Dua beradik tunjuk bakat – Sinar Harian


Dua beradik tunjuk bakat
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Jun 2012

Ihsan (tengah) bersama anak-anaknya yang menjadi juara peringkat kebangsaan dan TM.
KOTA BHARU- Semangat yang diberikan ibu bapa dalam mengharapkan anak-anaknya berjaya semasa penyertaan tilawah al-Quran membolehkan kedua-dua mereka menjadi juara.

Ibu berkenaan, Ihsan Haydar, 34 berkata, dia dan suaminya sentiasa memberikan sokongan kepada anak lelaki keduanya, Thaqif Adib Mohd Azahar, 12, sehingga bergelar juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2012 kategori kanak-kanak.

Dia berkata, suaminya, Mohd Azahar Mustafa, 42 seorang kakitangan Telekom Malaysia (TM) sentiasa memastikan anak-anaknya menerima pengajian al-Quran sejak usia kecil.

“Thaqif boleh membaca al- Quran sejak usia enam tahun, cuma kami menghantarnya belajar tarannum di Akademi Al-Quran Ahmad Pergau, Pengkalan Chepa sejak usia sembilan tahun. Anak sulung, Thaqifah Auni, 15, kemudian dipilih menyertai tilawah al- Quran anjuran TM dan berjaya menjadi juara tahun ini,” katanya.

Ihsan berkata, setiap kali selepas Maghrib, suaminya mengajar anak-anak mengenai bacaan al-Quran dan cara itu membolehkan mereka mudah membacanya.

Menurutnya, kejayaan anak-anak adalah bergantung kepada peranan yang dimainkan ibu bapa mereka, mengikut arah mana kecenderungan anak-anak.

“Sejak tabika saya sudah nampak anak-anak minat dalam belajar al-Quran, malah kerana mengamalkan pemahaman al-Quran sepanjang masa, mereka juga berjaya dalam akademik di sekolah masing-masing,” katanya.

Dia mengharapkan bakat anak-anak dalam penyertaan tilawah tidak berakhir ketika usia muda, sebaliknya ia diteruskan sehingga dewasa dan menjadi contoh kepada generasi muda
sekarang.

Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua – Bernama


Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua

7 Mac 2012
Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua

BESUT – Seorang daripada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri Terengganu, Siti Aisyah Syahirah Azman dariSekolah Menengah Agama Maarif di sini sentiasa mengamalkan empat perkara yang beliau anggap telah menentukan kejayaannya.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini berkata amalan yang dilakukan secara ikhlas setiap hari itu mempermudahkan beliau belajar dan mengulang kaji pelajaran sehinggalah mencapai kejayaan dalam semua matapelajaran yang diambil.

“Saya selalu amalkan sembahyang sunat dhuha, sembahyang hajat, baca Al-Qurandan berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolahnya selepas menerima keputusan STPM di sini hari ini.

Gadis berusia 19 tahun ini memperolehi ‘A’ dalam Pengajian Am, Usuluddin,Syariah dan Sejarah serta ‘B+’ dalam Bahasa Arab.

Siti Aisyah Syahirah, anak seorang ahli perniagaan dan ibunya seorang guru agama, berkata masanya tidak pernah dibiarkan berlalu dengan kosong tanpa kegiatan yang berfaedah yang sekurang-kurangnya dipenuhi dengan membaca Al-Quran.

Menurutnya beliau telah khatam Al-Quran sebanyak 12 kali sejak berumur 12 tahun dan bercita-cita untuk menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dalam bidang pendidikan.

Siti Aisyah Syahirah antara tiga pelajar terbaik negeri Terengganu selain Abdul Rahim Abdullah dari SMKA Durian Guling, Marang dan Rosmalizai Adanan dariSMK Tengku Ibrahim, Setiu. – Bernama

Pelajar ponteng baca al-Quran – Bernama


Pelajar ponteng baca al-Quran

Hussin Awang (tiga dari kanan, berdiri) memberikan nasihat kepada 28 orang pelajar yang ditahan sewaktu operasi mencegah ponteng di Kota Bharu, semalam.

