Empat remaja gaduh diarah berkelakuan baik
22 Januari 2013
GEORGETOWN – Empat remaja lelaki dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik tanpa cagaran oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan bergaduh di tempat awam.
Majistret, Norhayati Ibrahim membuat keputusan itu terhadap Choo Jia Hsian, 19; Mohd Fadzly Kutty, 19, dan dua remaja berusia 17 tahun, masing-masing mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Selepas membaca keputusan itu, Norhayati memberi amaran kepada kesemua remaja supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama, masa akan datang.
Keempat remaja itu didakwa bergaduh sesama sendiri di tepi jalan, hadapan sebuah pusat hiburan dekat Upper Town, Jalan Penang, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi, 16 Disember lalu.
Untuk kesalahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairul Fairuz Rahman mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum bawah seksyen sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-dua sekali.