Rogol gadis bawah umur: Mekanik mula jalani hukuman penjara 12 tahun – Bernama


Rogol gadis bawah umur: Mekanik mula jalani hukuman penjara 12 tahun

11/09/2012 – 17:37:20 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Seorang mekanik kereta yang didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur dalam dua kejadian tujuh tahun lalu, diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhirnya.

Effandi Mashor, 35, juga dikenakan hukuman 12 sebatan dengan rotan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Malik Ishak sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan dengan rotan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Effandi.

Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak.

Abdul Malik yang bersidang bersama-sama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi, memerintahkan Effandi menjalani hukumannya dari hari ini.

Pada 20 April tahun lalu, Effandi didapati bersalah oleh Mahkamah Seseyan atas dua pertuduhan merogol gadis berumur 13 tahun dan 11 bulan di sebuah kebun mangga di Langkawi pada 11.30 pagi, 22 Jun 2005.

Dia juga merogol gadis itu di tempat kerjanya di bengkel motor juga di Langkawi pada 4.30 petang keesokannya.
Pada 16 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Effandi, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin di Mahkamah Sesyen dan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan.

Didedahkan bahawa gadis itu kemudiannya telah melahirkan anak tetapi pegawai penyiasat tidak melakukan ujian paterniti. Tiada rekod dikemukakan mengenai bila gadis itu bersalin.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat bapa gadis itu pada Mei 2006, setahun selepas kejadian itu, selepas ibu gadis itu bersemuka dengan anaknya itu selepas menemui pil pencegah kehamilan dalam poket pakaian seragam sekolahnya.

Terdahulu, peguam G. Ravi Shankar, yang mewakili Effandi, menggesa mahkamah membenarkan rayuan mekanik itu untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara kerana kekurangan bukti kukuh yang anak guamnya itu bertanggungjawab melakukan jenayah itu.

Beliau berkata ujian paterniti dapat menunjukkan sama ada Effandi telah melakukan hubungan seks dengan gadis itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa dalam hujahnya berkata kegagalan menjalankan ujian paterniti tidak menjejaskan kes pihak pendakwaan kerana keterangan doktor perubatan Dr Zainura Che Isa dan ibu bapa gadis itu sudah mencukupi untuk membuktikan keteranganya yang dia telah dirogol.

Katanya gadis itu berkenalan dengan Effandi menerusi rakannya dan sering berhubungan menerusi telefon selama kira-kira setahun.

Katanya gadis itu bertemu Effandi buat pertama kalinya pada 22 Jun 2005 dan telah melakukan hubungan seks pada hari yang sama.

Kwan berkata kedua-dua mereka sering berjumpa dan mengadakan hubungan seks, sekurang-kurangnya 10 hingga 20 kali di beberapa tempat lain. – BERNAMA

Lima beranak berhimpit di ruang tamu – Metro


Lima beranak berhimpit di ruang tamu
Laporan dan foto JAUHARIATUL AKMAL JOHAR
am@hmetro.com.my

RANTAU PANJANG: Lima beranak hanya mampu tidur beralaskan tikar getah dan berhimpit di ruang tamu memandangkan rumah yang didiami sejak 17 tahun tidak mempunyai bilik tidur.

Pasangan suami isteri, Abdullah Yah, 39, dan isterinya, Fatimah Mat Hassan, 49, hidup dalam kemiskinan, menyebabkan mereka tidak mampu untuk membaik pulih rumah di Kampung Kubang Puyuh, di sini.
Tiga anak mereka berusia 18 hingga 14 tahun terpaksa dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan dua daripadanya masih meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periuk.

Menurut Abdullah, dia mempunyai pendapatan tidak menentu dan hanya melakukan kerja kampung yang cukup untuk digunakan bagi makan dan minum sekeluarga.
“Rumah ini didirikan atas tanah mentua yang diserahkan kepada isteri. Ini saja rumah yang mampu saya sediakan untuk keluarga berteduh dan ia semakin usang.
“Saya tidak mampu mengeluarkan wang bagi membaik pulih rumah kerana pendapatan sekadar cukup untuk menyara keluarga,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke rumah itu semalam, mendapati keadaan rumah keluarga terbabit terlalu sempit untuk didiami dan hanya mempunyai ruang tamu serta dapur.
Keluarga terbabit juga terpaksa tidur beralaskan lantai papan kerana tidak mampu membeli tilam.

