Meletup di tangan
Kuala Terengganu: “Api begitu pantas membakar sumbu sehingga mercun bola itu tidak sempat dilempar,” kata Muhammad Danial Haikal Roslan, 8, yang terlantar di hospital sejak Khamis lalu apabila tapak tangan kanannya terbelah dua sentimeter selepas terkena letupan mercun bola di Kampung Saujana, Setiu.
Pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Saujana itu berkata, dalam kejadian jam 4 petang dia bersembunyi di dapur untuk meletupkan dua mercun bola yang diperoleh daripada rakan sekolahnya.
Menurutnya, dia berhasrat menyalakan mercun bola itu sebelum melempar ke arah luar dapur rumahnya kerana berfikir lebih selamat.
Malang, katanya, hasrat itu tidak kesampaian apabila mercun bola yang dibakar itu meletup sebelum sempat melempar ke luar dapur menyebabkan tapak tangan kanan terbelah dua sentimeter selain melecur teruk pada jari manis.
“Saya meraung sekuat hati kerana tangan terasa amat sakit akibat letupan itu dan jeritan saya didengari nenek di ruang tamu sebelum bergegas turun ke dapur untuk melihat keadaan saya.
“Nenek membalut tangan dengan kain sebelum menghubungi bapa saya, Roslan Salleh, 34, untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30