‘Poket kosong ke sekolah perkara biasa’ – Sinar Harian


‘Poket kosong ke sekolah perkara biasa’

NORLIZAINA MOHD ALI
21 November 2012
'Poket kosong ke sekolah perkara biasa'
Rabiatum Adawiah (kanan) bersama ibu dan anggota keluarganya. – Foto majalah Dara.com

SAYU sahaja hati penulis ketika tiba di muka pintu rumah yang separuh siap ini. Salam diberi dan jengukan bersama sahutan salam dibalas penghuninya, Fatimah Ahmad, 45. Keluar pula anak kecil berusia setahun lebih sambil memegang kaki seluar ibunya. Bertambah terasa pilu di hati ini.

Pertama kali mengetahui mengenai keluarga ini apabila diuar-uarkan di ‘mail box’ para karyawan Karangkraf.

Ingin sekali hati penulis menjenguk keluarga ini tetapi tidak berkesempatan. Tetapi, aturan yang tanpa diduga ini akhirnya membawa kaki penulis ke teratak ini. Ya, sudah berubah dan agak cantik berbanding gambar asal yang penulis pernah lihat.

Salam berjabat tangan penulis disambut dengan senyuman, terpandang pula penulis pada anak gadis di dapur yang sedang ralit membasuh pinggan. Disangka itulah gadis yang ingin ditemui, namun susuk tubuhnya seakan-akan berbeza daripada gambar yang dipaparkan dalam majalah Mingguan Wanita edisi Ogos 2012. Keluar pula gadis kecil molek dari celah pintu dapur. “Inilah dia,” getus hati penulis.

Ibu memancing di Sungai Klang

Senyumannya sungguh manis. Halus suaranya seakan-akan tidak membayangkan kepayahan yang ditanggung selama ini.

Usia 14 tahun bukanlah umur seorang remaja yang sepatutnya menanggung beban sebegini. Anak gadis lain yang seusianya mungkin sedang enak menjamu mata dengan pelbagai hiburan di alam maya. Tetapi, berbeza dengan Rabiatum Adawiah atau lebih mesra dengan Adha.

Kehidupan keluarga ini sangat susah. Ibunya Fatimah Ahmad hanya bekerja memancing ikan di Sungai Klang. Setiap hari, rutinnya meredah belukar di belakang rumah untuk sampai ke Sungai Klang. Peritnya untuk mencari sesuap nasi sama seperti payahnya dia meredah belukar yang tidak diketahui apa penghuninya.

Keperitan yang ditanggung Fatimah tidak hanya ditanggung oleh dirinya seorang. Tetapi turut dikongsi oleh anak-anaknya yang cukup memahami dan mengerti. Sepanjang berpuluh tahun membesarkan anak-anak, tidak pernah sekali pun mereka merungut. Semuanya seakan-akan memahami dan menerima takdir ini.

Pegang tanggungjawab

Menyingkap sudut ruang hati seorang anak gadis, penulis cuba membuka bicara dengan Adha. Anak keempat daripada tujuh beradik ini merupakan seorang anak yang sungguh baik. Menurut ibunya, Adha anak yang rajin. Setiap tugasan rumah tangga diserahkan kepada Adha sepenuhnya. Namun, tidak pernah kedengaran rungutan daripadanya.

“Bagi saya, inilah cara untuk saya bantu mak. Mak ada penyakit dan badannya tidak kuat untuk membuat semua kerja rumah. Mak perlu ke sungai memancing dan mengurut jika ada permintaan. Jadi, hal-hal rumah saya yang uruskan.

Saya masih belajar, jadi mak tidak beri saya bekerja untuk membantu emak. Ini sahajalah yang mampu saya buat untuk mak. Saya terlalu sayangkan mak, saya tak sanggup melihat mak kepenatan setiap kali pulang memancing dan mengurut.

Lebih menyedihkan, setiap kali mak pulang dari mengurut, badan mak sakit-sakit dan menggeletar kerana kepenatan. Tak sanggup saya nak biarkan mak lihat rumah bersepah dan adik-adik tidak terurus,” luah Adha. Jauh di sudut hatinya menangis mengenangkan penderitaan ibunya.

Bapa kencing manis

“Ayah jauh, walaupun setiap bulan ayah masih menghantar sedikit wang untuk belanja kami sekeluarga, tetapi itu tidak mencukupi. Berbeza semasa ayah tinggal bersama kami.”

Bukan dek kerana kerjaya, ayahnya tinggal berjauhan, tetapi kerana penyakit yang datang menyerang semasa mereka sekeluarga pulang ke kampung di Kelantan.