Abdullah berkata, dia sedar sememangnya tidak sesuai bagi dua anak lelaki dan perempuannya untuk tidur di satu ruang sama, namun mereka tiada pilihan lain.
Katanya, selain masalah rumah, dia runsing mengenai keadaan kesihatan isteri yang menghidap penyakit kencing manis dan perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan.
“Isteri saya perlu mengambil suntikan sebanyak dua kali disebabkan penyakit kencing manis dialami selepas melahirkan anak bongsu.
“Mengenai rumah, saya memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan berharap ia dapat dipertimbangkan supaya dapat tinggal dalam rumah lebih selesa,” katanya.

Didik insan intelektual – Metro


Didik insan intelektual
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Warga pendidik disaran supaya memainkan peranan sebaik mungkin dalam melengkapkan generasi masa depan dengan membangunkan modal intelektual mereka khususnya kemampuan berfikir pada tahap lebih tinggi iaitu tajam, mendalam, kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha itu penting kerana negara berhasrat melahirkan anak bangsa bukan hanya untuk menikmati kemajuan hari ini semata-mata, tetapi untuk masa depan negara yang lebih gemilang.
Menurutnya, pada masa depan generasi terbabit terpaksa mengisi pekerjaan mungkin masih belum wujud pada hari ini, manakala cabaran dihadapi negara pula ialah usaha mencari jalan untuk menyediakan mereka dalam menghadapinya.

“Kalau sebut modal intelektual itu mungkin kita boleh pecahkan, perincikan kepada kemampuan kita berfikir pada peringkat pemikiran lebih tinggi. “Sebab kita nak melahirkan anak Malaysia bukan untuk hari ini tapi untuk masa akan datang, di mana keadaan masa akan datang mungkin mereka ini terpaksa mengisi pekerjaan yang hari ini belum lagi wujud, hari ini kita tak dapat fikir. “Jadi, bagaimana kita nak menyediakan mereka untuk pekerjaan yang belum lagi wujud. Jawapannya, kita tak boleh sebab kita tak tahu apa jenis pekerjaan akan diisi oleh mereka. Cuma kita boleh menyediakan mereka dari segi kemampuan berfikir,” katanya berucap pada Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
Perhimpunan dihadiri kira-kira 1,500 guru cemerlang itu dikelolakan Biro Tatanegara (BTN) dengan kerjasama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) serta Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) dengan tema Guru Cemerlang Inovatif Merealisasikan Transformasi Pendidikan.

Najib berkata, guru cemerlang adalah ikon komuniti pendidikan yang memainkan peranan kerana mereka tahu mengenai cara menguruskan proses pembelajaran dan pengajaran bagi menyuntik motivasi di kalangan pelajar, di samping mencetuskan idea baru di bidang pendidikan.
“Kita mesti mencabar diri supaya sesuatu yang tidak konvensional itu (idea baru) boleh difikirkan untuk kita memecahkan sesuatu kebuntuan permasalahan ataupun untuk mencari alternatif lebih baik daripada kita terus menerima sesuatu itu,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila jumlah guru cemerlang kini sudah mencecah 13,000 orang, malah sesetengahnya menikmati pangkat lebih tinggi iaitu Jusa C.
“Guru, terutama guru cemerlang boleh kita jadikan ikon di kalangan masyarakat. Keputusan mewujudkan guru cemerlang ini amat tepat sekali. Saya berdoa semoga guru cemerlang ini akan terus kita dapat tambah lagi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau juga berasa amat bimbang apabila mendengar peratusan pelajar yang memilih aliran sains sudah menurun.
“Saya rasa amat bimbang, kita mesti mencapai nisbah 60:40, (iaitu) 60 peratus mesti dalam sains, teknologi. Inilah teras kepada negara maju. Negara maju mestilah berdasarkan bidang utama iaitu berasaskan teknologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13

Pelajar mengaku sembunyi bayi dalam beg galas hingga mati – Bernama


Pelajar mengaku sembunyi bayi dalam beg galas hingga mati

20:21:10 PM Cetak Emel Kawan

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar berusia 16 tahun yang mengadu sakit perut dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, akhirnya mengaku dia baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayi itu dalam sebuah beg galas.

Beg galas yang mengandungi bayi perempuan yang dilahirkan pada jam 1 pagi Selasa itu kemudian diberi kepada rakan perempuannya tanpa memberitahu isi kandungan beg itu. “Mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dalam beg galas itu apabila doktor yang merawat pelajar terbabit menghubungi rakan pelajar itu dan memintanya membawakan beg berkenaan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan.
Beliau berkata, penipuan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini itu terbongkar pada 6 petang Selasa lalu apabila doktor yang merawatnya mendapati dia baru melahirkan anak.

