Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin – Sinar Harian


Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin

MOHD AZLIM ZAINURY
12 November 2012
Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin
Abang kepada remaja 16 tahun yang melahirkan bayi perempuan terpaksa menunggu di luar Dewan Bersalin HSNZ sejak pagi sebelum dibenarkan melawat adiknya tengah hari, semalam.

MARANG – Luluh hati seorang abang apabila adik perempuannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan, melahirkan seorang bayi di dalam bilik di rumah keluarga mereka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, abang kepada remaja perempuan terbabit berkata, tangisan kuat yang didengari datangnya dari arah bilik adiknya itu mengejutkan dia dan seorang lagi adik lelakinya, sebelum kelahiran bayi itu disedari mereka.

Difahamkan, ketika pintu bilik dibuka, gadis berumur 16 tahun itu berada di lantai dalam bilik tidurnya dengan keadaan berlumuran darah manakala bayi tersebut pula berada di sisinya sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu mereka.

Menurut si abang, dia kemudiannya meminta bantuan jiran terdekat untuk membawa adiknya itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan mendakwa melaporkan mengenai kejadian itu di balai polis berdekatan.

“Kami sekeluarga juga tidak mengesyaki dia hamil sebelum ini kerana tubuhnya agak besar berbanding rakan seusianya, malah saiz perutnya juga kelihatan seperti normal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSNZ Kuala Terengganu, semalam.

Abang remaja terbabit berkata, adik perempuannya dan bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan hanya keluarga mereka dibenarkan melawat, namun keadaan adik dan bayi itu sehingga tengah hari semalam dilaporkan stabil.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga memberitahu adiknya juga mengaku pernah dinodai seorang lelaki dikenali keluarga mereka pada Februari lalu, namun merahsiakan perkara itu sehinggalah melahirkan bayi berkenaan dalam bilik tidurnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi tengah hari semalam bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai perkara itu kerana masih belum menerima laporan terperinci.

Bayi mungkin masih hidup ketika dilahir – Metro


Bayi mungkin masih hidup ketika dilahir

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Siasatan awal mendapati bayi malang yang dicampak ke dalam sungai berhampiran Kampung Behor Rotan Pahit di sini, malam Khamis lalu, dipercayai masih hidup ketika dilahir.

Namun, polis masih menunggu laporan bedah siasat dijalankan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, bagi memastikan kemungkinan bayi perempuan malang yang sempurna sifat itu masih hidup ketika dicampak ke dalam sungai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya berkata, buat masa ini polis masih belum dapat memastikan sama ada bayi itu masih hidup atau meninggal dunia ketika dibuang ke dalam sungai itu kerana masih menunggu laporan bedah siasat ke atas mangsa.

 

“Bagaimanapun, kami percaya bayi berkenaan masih hidup ketika dilahirkan. Namun, kami belum dapat pastikan sama ada dia sudah mati ketika dicampak ke sungai atau dibuang dalam keadaan bernyawa.
“Kes buat masa ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Menurutnya, polis menahan lelaki berusia 19 tahun dipercayai teman lelaki remaja perempuan berusia 17 tahun dan sepupunya, remaja perempuan 17 tahun. “Turut ditahan, abang remaja perempuan itu, berusia 20 tahun dipercayai bersubahat membuang bayi itu.

 

 

“Polis juga menahan pasangan suami isteri berusia 45 tahun yang juga ibu dan bapa kepada remaja perempuan yang melahirkan bayi berkenaan, menjadikan semua suspek ditahan setakat ini enam orang.
“Pasangan berusia 45 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kampung Behor Rotan Pahit, dekat sini, jam 9.47 malam kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat bayi perempuan terbabit,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27

Remaja lemaskan bayi dalam baldi – Berita Harian


Remaja lemaskan bayi dalam baldi

Oleh Omar Osman

2012/05/02

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melemaskan bayi yang baru dilahirkan teman wanitanya yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, dalam baldi berisi air sebelum menanamnya di kawasan semak berhampiran kilang di Taman Ria Jaya di sini, Ahad lalu.

Difahamkan pelajar perempuan Tingkatan Lima terbabit melahirkan bayi itu di rumahnya dalam keadaan cukup sifat, malam Sabtu lalu.

Selepas melahirkan bayi malang itu, teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang bekerja di pasar malam di sini, bertindak melemaskan bayi itu dalam baldi berisi air sebelum membungkusnya dan disimpan di almari.

Keesokan harinya, pelajar perempuan terbabit memasukkan mayat bayi itu ke dalam begnya untuk dibawa ke sekolah.

Dia kemudian menghubungi teman lelakinya pada kira-kira jam 10 pagi sebelum keluar dari sekolah.

Pasangan kekasih itu kemudian menanam mayat bayi itu di kawasan semak berhampiran kilang di Taman Ria Jaya di sini.

Sumber berkata, mayat bayi itu hanya ditemui polis pada jam 11 malam kelmarin selepas pelajar perempuan itu ditahan di rumahnya di Taman Kelisa di sini, manakala teman lelakinya ketika sedang berniaga di pasar malam berhampiran taman berkenaan pada jam 9 malam kelmarin.
Beliau berkata, perbuatan pasangan kekasih terbabit terbongkar selepas pelajar perempuan itu menceritakan kejadian kepada beberapa rakannya yang kemudian melaporkannya kepada seorang guru kaunseling.

Katanya, siasatan awal menunjukkan bayi lelaki malang itu masih bernyawa ketika dilahirkan.

“Dua remaja terbabit membawa polis ke tempat mayat bayi itu ditanam. Ketika ditemui mayat bayi itu berada dalam keadaan sempurna dengan tali pusatnya yang sudah dipotong,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Tey, ketika ditemui di lokasi kejadian semalam mengesahkan dua remaja terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, remaja perempuan itu kini ditahan dan rawat di wad bersalin Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.