Syarat jadi guru: Perlu aktif ko-kurikulum – Bernama


Syarat jadi guru: Perlu aktif ko-kurikulum

11 Julai 2013

KUALA LUMPUR – Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar selain syarat baru  kelulusan akademik bermula tahun ini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian kepada kegiatan kokurikulum selain kecemerlangan akademik.

“Kita tidak mahu melihat dari segi intelek sahaja, kokurikulum juga satu aspek yang perlu diberi penekanan, guru-guru ini juga sekiranya mereka ditempatkan opsyen Matematik, maka Matematiknya juga mesti A di dalam SPM,” katanya kepada Bernama di sini.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.

Bagaimanapun, kelonggaran minimum 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, syarat asas ialah mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Mohamed Sabri berkata kementerian juga perlu menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang.

“Kalau nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga perlu dijaga, sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada, pulau pun ada, ia tidak sama dengan doktor, sebab itu ada elaun pedalaman, mungkin elaun tambahan yang lain perlu diadakan juga,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar para pelajar yang mendapat 7A atau 5A diberi surat tawaran sama ada bersetuju atau tidak untuk menjadi guru tanpa perlu memohon.

“Saya cadangkan kepada kementerian, mereka ini tidak perlu memohon, kementerian jelaskan sama ada mereka ingin menjadi guru atau tidak dan ceritakan manfaat yang bakal dinikmati, kalau mereka setuju boleh ditemu duga, swasta banyak yang buat macam ini,” katanya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata langkah itu sangat dialu-alukan kerana di negara maju, guru yang diperlukan adalah dari kalangan yang terbaik dari segi kelulusan, kelayakan akademik, keperibadian dan tingkah laku.

“Ini kerana mereka nak mengajar, sudah tentu harus mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak, syarat minimum 5A bagi Sabah dan Sarawak pula adalah tepat kerana kita perlukan ramai guru yang datang dari sana,” katanya.

Bekas ketua pengarah pelajaran itu berkata sudah sampai masanya untuk meningkatkan kelayakan kepada lepasan SPM yang ingin menjadi guru kerana ia sekaligus dapat meningkatkan taraf pendidikan di negara ini. – Bernama

Aktiviti kokurikulum perlu ditekankan selain syarat minimum kelulusan – KGMMB – Bernama


Aktiviti kokurikulum perlu ditekankan selain syarat minimum kelulusan – KGMMB

 

11/07/2013 2:10pm

 

KUALA LUMPUR – Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar selain syarat baharu kelulusan akademik bermula tahun ini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian kepada kegiatan kokurikulum selain kecemerlangan akademik.

“Kita tidak mahu melihat dari segi intelek sahaja, kokurikulum juga satu aspek yang perlu diberi penekanan, guru-guru ini juga sekiranya mereka ditempatkan opsyen Matematik, maka Matematiknya juga mesti A di dalam SPM,” katanya di sini.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.

Bagaimanapun, kelonggaran minimum 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, syarat asas ialah mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Mohamed Sabri berkata, kementerian juga perlu menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2YjIM5xpL
Hakcipta terpelihara

Syarat minimum SPM 7A untuk mohon jadi guru – Bernama


Syarat minimum SPM 7A untuk mohon jadi guru

8 Julai 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baharu minimum 7A bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari semenanjung untuk memohon menceburi profesion perguruan bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kelonggaran minima 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai profesion itu, katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.

Ketika ini, syarat asas mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Sementara itu, Idris berkata kementerian juga sedang mengkaji bagaimana untuk meringankan beban guru dalam pelaksanaan sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) selain daripada menambah bilangan pembantu guru seperti yang telah dilaksanakan di Kedah dan Sabah.

Katanya, antara perkara yang diambil kira ialah penyediaan laporan yang tidak perlu terlalu banyak perincian dalam membuat penilaian mereka. – Bernama

IPG Kampus Kent pertahan kecemerlangan bidang perguruan – Bernama


IPG Kampus Kent pertahan kecemerlangan bidang perguruan

18 Oktober 2012

TUARAN – Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kent sebagai IPG tertua di Sabah akan mempertahankan kecemerlangannya bagi memartabatkan profesion perguruan sejajar usianya yang kini 60 tahun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor berkata institusi keempat tertua di negara itu juga menjadi institusi rujukan intelektualisme dalam era globalisasi negara khususnya merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Dan kita sebagai pendukung dan penyokong seharusnya konsisten dalam merekayasa (menyerap) pelbagai usaha strategik yang kolektif dan konkrit untuk mempertahankan kecemerlangannya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan jubli intan IPG itu di sini, hari ini.

Hajiji yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman berkata penubuhan IPG itu yang dikenali sebagai Kent Teachers’ Training College pada 18 Okt 1952 turut memberi pengiktirafan kepada daerah Tuaran sebagai hab pendidikan terunggul di Sabah.

“Malah jangkauan sinergi keilmuan pedagoginya dan pengantarabangsaan nama Tuaran telah merebak ke negara Brunei, China,, Australia dan Eropah kerana legasi IPG Kampus Kent,” katanya.

Beliau berkata institusi itu juga memainkan peranan sebagai pemangkin memperhebatkan kepelbagaian pembangunan fizikal dan kepesatan kemajuan ekonomi daerah Tuaran yang terletak di Pantai Barat Sabah dan menjadi pintu masuk ke Kota Kinabalu dari Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan Pitas.

Terdahulu, Pengarah IPG Kampus Kent Datuk Mary Teresa Kinajil ketika berucap berkata institut itu dengan kekuatan 88 staf pengurusan dan sokongan serta 98 staf akademik telah berjaya melahirkan 14,542 graduan. – Bernama

Sembilan bidang keutamaan dalam pelan pembangunan pendidikan


Sembilan bidang keutamaan dalam pelan pembangunan pendidikan

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi.

