Catu makanan 11 anak – Sinar Harian


Catu makanan 11 anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
catu mknn anak

CHE LIJAH – “Dengan pendapatan sebagai tukang rumah yang tidak seberapa, saya kadangkala tersepit untuk menguruskan perbelanjaan sekolah anak, malah kadangkala kami terpaksa catu makanan agar ia mencukupi,” kata Nyak Sulaiman Nyak Banta, 57, yang sering dihimpit kemiskinan kerana jumlah tanggungan yang ramai.

Sulaiman yang mendiami sebuah pondok kecil berdekatan satu kawasan taku-ngan air dekat sini berkata, sebagai bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap, membesarkan 11 anak termasuk difahamkan tujuh daripadanya masih bersekolah bukan satu perkara mudah.

Sulaiman berkata, pendapatannya yang tidak menentu dan tidak mencukupi menyebabkan dia sering terputus bekalan makanan, malah pernah suatu ketika mereka sekeluarga terpaksa makan hanya sekali dalam sehari.

“Kalau dah tak ada duit nak beli beras dan makanan lain, kenalah catu, makan sekali sehari sahaja.

“Kesusahan kami siapa yang ambil tahu, nak harapkan bantuan, kami memang tak pernah merasai semua itu, ada pemimpin pun mereka tidak pernah jenguk kami, di sini” katanya.

Sementara itu, isterinya, Mek Ani Muhammad, 43, berkata, sebagai suri rumah, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk membantu suaminya khususnya bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.

Katanya, bilangan anaknya yang ramai dengan jarak umur yang dekat menyukarkannya untuk mencari pekerjaan bagi menambah pendapatan membantu suaminya.

“Nasib baik kami dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan, ringanlah sikit beban kami sekeluarga.

“Kalau tak ada bantuan tersebut, tak tahulah nak cakap apa, masa suami saya tidak kerja, mungkin kami terpaksa berlapar,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan persekolahan anak pula Mek Ani berkata, setiap kali musim persekolahan bermula, dia buntu memikirkan persediaan persekolahan anaknya.

Katanya, kadangkala anaknya terpaksa memakai pakaian yang sudah lusuh kerana tidak mampu untuk membeli pakaian sekolah baru.

“Usah kata nak beli baju sekolah baru, kadang-kadang anak saya ke sekolah pun tak bawa wang saku.

“Nasib baik ada bantuan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan di sekolah, kalau tak anak kami mesti kelaparan,” katanya.