Selepas serangan penyakit kencing manis yang membuatkan ayahnya tidak mampu seperti orang lain, mereka kembali ke bandar Shah Alam ini tanpa insan bernama suami dan ayah. Tetapi, kehidupan masih perlu diteruskan.

Kehidupan mereka semakin sempit. Perbelanjaan persekolahan semakin meningkat dan kos kehidupan juga menguji kemampuan. Walaupun ada juga bantuan yang diterima, ia hanya membantu dalam masa yang singkat sahaja.

“Walaupun keluarga kami susah, namun masih ada lagi keluarga lain yang lebih memerlukan. Kami faham jika ada sesetengah pihak yang menarik bantuan yang selama ini disalurkan kepada kami. Mungkin kerana abang sulung saya, Mohd Zainuddin Asfar sudah bekerja dan dibantu angah, Mohd Shafie, bantuan kami ditarik.

“Tetapi sebenarnya gaji yang diterima masih tidak mencukupi untuk menampung hidup kami sekeluarga. Gaji along tidak besar, dan along juga menghidap sakit buah pinggang. Angah pula hanya bekerja sambilan di kafe siber. Itu pun jika ada baki daripada belian buku belajar di kolej yang terletak di Puchong. Angah pula sanggup berulang kerana kos tinggal di asrama dan rumah sewa lebih tinggi.

“Namun, saya masih beruntung kerana di sekolah saya punyai kawan-kawan yang baik. Kadang-kadang jika saya tiada wang poket, mereka akan bantu saya. Cuma, kekurangan saya pada sudut pembayaran yuran dan tuisyen.”

Setiap kali tuisyen dianjurkan, saya tidak dapat sertai kerana tiada wang untuk membayar yuran. Itu juga antara kekangan yang saya alami.”

Cita-cita dan impian

Sememangnya Adha seorang yang minat belajar. Cita-citanya untuk menjadi seorang anggota beruniform sangat tinggi. Tetapi, tanpa bantuan dari sudut alat bantu belajar membuatkan langkahnya sedikit terbantut dan lambat.

Dia hanya bergantung sepenuhnya pada sesi pembelajaran di sekolah dan buku teks yang disalurkan.

“Jika ke sekolah tanpa membawa wang poket adalah perkara biasa. Di sekolah, tiada bantuan makanan percuma diberikan dan perbelanjaan untuk sepinggan nasi kosong, ayam goreng dan air sirap mencapai sehingga RM3. Jadi, untuk peroleh wang poket RM3 setiap hari adalah mustahil.

Kami juga sudah biasa menjamah nasi kosong yang digaul minyak lebihan goreng ikan. Paling mewah yang dapat kami makan adalah ikan sardin dan telur goreng. Itu pun sudah memadai.”

Rindu Ayah

Tiada anak yang tidak rindukan bapanya jika berjauhan. Inikan pula apabila mengenangkan bapanya yang menderita kesakitan.

“Kami sangat rindukan ayah. Tetapi, kami tiada wang untuk pulang melawat ataupun berhari raya bersama. Jadi, apa yang boleh kami lakukan hanyalah memendam sahaja hasrat dan rasa rindu ini. Begitu juga dengan mak.”

Usaha Ubah keluarga

“Tiada apa lagi yang saya bayangkan kini, hanya berusaha untuk mencapai cita-cita dengan berjaya dalam pelajaran dan mengubah nasib keluarga saya. Saya tidak sanggup melihat emak dan ayah terus hidup dalam kepayahan. Saya tahu, walaupun sudah biasa hidup susah, jauh di sudut hati mereka inginkan sedikit kesenangan untuk anak-anak mereka. Jadi, kami anak-anak yang perlu berusaha untuk mengubah hidup kami. Bukan bantuan daripada orang luar.” Akhiri Adha.

Dara.com dan penulis sangat berharap semoga impiannya akan tercapai. Kami doakan semoga segalanya berubah suatu masa nanti.

 

* Dipetik dari majalah Dara.com

Lepas rindu tiga hari – Metro


Lepas rindu tiga hari
Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari dapat melepaskan kerinduan untuk bersama dua anaknya, Hanafi Salleh bersama Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berlepas ke Wellington semalam untuk meneruskan proses rundingan dan rayuan bagi membawa pulang Muhammad Shayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, ke Malaysia.