Sembilan bidang itu ialah:

1. Memartabatkan profesion perguruan

2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah

3. Meningkatkan kualiti sekolah

4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran

5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa

6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan

7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja

8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber

9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. – UTUSAN

Pelantikan Guru Ikuti Program Pensiswazahan Akan Disegerakan – Bernama


Pelantikan Guru Ikuti Program Pensiswazahan Akan Disegerakan
BUKIT MERTAJAM: Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata urusan pelantikan seramai 7,975 orang guru lulusan program pensiswazahan guru, akan dilakukan secepat mungkin.

Beliau berkata pada 23 Mei lepas Kementerian Pelajaran menerima waran untuk kenaikan pangkat ke DG41 bagi Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma (PPLD)yang berjaya menamatkan pengajian di bawah program pensiswazahan guru.

“Penangguhan selama dua tahun untuk pelantikan itu telah menjadi satu daripada sebab ramai guru yang tidak mahu mengikuti program pensiswazahan. Pihak kementerian akan usahakan agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin.

“Diharapkan ramai lagi guru akan mengikuti program pensiswazahan guru ini. Ia penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan guru di samping memartabatkan profesion perguruan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penganugerahan perkhidmatan cemerlang 2012 Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang di sini, Selasa.

Mohd Puad berkata kerajaan menjangkakan pada tahun 2020 semua guru di seluruh negara mempunyai ijazah. Sejak diperkenal pada 2006 hingga kini, seramai 70,062 guru mengikuti dan berjaya menamatkan program pensiswazahan guru.

Beliau berkata kementerian menyasarkan seramai 22,102 orang guru akan mengikuti program pensiswazahan bagi pengambilan kedua pada September.

“Bagaimanapun sehingga semalam (16 Julai) hanya 3,528 orang yang membuat permohonan. Diharap ramai lagi guru-guru yang akan memohon,” katanya.

Katanya kerajaan memperuntuk sebanyak RM1.4 bilion bagi menjayakan program pensiswazahan guru ini.

Guru-guru berkenaan akan mengikuti pengajian jarak jauh di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari tiga tahun setengah atau empat tahun. -BERNAMA

Memacu kualiti pendidikan Perak ke taraf dunia – Utusan


Memacu kualiti pendidikan Perak ke taraf dunia

MEMARTABATKAN profesion perguruan, merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan dan mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia menjadi misi dan aspirasi pendidikan Perak

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sumber Manusia, Sains & Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, matlamat memperkasa sekolah-sekolah di Perak menjadi agenda utama dalam proses integrasi meningkatkan kualiti pendidikan negeri.

“Usaha untuk memartabatkan kualiti pendidikan bertepatan dasar Kementerian Pelajaran melalui penubuhan program Perak Aman Jaya yang bertujuan membangunkan potensi pelajar melalui bantuan kewangan kepada pelajar dalam melanjutkan pelajaran serta membiayai pelajar-pelajar cemerlang.

“Melalui program Perak Aman Jaya juga ia memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah melalui pembiayaan yang dikelolakan kerajaan negeri dengan memberi tuisyen secara percuma dalam usaha memperkasakan sekolah kebangsaan.

“Ia juga meliputi usaha kerajaan negeri melaksanakan program motivasi percuma kepada pelajar melalui Yayasan Bina Upaya terutamanya kepada golongan sasaran iaitu anak-anak yatim dan juga pelajar yang tidak berkemampuan,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, bagi memastikan keberkesanan program itu ia telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah bagi menghasilkan output pendidikan dalam memacu modal insan pelajar yang berkualiti.

Katanya, berteraskan Falsafah Pendidikan Negara, kerajaan negeri juga menekankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sistematik berteraskan sains dan teknologi serta ICT.

Antara projek inisiatif ICT di Perak ialah Program Kluster e-Pembelajaran KPerak atau KPerak e-Learning Cluster (KPEC).

“Projek ini bertujuan meningkatkan keberkesanan program berasaskan kluster yang dilaksanakan di sekolah dalam menyokong peranan guru bagi mempertingkat penggunaan ICT dalam P&P terhadap pedagogi yang lebih berpusatkan pelajar.

“Prinsip-prinsip penting projek ini adalah ia dilaksanakan di sekolah, berasaskan kluster dan dibantu oleh fasilitator,” jelasnya.

Beliau menambah, program ini membantu dan memupuk pengintegrasian ICT dalam P&P, memupuk amalan muhasabah diri yang disokong amalan komuniti online.

Selain itu, Mohammad Zahir berkata, Perak juga melaksanakan program ‘Perak 5A’ iaitu satu portal milik KPerak yang menyediakan satu sistem bantuan pendidikan secara online yang interaktif atau lebih dikenali dengan nama e-Pembelajaran.

“Objektif utama PERAK 5A-adalah untuk membantu pembelajaran murid sekolah rendah dengan memberi tumpuan kepada murid-murid tahun 4, 5 dan 6.

“Ia merupakan alat bantu mengajar yang dapat digunakan untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian akademik murid-murid, selari dengan salah satu visi Jabatan Pelajaran Perak, iaitu, melonjakkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik,” katanya.

Isi kandungan portal ini disediakan oleh guru-guru mata pelajaran daripada sekolah-sekolah KPEC.

Portal ini mengandungi e-Nota, set soalan topikal, set soalan latihan, ruang sembang (chat room), statistik perbandingan pencapaian antara sekolah-sekolah dan murid-murid, buku laporan pelajar dan analisis item (soalan).