 

KOTA BHARU 6 Feb. – Seramai 28 pelajar lelaki beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kota Baharu yang ditahan kerana ponteng sekolah hari ini, diarah membaca al-Quran.

Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata, kesemua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot, di sini untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus.

Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun, ditahan antaranya di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

“Ada kalangan pelajar yang ditahan itu sedang merokok,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hussin berkata, pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu melibatkan lapan agensi kerajaan berkaitan, selama dua jam bermula 9.30 pagi itu, adalah lebih kepada usaha untuk mendidik pelajar agar tidak ponteng sekolah, katanya.

Katanya, terserah kepada pihak sekolah untuk memanggil ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit untuk dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan anak mereka itu.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras penglibatan pelajar dengan kegiatan tidak sihat.

Operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baharu, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Kota Baharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. – BERNAMA

Tahfiz buta al-Quran – Metro


Tahfiz buta al-Quran

Oleh HADZLAN HASSAN, NORIAH IDRIS, ANIZA ZAINUDIN, NURUL HUSNA MAHMUD dan SHAHRUL REDZUAN ZULKIFLI
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MINTA... pelajar tahfiz  mengutip derma di R&R  Seremban.
MINTA… pelajar tahfiz mengutip derma di R&R Seremban.

PORT DICKSON: Mereka mengaku murid dan pelajar tahfiz ketika mengutip derma atau melakukan jualan amal kononnya untuk membiayai pelajaran. Namun apabila didesak, mereka tidak fasih membaca al-Quran, malah lebih mengejutkan ada yang tidak boleh membaca kitab suci itu walaupun berusia 14 tahun.

Itulah senario mengejutkan yang berlaku terhadap kanak-kanak dan remaja terbabit yang sebahagian besarnya anak ahli kumpulan bekas pertubuhan al-Mansur.
Pertubuhan itu ada kaitan dengan ajaran Azhar Wahab yang diwartakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2003 dan lapan lagi majlis fatwa negeri.

 

Seakan-akan kem tentera, kumpulan kanak-kanak terbabit direkrut menjadi ‘skuad elit’ bagi mengutip derma dan menagih simpati orang ramai selain dibayar RM10 seorang, menyebabkan ramai antara mereka lebih gemar keluar ‘bekerja’ berbanding mengikuti kelas pengajian al-Quran.
Perkembangan mengejutkan itu didedahkan bekas pengikut yang juga guru agama kelas al-Quran pertubuhan berkenaan.
Dia pernah mengajar kumpulan kanak-kanak terbabit di bangunan rumah kedai yang disewa pertubuhan itu sejak beberapa tahun lalu.

 

 

Suhaimi (bukan nama sebenar) yang kini insaf dan menjadi imam sebuah masjid di daerah ini mendakwa, dia keluar dari kumpulan itu kerana tidak tahan sikap pemimpin serta pengikut pertubuhan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
“Saya mengajar kanak-kanak terbabit mengaji al-Quran dan seterusnya mahu menjadikan mereka tahfiz, namun kecewa kerana pertubuhan itu lebih mementingkan aktiviti jualan daripada kelas mengaji.

 