Setakat ini, pertemuan awal sudah diaturkan antara KP1M dengan kerjasama Pengarah Operasi Kementerian Pembangunan Masyarakat negara itu, Paula Attril dan Konsular Malaysia di New Zealand, Lukman Sayuti dan ia menunjukkan perkembangan positif.
Menjelaskan perkara itu, Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, satu lagi perbincangan akan diadakan bersama setiausaha kementerian berkaitan di negara itu jam 3 petang esok (waktu tempatan) bagi menentukan kaedah terbaik membawa pulang kanak-kanak itu ke tanah air.

“Berdasarkan situasi terkini, kita perlu adakan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan kerana mereka masih lagi di bawah mandat jagaan Nelson Site Child, Youth and Family (CYF) yang diberikan mahkamah sehingga Februari tahun depan.
“Untuk itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut menyatakan kesediaan pihaknya membantu dengan menggunakan saluran sedia ada. Yang penting kita harapkan, mereka dapat dibawa pulang dalam masa terdekat,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Metro Ahad 1 Julai lalu melaporkan Hanafi sebak dan terharu apabila dipertemukan buat pertama kali dengan anaknya selepas mereka terpisah selama tujuh tahun.
Dia yang meluangkan masa dengan memancing ikan bersama anaknya berhampiran sebuah taman di Nelson City begitu terharu apabila dapat menatap mereka yang dilarikan isterinya, Nurul Junaidah Joanne Abdullah, 25 ke negara itu pada 2004

Buruh kontrak dipenjara 12 tahun sebabkan kematian remaja – Bernama


Buruh kontrak dipenjara 12 tahun sebabkan kematian remaja

23 April 2012

KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang buruh kontrak setelah mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, tahun lepas.

Hakim Datuk Mariana Yahya, yang menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Zubaikhan Abdul Halim, 22, dari Kuantan, berkata hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 31 Mei 2011.

Mohd Zubaikhan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian Zulkifli Ali, 16, pada pukul 1.30 pagi di Medan Pelancong Benteng, Jalan Besar Kuantan di sini pada 21 Mei tahun lepas.

Mengikut fakta kes, kejadian bermula apabila mangsa dan seorang rakan lelaki yang berada di lokasi kejadian untuk melihat orang ramai memancing ikan didatangi lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang bertindak memukul mangsa.

Rakan mangsa mendakwa tertuduh menghentak kepala mangsa ke pintu besi sebuah kedai makan sebelum tertuduh menyepak belakang badan dan kepala selepas mangsa jatuh ke lantai yang mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri.

Selepas kumpulan itu beredar, rakan mangsa menghantar mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di mana mangsa tidak sedarkan diri sejak kali pertama dimasukkan ke situ sehinggalah disahkan meninggal dunia pada 30 Mei 2011 pukul 3.15 petang.

Pemeriksaan pakar patologi mendapati terdapat kesan lebam di bahagian dalam kulit kepala dan kesan retakan di tiga lokasi bahagian tengkorak kepala serta kesan lebam pada paru-paru sebelah kanan mangsa.

Ketika membacakan hukuman ke atas tertuduh, Mariana berkata tertuduh bernasib baik kerana tuduhan ke atasnya telah diringankan iaitu daripada membunuh orang kepada mematikan orang dengan salah, namun kesalahan melibatkan nyawa manusia adalah suatu yang serius.

“Saya percaya sebagai manusia setiap perbuatan ada hadnya, nyawa manusia sangat bernilai dan kehilangan nyawa mangsa kepada ahli keluarganya tidak dapat diganti dengan apa-apa,” katanya.

Sementara itu, dua rakan tertuduh iaitu Mohd Salahudin Shamsul Aizam, 20, dan Mohd Masyadi Mohd Zainal, 21, yang dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditahan pada 31 Mei 2011 bagaimanapun dibebaskan mahkamah selepas mereka telah ditahan selama 10 bulan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zulkifli bersama Mohd Zubaikhan di lokasi dan masa yang sama.

Dua lagi rakan mereka yang merupakan remaja lelaki yang kini berusia 17 dan 18 tahun dilepaskan dengan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 selepas mengaku salah melakukan kesalahan sama seperti Mohd Salahudin dan Mohd Masyadi.

Mariana turut memerintahkan ibu bapa atau penjaga kedua-dua remaja itu supaya membawa mereka melaporkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing setiap bulan selama setahun bermula bulan depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad manakala peguam Bob Arumugam mewakili Mohd Salahudin, Mohd Masyadi dan remaja berusia 17 tahun, Arifin Che Ali mewakili Mohd Zubaikhan manakala seorang remaja berusia 18 tahun diwakili peguam Azizan Abdullah. – Bernama