila mendapati arwah terbaring di atas padang berdekatan sebatang pokok manakala beberapa murid lain menjerit kesakitan.
“Sejurus kejadian, seorang guru yang berada berdekatan segera memberikan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) selain turut memeriksa nadi arwah. Bagaimanapun, Syafiq disahkan sudah meninggal dunia dan dibawa ke hospital,” katanya.
Dia yang juga guru Matematik berkata, ketika kejadian cuaca agak mendung menyebabkan dia bersama murid lain mengemaskan peralatan memanah dan bersiap sedia untuk pulang.

Kaki kebas, bau hangit kena petir – Berita Harian


Kaki kebas, bau hangit kena petir
Oleh Nurhayati Abllah dan Mohd Hairi Azmi Tham

2012/02/02

KUALA KANGSAR: “Selepas bunyi dentuman kuat, saya terus tidak sedarkan diri. Apabila tersedar beberapa minit kemudian, kaki terasa kebas, kasut terbakar dan bau hangit.

“Saya terus meraung sebaik cikgu menanggalkan kasut kerana bau hangit itu berpunca daripada kaki kanan saya melecur,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini, yang cedera dalam kejadian dipanah petir, petang kelmarin.

Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan Muhammad Izaha, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin , 11, maut selepas badannya disambar petir, manakala dua rakan lain serta seorang guru cedera.

Mereka yang cedera ialah Azizul Rahman Ismail, 31, guru dan juga jurulatih memanah sekolah serta dua murid lain dikenali sebagai Anuar Azlin, 12 dan Nor Arifah Fatimah, 12.

Menceritakan kejadian jam 5.30 petang itu, Muhammad Izaha berkata sebelum kejadian dia bersama lapan rakan lain, termasuk arwah dan seorang guru berehat berhampiran sebatang pokok selepas selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah.

“Ketika itu cuaca mendung dan arwah bangun untuk mengemaskan peralatan memanah di tengah padang. Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat dan saya terus tidak sedarkan diri.

“Selepas tersedar saya sempat melihat arwah kaku tersandar pada sebatang pokok, manakala rakan lain meraung kesakitan. Beberapa guru kemudian cuba memberi bantuan pernafasan kepada arwah, namun beberapa minit kemudian saya mendapat tahu rakan saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, semalam.
Muhammad Izaha, murid Tahun Empat, berkata sebelum kejadian arwah sempat mengajarnya menarik tali memanah itu dan mereka bersemangat mengikuti latihan kerana berhajat untuk terpilih mewakili sekolah.

“Arwah tidak lokek ilmu. Kami sentiasa berlatih bersama-sama dan arwah sangat teruja untuk berlatih memanah, apatah lagi selepas dapat membeli penutup mata khas untuk mengikuti latihan itu,” katanya.

Muhammad Izaha kini mengakui sudah hilang minat untuk menjalani latihan memanah kerana trauma dengan kejadian itu.

“Saya sudah kehilangan rakan baik, apatah lagi kaki masih terasa kebas dan telinga berdengung kesan dentuman kuat itu,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu dan sedih menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, ketika jenazah Muhammad Syafiq yang juga anak ketiga daripada lima beradik dikebumikan jam 11.30 pagi semalam.

Ibu mangsa, Suhila Anuar, 37, berkata sebelum kejadian, arwah kelihatan sangat seronok dan bersemangat menjalani latihan memanah, apatah lagi dia baru saja membeli penutup mata bagi sukan itu.

“Dia (arwah) sanggup mengambil upah membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah sebanyak RM2 sehari untuk mengumpul wang bagi membeli peralatan berharga RM10,” katanya.

“Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar untuk meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. Lagipun, arwah tidak pandai bermain sukan lain seperti bola, jadi dia berhajat untuk mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.

Murid maut dipanah petir, 4 termasuk guru cedera – Sinar Harian


Murid maut dipanah petir, 4 termasuk guru cedera

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Januari 2012

KUALA KANGSAR – Seorang pelajar maut manakala empat lagi termasuk seorang guru cedera dalam tragedi panahan petir di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Mazuin di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, tiga lagi rakan mangsa berusia 10 hingga 12 tahun dan seorang guru dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Difahamkan ketika kejadian cuaca hujan dan mangsa bersama rakan-rakan masih lagi berada di padang selepas selesai menjalani latihan.
“Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pakri dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kematian disebabkan oleh ‘lightning injury’.

K.I.D.S didik kanak-kanak tercicir – Metro


K.I.D.S didik kanak-kanak tercicir

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEMPORNA: Tidak kira sama ada mereka penduduk tempatan mahupun bukan, mereka masih kanak-kanak dan perlu diberi pendidikan.

Demikian pendirian pengasas Pertubuhan Kanak-Kanak Inspirasi (K.I.D.S) Malaysia, Mazuin Mohd Ismail yang mengadakan program pendidikan secara percuma untuk kanak-kanak jalanan di sini, termasuk Tawau.
“Bagi kami, kanak-kanak ini berhak mendapatkan pendidikan dan bukan bekerja pada usia muda,” katanya di sini, baru-baru ini.

 

Menurut Mazuin, penubuhan K.I.D.S Malaysia ini bertujuan khusus untuk memberi pendidikan secara percuma kepada kanak-kanak jalanan berumur antara 5 hingga 15 tahun yang tercicir daripada pendidikan formal.
“Kami sudah mengenal pasti beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna dan akan menjalankan program pendidikan ini secara berperingkat.
“Antaranya ialah Kampung Bangau-Bangau dan pasar basah di Semporna dan perkampungan di Batu 3, Batu 4 serta Titingan di Tawau,” katanya.

 

 

Di Kampung Bangau-Bangau misalnya, seramai 215 kanak-kanak mengikuti program pendidikan secara percuma yang dianjurkan K.I.D.S Malaysia.
Mengutamakan aspek pendidikan, kebersihan dan pemakanan, K.I.D.S Malaysia cuba mendidik kanak-kanak jalanan ini supaya dapat mengubah cara hidup mereka sekurang-kurangnya boleh membaca dan menulis.

 

Bermula jam 8 pagi, program ini dibahagikan kepada tujuh sesi dan setiap sesi dihadiri 30 kanak-kanak.
Walaupun ada yang berumur belasan tahun, mereka diajar mengenal huruf dan menulis seperti pelajar pra sekolah memandangkan mereka tidak pernah bersekolah.