“Memang mereka mengikuti kelas al-Quran selepas solat Subuh, tapi selepas itu dihantar ‘berniaga’.
“Kira-kira jam 9 atau 10 pagi, mereka dihantar ke pusat beli-belah, stesen minyak atau hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum pulang antara jam 1 atau 2 pagi dalam keadaan letih.
“Kanak-kanak terbabit juga lebih gemar keluar menjual barangan ahli pertubuhan berbanding mengikuti kelas agama kerana mereka boleh berjalan ke sana-sini dan tidak terperap dalam kelas pengajian,” katanya.
Beliau mengulas susulan laporan Metro Ahad 29 Januari lalu yang melaporkan ratusan anak yatim dan pelajar pusat tahfiz dikerah memungut derma bagi membiayai kegiatan menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara, terutama sekitar Lembah Klang.
Ajaran Azhar Wahab diwartakan sesat oleh sembilan majlis fatwa negeri, termasuk Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1970.
Lebih mengejutkan, siasatan wartawan Metro Ahad mendapati murid dan pelajar pusat tahfiz di Kedah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu dibekalkan dua produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
Mereka turut dibekalkan cakera padat video (VCD) yang bukan saja tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah klip video dalam VCD terbabit jelas bertentangan dengan imej pelajar tahfiz.
Suhaimi berkata, kebanyakan kanak-kanak yang diperalatkan kumpulan terbabit adalah anak ahli kumpulan itu yang pernah diharamkan kerajaan, iaitu al-Mansur dan ketika dia mengajar dulu ada juga anak orang luar tapi jumlahnya terlalu kecil.
Lebih mengecewakan, katanya, ada remaja perempuan yang diperalatkan pertubuhan itu menjadi mangsa rogol ketika menjalankan aktiviti mengutip derma dan sepanjang pengetahuannya, dua kes rogol berlaku.
“Tiada laporan polis dibuat kerana mereka tidak suka orang luar campur tangan tapi sepanjang pengetahuan saya, dua kes rogol berlaku dengan satu daripadanya berlaku terhadap remaja lembam,” katanya.
Suhaimi berkata, kini kebanyakan anak orang luar dari pertubuhan itu keluar dari pusat pengajian berkenaan selepas mendapat tahu mereka diperalatkan dan yang tinggal hanya anak ahli yang taksub dengan pemimpin mereka.
“Saya kenal sangat mereka, kebanyakannya bekas ahli al-Arqam tetapi apa yang diamal dan dibawakan mereka kali ini lebih teruk daripada pertubuhan itu,” katanya.
Menurutnya, dia bertemu Azhar atau SM Amin tiga kali ketika lelaki berkenaan datang ke Lukut memberi ceramah kepada ahli supaya meneruskan taat setia dan menyokong perjuangan dan kepemimpinannya.
“Ketika memberi ceramah, dia akan bersalam, berpeluk dan bercium dengan semua orang, tidak kira lelaki atau perempuan, anak dara atau isteri orang, menyebabkan saya mula curiga dengan amalan dan perjuangan Islam yang didakwa diamalkannya.
“Pernah saya bertanya cerdik-pandai agama dalam pertubuhan itu tetapi dimarahi kerana mempertikaikan tindak-tanduk ‘tuanku’ mereka dan dimaklumkan semua orang tidak boleh berbuat demikian kecuali tuanku atau ayahanda mereka,” katanya.

Kem Anak Soleh ajar cara solat, baca al-Quran – Sinar Harian


Kem Anak Soleh ajar cara solat, baca al-Quran

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
kem-anak-soleh

TOK BALI – Kem Anak Soleh yang diadakan di enam masjid di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semerak memberi pendedahan agama Islam kepada kanak-kanak di sini.

Pengarah program, Mahmud Jaafar berkata, walaupun pendidikan Islam sudah diajar di sekolah masing-masing tetapi penekanan perlu untuk memantapkan lagi ilmu agama dalam kalangan­ anak-anak.

“Pada peringkat ini anak-anak dalam proses mempelajari cara solat, membaca al-Quran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Masjid Tok Bali di sini.

Kem solat yang diadakan pada musim cuti sekolah tersebut dikendalikan pihak Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Kelantan.

Mahmud berkata, sepanjang kem tersebut peserta didedahkan dengan cara mengambil air sembahyang dengan betul dari segi bacaan dan cara melakukannya.

Beliau berkata, dari segi bacaan dan cara mengerjakan solat juga turut diberikan penekanan serta tidak lupa mengajar mereka menghafal doa harian.

“Melihat kepada sambutan­ yang diterima kami harap program seumpama ini akan diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia dilihat lebih mudah difahami dan dituruti oleh peserta.

“Tidak lupa tanpa kerjasama ibu bapa yang sanggup melepaskan anak-anak masing-masing untuk menyertai kem ini kami pasti ia tidak akan berjaya,” katanya.