“Pelajar berusia 16 tahun itu kemudian mengaku kepada doktor itu bahawa dia melahirkan seorang bayi perempuan di asrama sekolahnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat pelajar itu melahirkan bayinya, polis menemui gunting yang dipercayai diguna untuk memotong tali pusat bayi dan dibuang dalam tong sampah.

“Berdasarkan laporan bedah siasat terhadap bayi itu mendapati ada kesan lebam pada kepala dan terdapat air dalam paru-paru serta pendarahan yang teruk,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. – BERNAMA

Humban dua anak hiperaktif – Metro


Humban dua anak hiperaktif

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BINCANG...Manayi (tengah) berbincang dengan Vani.
BINCANG…Manayi (tengah) berbincang dengan Vani.

ULU TIRAM: Akibat tertekan dengan dua anaknya yang hiperaktif, seorang lelaki didakwa melepaskan geram dengan menghumban kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun itu umpama bola ke dinding sejak setahun lalu sebagai alasan mahu mendisiplinkan mereka.

Lebih mengecewakan, selepas dua kanak-kanak itu dihantar ke pusat perlindungan bermula pertengahan Januari lalu, lelaki berkenaan terus bertindak kejam dengan memukul isterinya dalam lebih 10 kejadian berasingan kerana melahirkan anak hiperaktif.

Mangsa keganasan rumah tangga, Vani, 32, berkata dia tidak sangka suaminya yang juga pemandu van dan bersikap penyayang sejak mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu, bertukar agresif dipercayai akibat ketagihan minuman keras.

Menurutnya, sejak setahun lalu, dua anaknya termasuk anak perempuan sulung, Anita, 9, dan anak lelaki, Jaya, 7, menjadi mangsa suaminya yang kerap menghukum mereka dengan memukul dan membaling mereka ke dinding.

 
Katanya, lebih membimbangkan, akibat perbuatan itu, kedua-dua anaknya cedera di beberapa anggota badan termasuk di wajah sehingga Anita menerima jahitan di bawah dagu pada awal Januari lalu.

Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan – Bernama


Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan

31 Mac 2012

BESUT – Fatin Hamimi Abdullah, 17, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Terengganu yang memperoleh 11A+ ditawar mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran di bawah Program Sakit Puan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Jika menerima tawaran itu, Fatin Hamimi dari SMKA Nurul Ittifaq, Kuala Besut, akan memulakan pengajian di Universiti Sains Teknologi Jordan pada September ini.

Surat tawaran itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman kepada Fatin Hamimi di rumahnya di Kampung Gong Manak, Kuala Besut di sini hari ini.

Anak kedua daripada enam beradik pasangan guru itu memperolehi A+ dalam Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Al-Sunnah dan Al-Quran, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Pelajar itu akan diminta mengikuti kursus permulaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kuala Terengganu selama sebulan dari 4 Jun hingga 5 Julai sebelum berlepas ke Jordan pada September.

Wan Harujan berkata pihaknya memilih pelajar itu setelah mendapatinya seorang yang konsisten dengan pencapaian cemerlang semasa ujian akhir di sekolah sehinggalah keputusan SPM sebenar.

Katanya, Fatin Hamimi antara tiga pelajar dari negeri ini yang ditawarkan  mengikuti kursus tersebut sebagai usaha kerajaan negeri untuk melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang sakit puan.

Menurutnya, ini kali kedua Maidam menawarkan peluang itu dengan kumpulan pertama tiga pelajar cemerlang SPM telah menerima tawaran sama tahun lalu.

Sementara itu, Fatin Hamimi yang terkejut dengan tawaran itu berkata dia bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti kursus perubatan di Jordan sebagaimana yang dicita-citakannya selama ini.

Dia berjanji akan melakukan yang terbaik dan berharap merealisasikan hasratnya menjadi pakar sakit puan yang dapat memberi khidmat kepada golongan memerlukan. – Bernama

Pengsan makan jambu – Metro


Pengsan makan jambu

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Seorang pelajar hanya mampu meraung apabila melihat wajah adiknya berusia enam tahun bertukar kebiruan selepas tercekik jambu batu dipotong sebesar syiling 50 sen di Kampung Sitang, Jalan Puncak Borneo, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Ferentino Mijas, 6, bagaimanapun bernasib baik apabila jambu berkenaan berjaya dikeluarkan selepas dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebaik keluarga dimaklumkan mengenai kejadian, kira-kira jam 11 pagi.

Ibu mangsa, Lily Badek, 41, berkata, ketika kejadian Ferentino bersama abangnya berusia 15 tahun berada di rumah, manakala dia ke sebuah klinik kesihatan untuk melawat menantu yang melahirkan anak sulung, sebelum dikejutkan dengan panggilan kecemasan mengenai insiden itu.

