MBSB sumbang RM50,000 jayakan Festival Hari Guru – Utusan


MBSB sumbang RM50,000 jayakan Festival Hari Guru

KUALA LUMPUR 8 Mac – Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) tampil memberi sumbangan bernilai RM50,000 kepada Utusan Melayu (M) Berhad bagi menjayakan Festival Hari Guru 2012 yang bakal diadakan di Kuala Kangsar, Perak pada 12 hingga 16 Mei ini.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Peruncitan MBSB, Azman Aziz berkata, sumbangan tersebut adalah bagi membantu kelancaran penganjuran Festival Hari Guru anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban penganjur bagi menampung kos penganjuran festival peringkat kebangsaan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan replika cek sumbangan di sini hari ini.

Replika cek itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali.