Sesal ikut kata ‘hati muda’ – Metro


Sesal ikut kata ‘hati muda’

 0  0 Google +0  0  0

Kota Kinabalu: “Semua yang berlaku memberi pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati memilih kawan pada masa depan,” kata remaja dikenali sebagai Lyn, 15, yang melarikan diri dari rumah selama seminggu, hujung tahun lalu.

Katanya, disebabkan mengikut ‘hati muda’ dan mahu mencuba sesuatu yang baru, dia mengikut rakannya lari dari rumah.
Menyesali tindakan bodoh itu, Lyn berkata, dia pernah ponteng sekolah hampir tiga bulan kerana mengikut rakan yang kini dianggap ‘perosak’.

 

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pukak, Kiulu, di sini, Lyn mengaku bertaubat dan berazam mengubah kehidupan keluarga, selain mahu mengejar cita-cita sebagai saintis.
Menceritakan pengalamannya menghilangkan diri selama seminggu, dia berkata, beberapa rakan mengajaknya ke pekan berhampiran untuk bersiar-siar.
“Hati muda yang mahukan keseronokan membuatkan saya mengikut mereka dan meninggalkan keluarga tanpa memaklumkan arah tujuan.

 

“Ketika itu juga bateri telefon bimbit saya kehabisan kuasa, menyebabkan saya gagal menghubungi keluarga, selain bimbang ibu tidak membenarkan saya mengikuti rakan,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu, pelbagai pengalaman dilalui, termasuk bergaduh dengan kumpulan remaja lain yang mengganggu mereka.

 

“Saya akui hampir semua kawan saya waktu itu kaki botol, merokok dan kaki gaduh.
“Sepanjang menetap bersama mereka, terlalu banyak benda buruk saya lihat sehingga timbul rasa menyesal kerana tersalah memilih kawan.
“Tiba-tiba saya terbayangkan wajah ibu bapa yang membesarkan saya dengan susah payah selama ini, tapi saya membalas jasa mereka dengan perbuatan sebegini,” katanya.
Menurutnya, selepas seminggu bersama rakan sebaya, Lyn mula berasa bosan dan pulang ke pangkuan keluarga.
“Rakan yang mengetahui niat saya untuk pulang cuba menghalang, tapi saya tetap dengan pendirian sehingga mereka gagal memujuk saya lagi.
“Kini saya mengambil keputusan kembali belajar kerana memikirkan masa depan diri sendiri,” katanya.
Lyn yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, bertekad mengubah nasib diri dan keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya bersyukur masih ada rakan sanggup berkawan dan memberi sokongan,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Salimah Ladat, 53, berkata sebagai ibu, pasti dia bimbangkan keselamatan dan bersedih atas kehilangan anaknya sebelum ini.
“Perkara pertama bermain di fikiran ketika anak saya tidak pulang ialah sama ada dia diculik atau mati dibunuh. Ibu mana yang tak sayang darah dagingnya,” katanya.
Salimah berkata, selepas tiga hari tiada berita daripada anaknya, mereka sekeluarga membuat laporan polis.
“Namun, seminggu selepas kehilangannya, saya terkejut anak saya tiba-tiba muncul di depan rumah.
“Saya terus memeluknya dengan linangan air mata walaupun di dalam hati masih ada perasaan marah dan ingin tahu apa yang berlaku.
“Namun melihat anak saya pulang dalam keadaan selamat, itu sudah cukup,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu, dia melihat anaknya mula berubah dan semakin menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
“Selepas apa yang berlaku, dia kelihatan seperti menyesal dan saya berharap dia tidak mengulanginya lagi.
“Kami sekeluarga sering menasihatinya supaya belajar bersungguh-sungguh kerana pendidikan sangat berguna selain meninggalkan rakan lama yang boleh merosakkan masa depan diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

Sibuk bukan alasan ibu bapa tiada masa pantau anak – Sinar Harian


Sibuk bukan alasan ibu bapa tiada masa pantau anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Disember 2012

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa diingatkan sentiasa memantau pergerakan anak terutama yang sedang menginjak ke usia remaja agar tidak tersalah memilih kawan sekali gus terjebak dalam gejala negatif.

Ini kerana, masalah sosial membabitkan remaja hari ini agak membimbangkan dan jika ia tidak ditangani segera mungkin berlaku masalah yang lebih serius kelak.

Justeru, didikan awal di rumah merupakan unsur yang perlu diberi penekanan selain memastikan anak lebih selesa menghabiskan waktu terluang di rumah berbanding bersama rakan sebaya lain.

Kakitangan swasta, Shukri Azmir Bakeri, 37, berkata, kesibukan tugas tidak harus dijadikan alasan untuk ibu bapa tiada masa untuk bersama keluarga.

“Perhatian ibu bapa bukan sahaja mampu mencegah anak daripada terlibat gejala yang tidak sihat, sebaliknya turut membantu pembesaran dengan lebih sihat,” katanya.