Menurutnya, dia segera pulang ke rumah sebelum meminta ahli keluarganya membawa Ferentino ke sebuah klinik berhampiran rumah dengan segera.

 
“Apabila melihat keadaan anak yang agak kritikal dan wajah bertukar kebiruan, kakitangan klinik berkenaan kemudian segera menghubungi ambulans sebelum dihantar HUS.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku dan hanya dimaklumkan seorang anak yang melihat Ferentino tiba-tiba pengsan ketika menonton televisyen sebelum wajah bertukar kebiruan.

“Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawanya walaupun cemas seketika apabila memikirkan nasib bakal menimpa anak keenam daripada lapan beradik ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Katanya, tindakan pantas pasukan perubatan berjaya mengeluarkan jambu berkenaan dan anaknya kini ditempatkan di wad kanak-kanak.

Lily mengakui sukar membayangkan keadaan jika keluarga lewat menghantar anaknya itu ke hospital yang kemudian bertindak pantas mengeluarkan jambu batu yang tercekik, tanpa perlu menjalani pembedahan.

“Keadaan anak saya semakin pulih walaupun kebingungan dan sudah boleh menjamah makanan seperti biasa dan mungkin akan dibenarkan keluar dari wad dalam tempoh terdekat,” katanya.

Budak balik sekolah hilang – Berita Harian


Budak balik sekolah hilang 
Oleh Siti Sofia Md Nasir
bhnews@bharian.com.my
2012/01/23

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoFAIZAL Naim menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kehilangan anaknya di Balai Berita, Shah Alam, semalam.
  • FotoMuhammad Faiz

Muhammad Faiz tak pulang rumah selepas ke sekolah Khamis lalu

SHAH ALAM: Keluarga seorang kanak-kanak, Muhammad Faiz Nasrullah Faizal Naim, 11, yang dilaporkan hilang selepas ke sekolah di sini, Khamis lalu, merayu kanak-kanak itu pulang atau dipulangkan segera.

Muhammad Faiz dihantar ke Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, di sini untuk mengikuti persekolahan sesi pagi dan tidak ke sekolah sesi petang di Sekolah Agama Hasaniah, Seksyen 6.

Bapanya, Faizal Naim Ahmad, 35, berkata Muhammad Faiz yang juga anak sulung daripada lima beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tidak mempunyai masalah dengan sesiapa sebelum kehilangannya.

“Beberapa jam sebelum Muhammad Faiz ke sekolah, saya ada memarahinya mengenai cermin matanya yang hilang.

“Bagaimanapun, ketika menghantarnya ke sekolah, Muhammad Faiz langsung tidak menunjukkan reaksi marah atau merajuk dan beliau bersalaman dengan saya seperti biasa,” katanya ketika hadir ke Balai Berita Shah Alam, di sini, semalam.

Faizal berkata, kehilangan anaknya itu memberi kesan teruk kepada isterinya, yang baru melahirkan anak kelima seminggu lalu.
Katanya, walaupun sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Jumaat lalu, beliau tetap meneruskan usaha mencari anaknya itu.

“Saya amat risau dengan keselamatan Muhammad Faiz, tambahan pula dia mempunyai alahan kepada makanan kekacang kerana menghidap penyakit Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD) sejak kecil.

“Saya berharap Muhammad Faiz dapat pulang atau dipulangkan segera kerana kami amat bimbangkan keadaannya,” katanya.

Sehubungan itu, Faizal Naim, merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Faiz untuk menghubunginya di talian 019-3953797 atau balai polis berhampiran.

Ibu 17 tahun ditahan bantu siasat kes edar dadah – Bernama


Ibu 17 tahun ditahan bantu siasat kes edar dadah

11/01/2012 3:13am

 

KLANG — Polis menahan 12 suspek termasuk seorang gadis berumur 17 tahun yang baru dua hari melahirkan anak dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM150,000 dalam dua operasi pada Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, ibu muda itu ditangkap bersama empat lelaki dan dua wanita lain di sebuah unit di Apartmen Vista Indah pada 12 tengah hari, Ahad lepas.

Premis itu dipercayai dijadikan tempat pembungkusan dadah dan polis merampas 11 paket lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis syabu seberat 170.2 gram dan lima paket mengandungi 1,480 biji pil ecstacy seberat 690gram, katanya pada sidang media, di sini semalam.

Ujian air kencing ke atas semua suspek yang berumur antara 17 dan 41 tahun termasuk ibu muda berkenaan mendapati mereka positif dadah.

“Siasatan mendapati bayi remaja itu masih berada di hospital,” katanya. — BERNAMA