‘Menangis sepanjang hari’ – Metro


‘Menangis sepanjang hari’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TUNJANG: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan menangis sepanjang hari kerana menanggung derita mempunyai kandungan air dalam otak berikutan terdapat benjolan pada kepalanya sejak dilahirkan.

Keadaan bertambah rumit apabila keluarga Muhamad Aidil Afifi hidup dihimpit kemiskinan kerana bapanya, Othman Ahmad, 32, hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM500 sebulan.
Othman dari Kampung Keluang, dekat ini, berkata, dengan RM500 itulah dia menyara isteri, Norain Ridzuan dan dua anak termasuk Muhamad Aidil Afifi.

 

Menurutnya, penyakit anaknya dikesan seminggu selepas dilahirkan Ogos tahun lalu kerana terdapat benjolan di belakang kepalanya lalu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, setiap bulan anaknya perlu menjalani pemeriksaan walaupun imbasan sudah dilakukan, tetapi sehingga kini doktor belum mengenal pasti kandungan sebenar benjolan dalam kepala Muhamad Aidil Afifi.
“Pihak hospital tidak mahu mengambil risiko melakukan pembedahan memandangkan anak saya baru berusia enam bulan,” katanya.

 

 

Othman berkata, dia pernah memohon bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi ditolak kerana faktor usianya masih muda walaupun dia turut menghidap buasir hingga sukar bekerja.
Katanya, dengan gaji RM500 itu, dia perlu membayar sewa rumah RM200 manakala selebihnya digunakan untuk menyara keluarga termasuk berulang-alik ke hospital setiap bulan.

 

Sementara itu, Norain berkata, setiap kali menjalani pemeriksaan, doktor mengukur lilitan kepala anaknya bagi mengetahui sama ada benjolan itu semakin membesar atau tidak, namun dia bersyukur kerana sehingga kini saiz benjolan itu masih sama. “Saya amat berharap mendapat bantuan bulanan untuk Muhamad Aidil Afifi kerana sekurang-kurangnya meringankan beban kami menampung kos berulang-alik ke hospital setiap bulan,” katanya.
Penderitaan Muhamad Aidil Afifi turut mendapat perhatian Unit Aktiviti dan Hubungan Luar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Geng Generasi Muda Kubang Pasu apabila turut memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan.
Dalam pada itu, Pegawai JKM Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, pihaknya akan menyiasat kes itu terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan permohonan Othman.